Friday, September 6, 2024
HomeBERITACalon PM: Faktor umur beri kelebihan pada BN

Calon PM: Faktor umur beri kelebihan pada BN

Oleh Dr Syed Agil Alsagoff

Menjelang berlangsungnya penamaan calon dan pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 5 dan 19 November ini, parti politik semakin giat membuat gerak kerja masing-masing bagi membuktikan mereka lebih bagus dari pesaing mereka.

Antara yang menonjol ialah pengumuman di Konvensyen PH di Ipoh pada 20 Oktober bahawa Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri jika PH menang dalam PRU15.

Sebelum ini, pengumuman di Konvensyen PN di Serdang pada 27 Ogos adalah Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri jika PN menang dalam PRU15.

Setakat ini PN tidak menggariskan strategi khusus selain bertumpu kepada kekuatan PAS yang terserlah melalui keputusan calon-calonnya menggunakan logo PAS di dua kubu kuat PAS, iaitu Kelantan dan Terengganu.

Strategi khusus PH pula ialah menjadikan Perak sebagai barisan hadapan perjuangannya dengan Anwar sendiri mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun yang disandang oleh Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Selain itu, kelmarin Anwar juga mengumumkan tujuh calon baharu daripada pelbagai bidang disiplin dan pengalaman untuk bertanding mewakili PKR dalam PRU15, dua daripadanya akan bertanding di Perak.

Dua calon tersebut ialah anak bekas Menteri Besar Kelantan merangkap mantan Yang Di-Pertua YADIM, Nik Omar Datuk Nik Abdul Aziz, dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Masa sama, bila Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad, menawarkan untuk berjumpa Anwar bagi membincangkan kerjasama antara PEJUANG dan PH, Anwar menolaknya sekali gus membayangkan betapa PH tidak menganggap Dr Mahathir faktor penting dalam PRU15.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu sememangnya PEJUANG langsung tidak ada pengaruh dalam politik Malaysia, bayangkanlah bila semua 42 calonnya, termasuk Pengerusi PEJUANG Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, hilang deposit mereka.

Begitupun, perlu diingat bahawa berbanding PEJUANG yang masih bertatih kerana hanya baru ditubuhkan, PKR yang ditubuhkan sejak tahun 1998 lagi juga mengalami petanda yang buruk kerana tujuh calonnya dalam PRN Johor turut kalah dan hilang deposit mereka.

Lebih malang lagi bila tujuh calon baharu yang dikemukakan oleh Anwar bukanlah nama yang dikenali dan berketokohan, malah Nik Omar adalah calon yang turut kalah dan hilang deposit di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dalam PRU14.

Apa yang dilihat oleh majoriti rakyat jelata ialah baik PH mahupun PN tidak ada strategi baru yang benar-benar ampuh untuk mengalahkan BN dalam PRU15, dengan tokoh yang mereka kemukakan ialah tokoh kitar semula serta tidak selari dengan perkembangan semasa.

Dunia menyaksikan kelmarin betapa seorang anak muda bernama Rishi Sunak yang dilahirkan pada 12 Mei 1980 dan kini berusia 42 tahun dilantik menjadi Perdana Menteri Britain selepas beliau memenangi persaingan untuk memimpin Parti Konservatif.

Begitulah juga tren di negara-negara lain yang semakin memilih pemimpin muda untuk mengetuai kerajaan negara mereka tetapi lihatlah sahaja calon Perdana Menteri dari PH dan PN yang masing-masingnya berusia 75 tahun, dilahirkan pada 10 Ogos 1947 dan 15 Mei 1947.

Dilihat seimbas lalu sahaja BN sudah menang dari sudut calon Perdana Menterinya yang bersesuaian dengan aspirasi semasa anak muda dan perkembangan dunia kerana calonnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilahirkan pada 18 Januari 1960, baru berusia 62 tahun.

Sebab itulah jika dilihat kepada corak kempen PH dan PN mereka ketandusan isu untuk menyerang BN mahupun calon Perdana Menterinya kerana Ismail Sabri tiada isu dari sudut peribadi mahupun pentadbiran, malah terbukti pemerintahannya selama 14 bulan.

Kedua-dua PH dan PN sendiri turut mendukung pentadbiran Ismail Sabri sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dengan PH menandatangani perjanjian persefahaman untuk menyokong beliau dan terlibat dalam menjayakan transformasi pentadbiran beliau.

Sudah pastilah ia akan menjadi satu perkara pelik malah menjadi satu lelucon jika dengan tiba-tiba PH dan PN menyerang Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri BN kerana ini akan menggambarkan kedua-dua mereka sebagai golongan pemimpin tidak berprinsip.

Sebab itulah juga jika dilihat kepada bahan kempen strategis-strategis mereka, mereka terpaksa mengada-adakan perkara yang tidak ada semata-mata untuk menakut-nakutkan pengundi dari mengundi BN.

Strategis DAP, Liew Chin Tong, umpamanya menulis: “Pengundi takut kemungkinan Zahid menjadi Perdana Menteri… Ini membayangkan masa depan yang gelap untuk Malaysia.”

Begitu juga dengan strategis PKR, Hassan Abdul Karim, yang menulis mengenai “10 Kebimbangan Jika BN Kembali Berkuasa”, dengan kebimbangan terbesarnya ialah “Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri”.

Ini semua adalah dakwaan karut semata-mata yang ditimbulkan oleh pihak yang ketandusan isu kerana sejak 14 April lagi UMNO dan BN telah secara sebulat suara memutuskan bahawa Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri BN di dalam PRU15.

Mengaitkan Zahid dengan wajah lama UMNO yang bermasalah adalah sesuatu perkara yang batil kerana Zahid sendiri sudah berkali-kali membuat penegasan bahawa yang akan menjadi Perdana Menteri mewakili BN adalah Ismail Sabri.

Malah Zahid sendiri menegaskan bahawa calon UMNO dan BN itu sendiri 70 peratus adalah muka baharu dari kalangan WALI, iaitu “winnable”, “acceptable” dan likeable”, dan perkara ini telah terbukti di dalam PRN Johor dan sebelumnya di dalam PRN Melaka.

Melihat kepada corak kempen yang berlaku sekarang, adalah berkemungkinan yang pengundi mendapat gambaran bahawa PRU15 akan menjadi pusara politik kepada Anwar dan Muhyiddin sekali gus membuka ruang kepada politik baharu Malaysia.

Dr Syed Agil Alsagoff ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments