Polis buru pemilik twitter walau pemilik akaun twitter mohon maaf – Pengarah JSJ Bukit Aman

0

Polis sedang mengesan pemuda yang disyakki melakukan penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Laman Sosial Twitter.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi The Malaya Post, siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 oleh Unit Siasatan Jenayah terancang Bahagian D5, Bukit Aman.

foto: ProjekMM

Terdahulu polis telah menerima satu laporan polis membabitkan penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Laman Sosial Twitter.

Dalam pada itu, pemuda yang menghembur kata-kata biadap terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui akaun Twitter tampil membuat permohonan maaf siang tadi.

Tindakan pengguna laman sosial itu dipercayai dilakukan selepas menerima kecaman warga maya sebagai penyebab Seri Paduka menyah-aktif akaun Twitter rasminya, @cheminahsayang, semalam.

Dalam ciapan lewat petang ini, Firdaus Asraf membuat status berbunyi ;

“Ampun Tunku Beribu-ribu Ampun, Seandainya Raja Permaisuri Agong membaca warkah ini, patik memohon segala keampunan Tunku dan patik bersedia mengadap Tunku untuk memohon maaf seandainya Raja Permaisuri Agong berkenan menerima patik.

“Sesungguhnya patik tidaklah mengharap apa-apa melainkan pengampunan Raja Permaisuri Agong.

“Patik yang merendah diri, Firdaus Asraf” tulisnya di Twitter.

Warga maya hari ini melancarkan kempen dengan tanda pagar #AmpunTuanku bagi ‘memujuk’ Tunku Azizah mengaktifkan semula akaun Twitter rasminya @cheminahsayang.

Kempen warga maya itu merupakan kesepakatan usaha untuk merayu Tuanku Azizah yang begitu disenangi oleh seluruh lapisan masyarakat mengaktifkan semula akaun Twitter baginda.

Tindakan pengguna Twitter berkenaan turut mendapat komen bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mahu tindakan diambil di bawah Akta Hasutan bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang.

Leave a Reply