Thursday, July 11, 2024
HomeBERITAPujuk hati redha dengan ujian Allah SWT, Jamal Yunos kongsi pengalaman sebagai...

Pujuk hati redha dengan ujian Allah SWT, Jamal Yunos kongsi pengalaman sebagai kanser ‘survivor’

Mata hati itu nur, iaitu cahaya hati kita yang dapat memberikan pencerahan kepada fikiran yang diterjemahkan melalui tindakan.

Mata hati melihat rahsia Allah SWT yang terselindung daripada apa yang kita nampak secara zahirnya. Maknanya, jika biasanya kita melihat peringkat kehidupan dengan pandangan biasa, kita nampak apa yang di hadapan mata sahaja, celik mata hati memandang dengan perasaan, jiwa, emosi dan roh.

Itu yang dikongsi Ketua Komunikasi Barisan Nasional Selangor yang juga bekas pesakit kanser, Dato’ Seri Jamal Yunos Zareef bersama Ketua Pengarang The Malaya Post, Nik Suryani Megat Deraman.

Panjang berbicara tentang perjalanan hidup, kerjaya dan permulaan politik sehingga terbongkar kisah kesihatan beliau yang pernah didiagnos menghidap kanser paru-paru tahap ketiga yang kemudian merebak ke tahap empat.

Sebelum bercerita lanjut, kami kongsikan info penyakit kronik pembunuh nombor satu lelaki ini melalui perkongsian MyHealth.

Portal kesihatan MyHealth menyatakan kanser terjadi apabila sel-sel normal melalui satu proses transformasi yang mengakibatkan sel-sel membiak luar kawalan.

Sel-sel ini akan membentuk suatu tumbuhan atau tumor yang berlainan daripada tisu asal. Tumor adalah merbahaya kerana ia menggunakan oksigen, nutrien dan ruang sel-sel sihat seterusnya merebak, akibatnya, ia merosakkan atau mengurangkan upaya tisu berfungsi secara normal.

Kanser paru-paru merupakan salah satu penyebab utama kematian di Malaysia. Pada tahun 2007 secara keseluruhan, ia adalah kanser ketiga selepas kanser payudara dan kanser kolorektal.

Di kalangan lelaki ia menduduki tempat pertama dan adalah di tempat kelima di kalangan wanita. Sebanyak 2948 kanser paru-paru telah dilaporkan pada tahun 2006 (1445 di kalangan lelaki dan 603 di kalangan wanita).

Walaupun kadar hidup setelah didiagnos dengan kanser paru-paru pada peringkat awal adalah 49 peratus tetapi, hanya lebih kurang dua peratus sahaja pengidap kanser paru-paru yang telah merebak ke bahagian lain di dalam badan masih hidup setelah lima tahun.

Itu secara ringkas info kanser paru-paru yang kami kongsikan melalui portal kesihatan terkenal MyHealth.

Berjuang melawan kanser memerlukan emosi dan tahap ketabahan yang tinggi bagi penghidapnya.

Bercerita dari awal bagaimana beliau menghidap penyakit berbahaya ini, Jamal Yunos berkata gaya hidup dan pemakanan tidak teratur menjadi punca dirinya didiagnos kanser paru-paru tahap ketiga yang kemudian merebak ke tahap 4.

Lebih menyedihkan ketika itu, beliau diramalkan hidup 3 bulan sahaja.

“Pada tahun lepas, tahun 2021 kembalinya emak saya, orang yang paling saya cintai. Saya memang rapat, tidak boleh berenggang dengan emak saya. Kalau seminggu tu pasti akan call atau video call dengan emak saya. Akhirnya dia meninggal kerana sakit. Meninggal di hospital buat operation, bulan Mei tahun lepas. Bila emak saya meninggal dunia, saya jadi sedih dan murung. Tiga bulan saya tidak keluar rumah. Hinggakan keluarga, anak-anak, saya suruh pindah duduk di apartment. Saya kata saya nak tenangkan diri.

“Kadang-kadang saya makan, dua hari tak makan, kalau lapar sangat pun saya masak nasi lebih kurang. Itulah makanan saya. Tetapi apa yang saya buat itu berakhir dengan kesan dan perkara yang amat mendukacitakan. Perkara yang tak baik sebenarnya untuk kesihatan. Itupun satu kelemahan yang saya lakukan.

“Tiba-tiba saya jatuh sakit dan bulan Julai saya sakit, demam , batuk, demam batuk tak berhenti saya masuk sebuah hospital swasta di Ampang beberapa kali doktor pun tak dapat kesan, bagi ubat bagi antibiotik.

“Bulan Ogos saya sakit teruk, dan masuk ke hospital lain dan disitu doktor mengesahkan saya kena kanser stage 3. Masa tu saya dah sakit, bengkak, batuk berdarah dan leher dah senget, biru sebelah. Bila doktor kata saya kanser paru-paru stage tiga dan selepas dua minggu lepas itu doktor mengesahkan yang saya hanya bertahan hidup mengikut kritikalnya kanser itu. Kritikalnya kanser yang saya dapat itu, saya hanya bertahan tiga  bulan atau 100 hari,” kongsi beliau.

Bercerita lanjut, beliau menegaskan bukan mudah untuk menerima satu kenyataan bahawa seseorang itu akan bertemu Sang Pencipta tidak lebih dari tiga bulan mengikut ramalan doktor.

“Bagaimana perasaan kita bila doktor bagitahu kita kena kanser paru-paru. Bila doktor kata saya kena kanser paru-paru, saya terduduk saya fikirkan memang dah habis lah. Apa yang doktor cakap tu, saya cakap kat doktor jangan simpan-simpan, apa pun kena cakap. Selepas dengar doktor cakap,  doktor keluar saja saya terus ambik handphone saya google apa sebenarnya kanser paru-paru peringkat tiga.

“Saya lihat tiada ada yang selamat. Tiada ada yang sempat bila dapat kanser paru-paru peringkat tiga dan dijangka selepas dua minggu akan ke peringkat empat dan akhirnya akan mati.

“Penderitaan orang-orang kena kanser paru-paru. Penderitaan yang saya tengok dan belajar. Sampai bila saya tengok tu saya menangis. Jadi sekali lagi jiwa kita ini secara lumrah, bila jadi macam tu, Why? Kenapa saya? Kenapa saya yang selama ini sihat walafiat, macam-macam buat, buat itu, buat in, kita ingatlah kan, kita bantu orang, kita sedekah, tapi akhirnya kita yang diduga sakit kanser yang parah.

“Masa itu dalam keadaan sakit, batuk berdarah, empat jam sekali makan ‘pain killer’, malam pula doktor bagi saya morphin untuk saya rehat, tidur dan esok bangun. Bayangkan bila diberi morphin esok pukul 10 pagi bangun terus solat subuh. Kita jadi tak sedar kan. Bangun-bangun dah pukul 10 pagi. Lepas tu sembahyang. Lepas sembahyang nurse bagi lagi ‘pain killer’,” ujarnya.

Sudah tentu pesakit yang didiagnosis berada pada tahap lanjutan sering kali membuatkan mereka berasa putus asa berikutan persepsi umum mengatakan, peluang untuk sembuh agak tipis.

Namun sebenarnya, dengan kemajuan dalam bidang perubatan perkara ini masih mempunyai peluang untuk diatasi.

Tetapi lain pula perkongsian Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar ini apabila segalanya bermula dengan hati yang redha menerima ketentuan Illahi dan zikir sebagai peneman diri.

“Jadi nak menerima hakikat nak bahawa saya terpaksa bertemu dengan Allah tiga bulan akan datang, terpaksa meninggalkan dunia yang berbagai-bagai warna ni. Inilah yang saya fikirkan. Terpaksa meninggalkan anak, keluarga dan segala-gala. Apa yang saya usahakan ni. Itulah yang saya fikirkan. Tapi hati kita tak boleh menerima.

“Disitulah sekali lagi bagaimana pengalaman hidayah saya di dalam penjara itu saya gunakan saya dapat menerima saya diuji dengan dapat kanser paru-paru yang sangat teruk. Bengkak, semua bengkak, dengan badan belakang hitam biru. Jadi sekali lagi lah. Sebelum tu bukan tak zikir, zikirlah juga. Tapi tak lama. Kalau dalam penjara dulu, subuh sampai ke Zohor, Asar sambung ke Maghrib. Tapi bila keluar dari penjara kita sibuk dengan pelbagai kerja. Buatlah juga lepas sembahyang. Kadang-kadang 100 kali dan sebagainya.

“Tapi dalam hospital saya amalkan balik zikir dan saya dapat memujuk hati saya menerima ketentuan Allah. Ini yang saya dapat. Akhirnya saya dapat tahu bagaimana doktor kata saya tiga bulan mati tapi dalam tiga bulan itulah saya kembali pulih 100 peratus. Alhamdulillah hari ini saya bebas kanser. Hilang mati semuanya,” kata beliau.

Dengan keajaiban yang dialaminya, beliau menyatakan dengan yakin apabila hati dapat menerima ketentuan Allah dan berlapang dada ianya memberi kesan positif kepada badan untuk menerima rawatan, ubat-ubatan dan pemakanan yang sihat mengikut saranan pakar.

“Jadi saya yakin apa yang saya dapat ini sebagai satu dugaan dan bagaimana kita nak menghadapi dugaan itu akhirnya kita boleh berjaya. Dari sektor berniaga, politik, dan sakit yang sudah disahkan oleh doktor boleh mati akhirnya kita baik.

“Jadi saya ambil kesempatan ini juga ingin berkongsi kepada ramai saya tahu yang tidak bernasib baik di luar sana mungkin kena paru-paru, kanser darah, kanser tulang, usus, perut dan sebagainya. Ubat kanser yang paling mujarab adalah hati kita. Kalau kita bertekad, kita yakin, kuat dan redha, patuh dengan jadual pemakanan, ubat, treatment yang diberikan oleh doktor dan sebagainya, insyaAllah kita akan baik.

“Maksudnya dalam Al-Quran pun ada sebut tidak ada satu penyakit pun tidak ada ubat. Jadi ubat ni berbagai-bagai. Kadang-kadang orang makan ubat, makan pil tak baik. Tapi kalau dengan ubat, tidak dengan hati kita tak berjalan sekali, ubat itu pun tidak mujarab. Yang mustahaknya apa-apa penyakit, saya dah lalui penyakit yang terlampau sakit tak dapat nak gambarkan sakitnya ibaratnya kita ni macam dicucuk tusuk oleh pisau, dihiris-hiris dengan pisau. Itulah rasa sakitnya. Yang saya dapat akhirnya pulih.

“Jadi alhamdulillah ini hidup yang diberikan oleh Allah hidup kembali. Jadi saya yakin, hati saya boleh menerima, melunakkan hati, memujuk hati supaya hati redha. Hati redha apa pun kita ambil jadi mujarab pada badan kita. Lebih-lebih lagi kita sebagai seorang Islam,” pesan beliau mengakhiri perbualan kami selama hampir satu jam.

Sampai di sini sahaja perkongsian kami bersama tokoh perniagaan dan ahli politik terkenal ini.

Semoga coretan kami bersama ikon bagi segmen inspirasi TMP kali ini memberi satu lembaran baharu kepada mereka-mereka yang diuji menghidap penyakit kronik terus positif dan bersemangat untuk melalui hari-hari mendatang.

Para pembaca boleh menonton temubual eksklusif bersama Dato’ Seri Jamal Yunos Zareef di saluran Youtube Channel The Malaya Post.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments