Saturday, May 25, 2024
HomeBERITAProgram LepakSeni@KL gabung pelbagai genre seni

Program LepakSeni@KL gabung pelbagai genre seni

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Dalam usaha mempromosi dan mempertingkatkan kesedaran serta pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni budaya dalam kehidupan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melancarkan program Menyemarakkan Seni Budaya di setiap JKKN negeri seluruh negara mulai 20 Mei lalu.

Di ibu negara, program berkenaan berlangsung mulai semalam sehingga esok di Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Pengarah JKKN WPKL, Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi berkata, kali ini giliran JKKN WPKL sebagai penganjur Program Menyemarakkan Seni Budaya: LepakSeni@KL bersama Persatuan Mekar Budaya berkolaborasi dengan sepuluh pertubuhan seni budaya sekitar ibu negara.

“Program ini bertujuan melahirkan bakat baharu seni budaya melalui bengkel/pertandingan/persembahan. Selain itu, warga KL akan berpeluang menjana pendapatan daripada aktiviti seni budaya melalui jualan produk seni, tenaga kerja produksi dan perkongsian kepakaran.

“JKKN juga berharap dapat menarik kehadiran pelancong luar mengenali seni budaya Malaysia di lokasi JKKN berdekatan Jalan Petaling dan bangunan auditorium bersejarah berusia 130 tahun yang telah diiktiraf sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata antara aktiviti menarik sepanjang program itu ialah Pertandingan Gerobok Kebaya dengan Kerjasama Persatuan Tepak Tellaz, Bengkel Juri Permainan Tradisional (Persatuan Sukan Tradisional Malaysia), Lukisan Karikatur & Pameran Jualan (Persatuan Seni Persembahan Neotrik, Budaya dan Warisan), Bengkel Asas Lakonan Bersama Khairunazwan Rodzy (Pertubuhan Revolution Stage), Seni Silat (Persatuan Silat Cekak Pusaka Hanafi WPKL), Demonstrasi Silamban (Persatuan Seni Silambam Maaveeran Malaysia) dan Pertandingan Nyanyian Irama Malaysia (Persatuan Teater Malaysia).

Hidayatul ‘Ein berkata JKKN turut menganjurkan Forum Nostalgia Panggung Drama yang mengupas sejarah, perkembangan dan sumbangan berkaitan kewujudan panggung di kompleks JKKN sekarang dan relevannya kepada perkembangan seni di Kuala Lumpur.

“Ahli panel terdiri daripada tokoh terkemuka teater iaitu pelakon dan pengarah Mior Hashim Manap selaku penggiat lama yang mengetahui dan melihat panggung ini sejak era 1970-an, edior dan wartawan veteran, Ku Seman Ku Hussein yang mengupas daripada sudut berbeza sebagai pengamal media yang aktif melihat perkembangan seni serta pensyarah kanan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya, Dr. Marlenny Deenerwan yang mewakili generasi baharu yang menerima manfaat kewujudan panggung ini bermula hujung 1990-an sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata kemuncak persembahan pada malam akhir ialah Malam Genta Seni anjuran bersama Badan Budaya DBP yang akan menampilkan Sasterawan Negara Datuk Rahman Shaari.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments