Saturday, May 11, 2024
HomeBERITAPerbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak peruntuk RM1 juta beli hasil tani tidak...

Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak peruntuk RM1 juta beli hasil tani tidak terjual

Kerajaan Negeri Perak melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin) dengan peruntukan RM1 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan berkata, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukkan dana berjumlah RM1 juta bagi membeli hasil-hasil pertanian terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak terjual daripada para petani yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perak dan PPPNP.

“Skim terbabit berasaskan kepada kerjasama rakan strategik dan usaha strategik di antara Kerajaan Negeri melalui PPPNP dengan KLK Berhad, Agroto Business, Pertubuhan Peladang Kawasan Selama dan Central Kitchen.

“Menerusi kerjasama ini, hasil pertanian yang dibeli oleh PPPNP akan dijual terus kepada rakan strategik iaitu KLK Berhad dan syarikat-syarikat perladangan sawit di negeri Perak untuk diagihkan kepada kakitangan mereka yang dianggarkan berjumlah dalam 10,000 orang. Syarikat korporat seperti Agroto Business berminat untuk memasarkan hasil pertanian ke pasar raya,” ujar beliau.

Tambah beliau, hasil pertanian akan disalurkan kepada operator Central Kitchen seluruh negeri Perak untuk penyediaan makanan bermasak kepada para petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertugas dalam operasi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Berdasarkan kepada data dari Jabatan Pertanian dan agensi-agensi pertanian negeri, pengeluaran hasil pertanian oleh para petani di Negeri Perak sehingga 14 April 2020 dianggarkan melebihi 13,000 tan metrik

“Bagaimanapun, dianggarkan antara 20% hingga 30% daripada hasil pertanian ini tidak dapat dijual berikutan kurang permintaan dari pemborong, industri perhotelan dan rangkaian restoran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung sehingga 14 April 2020 atau sehingga arahan itu ditarik balik,” katanya.

Kerajaan negeri turut menyeru para petani yang terjejas untuk berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, FAMA Negeri Perak dan PPPNP bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan.

Beliau turut berharap melalui inistiatif dari skim AgroPrihatin ini akan dapat membantu meringankan beban para petani yang terjejas, seterusnya memastikan kelangsungan dan kestabilan bekalan produk pertanian di negeri Perak pada masa hadapan.–THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments