Bersempena Hari Polis ke 213, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia PDRM, atas segala khidmat bakti, pengorbanan yang di curahkan demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran negara yang kita sayangi.
Tambah beliau tugasan Polis bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila berhadapan dengan situasi dan cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks.
“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia PDRM, atas segala khidmat bakti, pengorbanan yang di curahkan, demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran negara yang kita sayangi.
“Kita sedar tugasan Polis ini bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila berhadapan dengan situasi dan cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks”, katanya dalam ucapan bersempena Hari Polis ke 213.
Tambah beliau, berdasarkan dengan perkembangan dan cabaran semasa, PDRM bukan sahaja berhadapan dengan jenayah konvensional, ancaman pengganas yang ada kalanya amat luar biasa.
Bahkan ianya lebih kompleks dalam dunia digital sekarang ini.
Maka, PDRM perlu menanganinya secara strategik, tegas dan berkesan.
Jelas Dato’ Seri Hamzah, kerajaan amat berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan keupayaan yang diperlihatkan oleh anggota PDRM dalam memikul amanah yang dipertanggujawabkan demi memastikan negara kekal, selamat dan terjamin.
Memandangkan negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), maka tahun ini tiada sambutan peringatan Hari Polis ke 213 di adakan.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota PDRM dan keluarganya, atas pengorbanan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
“Saya amat berharap agar anggota PDRM dapat terus memberikan khidmat terbaik kepada negara, sebagai petugas barisan hadapan yang di amanahkan untuk menguatkuasakan PKP ini.
“Saya berdoa semoga usaha Kerajaan dan kita semua dapat membendung penularan COVID-19 dengan jayanya, InsyaAllah”, katanya.
Pada kesempatan ini, beliau juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang bersama-sama dengan PDRM.
Mereka adalah warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), RELA dan semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Saya bersyukur kerana rakyat memahami arahan PKP dan secara keseluruhan tahap kepatuhan sudah bertambah baik. Bahkan jumlah kes ketidakpatuhan juga semakin berkurangan.
“Masa yang sama saya menzahirkan simpati saya pada anggota PDRM dan keluarga yang terdedah dan di jangkiti COVID-19. Dalam waktu yang getir ini, saya berdoa agar mereka diberi kekuatan dalam menghadapi cabaran ini dan kembali sembuh secepat mungkin”, katanya.
Ujar beliau Kementerian Dalam Negeri akan memastikan kebajikan mereka dan ahli keluarga terbela.
Dalam memastikan kedaulatan negara dan ketenteraman awam terus terjamin, beliau memohon agar rakyat memahami bahawa tanggungjawab ini bukan sahaja terletak di bahu PDRM.
Bahkan ia juga tanggungjawab kita bersama.
“Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Polis ke-213. Semoga warga PDRM akan terus kental dan bersemangat untuk berjuang demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia yang tercinta.
Yakinlah, ia satu khidmat yang mulia, dan di berkati Allah”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas Menteri Dalam Negeri sempena Peringatan Hari Polis ke 213 yang ditayangkan secara langsung di RTM malam ini.
–THE MALAYA POST
*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost
Leave a Reply