PRU musim banjir : Kos meningkat luar jangka, risiko penyakit

0

KUALA LUMPUR, 22 September – Kos penganjuran pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) mungkin meningkat sekali ganda sekiranya ia diadakan hujung tahun ini.

Peratusan pemilih yang keluar mengundi pula dijangka rendah sekiranya PRU-15 diadakan pada musim banjir.

Foto hiasan

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan perbelanjaan mengurus pilihan raya akan datang yang perlu diadakan sebelum Julai tahun depan berjumlah sekitar RM1 bilion.

Lazimnya kos penganjuran PRU menelan belanja RM500 juta.

Menurut rekod, kerajaan membelanjakan kira-kira RM400 juta pada PRU13 yang lalu.

Angka terbabit disahkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, yang menganggarkan kos pelaksanaan PRU15 akan meningkat sehingga RM1.01 bilion

Beliau berkata, perbelanjaan besar itu termasuk bagi menampung peningkatan jumlah pengundi baharu melalui pelaksanaan had umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang dikuatkuasakan sejak Disember tahun lalu.

Oleh kerana itu, peningkatan pengundi baharu antara faktor menyumbang kepada kos pilihan raya bertambah.

Berikutan itu SPR perlu menambah pusat dan saluran mengundi, petugas pilihan raya serta pembelian peralatan bagi menguruskan proses pilihanraya berjalan lancar.

Jika pilihanraya dilaksanakan pada musim banjir, sudah tentu pertambahan kos diluar jangka berlaku.

Peruntukan sedia ada pasti bertambah dan menguruskan rakyat keluar mengundi juga bukan kerja mudah.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata RM2.59 juta disediakan bagi menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seperti penyediaan bilik mandi serta tandas.

Kerajaan memperuntukkan RM8 juta untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana selain RM4.8 juta bagi menyediakan 320 bot fiber bersama enjin kepada daerah terbabit dalam usaha memperkasa peranan komuniti ketika bencana banjir melanda.

Malah faktor keselamatan, kesihatan dan tenaga kerja juga perlu dititikberatkan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan peningkatan penyakit berjangkit, penyakit bawaan air berisiko berlaku ketika musim banjir.

“Apabila berlaku banjir, akan ada peningkatan penyakit berjangkit, penyakit bawaan air akan meningkat, macam-macam penyakit berjangkit. Itu memerlukan rawatan dan tidak termasuk demam, selesema.

“Bagi KKM memanglah dari segi kesesuaian pilihan raya waktu banjir tak sesuai,” katanya pada sidang media pencapaian setahun menggalas tugas sebagai Menteri Kesihatan.

Sumber foto Detikcom

Jika ianya wajar, siapa yang harus dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini?

Atau mungkin boleh mempertimbangkan tarikh baharu sehingga tamatnya musim tengkujuh.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan fasa peralihan monsun bermula pertengahan September sehingga November dan MTL 2022/2023 pula bermula November hingga Mac 2023.

Dilaporkan negeri-negeri di pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember.

Manakala Johor, Sabah dan Sarawak diramalkan berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember hingga Januari tahun hadapan.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

Leave a Reply