Sunday, May 19, 2024
HomeBERITAPerak salur bantuan tambahan kepada golongan sasar

Perak salur bantuan tambahan kepada golongan sasar

Pelaksanaan PKP nyata memberi kesan yang sangat besar kepada kehidupan rakyat, malah ada yang hilang punca pendapatan kerana tidak dapat berniaga atau keluar bekerja.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan mengumumkan beberapa inisiatif bantuan awal bagi meringankan beban golongan sasar yang paling terkesan dengan pelaksanaan PKP.

Realitinya, kita tidak bersedia untuk berdepan dengan krisis yang sebegini serius sehingga kerajaan terpaksa meminta rakyat untuk duduk di rumah dan tidak keluar bekerja.

Tidak seperti krisis-krisis dan bencana-bencana yang pernah dilalui terdahulu, wabak COVID-19 menjejaskan hampir keseluruhan aktiviti ekonomi dan sosial.

“Secara tiba-tiba Kak Limah yang bergantung hidup dengan menjual nasi lemak di Kampung Pisang hilang sumber pendapatan.

“Hussein jadi hilang punca kerana kilang tempatnya berkerja perlu hentikan operasi.

“Pak Jabit sebagai ketua kampung pula hilang arah kerana ramai orang kampung mengadu dapur udah tak berasap,” ujar Dato’ Seri Ahmad Faizal.

Oleh yang sedemikian, kerajaan negeri dan seluruh rakyat amat mengalu-alukan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata Pakej rangsangan bernilai RM250 bilion membuktikan kemampuan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 untuk menangani cabaran ini sambil memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada makcik Kiah, Kak Limah, kawan sepersekolahan saya Sathiamoorthy, jiran Arwah Bapa saya di Tambun, Ah Kiet dan Hussein Port Weld dan lain-lain yang akan mendapat manfaat daripada bantuan ini, supaya merujuk cara mengakses Bantuan PRIHATIN Nasional daripada Kementerian Kewangan.

“Gunakan saluran yang betul. Jangan sekali-kali memberikan maklumat dan data peribadi kepada pihak ketiga bagi mengelak penipuan.

“Di negeri Perak, Bantuan PRIHATIN ini akan memberi manfaat kepada majoriti rakyat,” ulasnya.

Memberi gambaran lebih jelas, beliau memberitahu hampir 6 ribu peserta Felda; lebih 46 ribu orang petani termasuk lebih 18 ribu pesawah, hampir 7,500 nelayan pantai dan darat serta lebih 35 ribu penjaja dan peniaga kecil yang mendapat manfaat yang diumumkan Perdana Menteri.

“Pakej ini juga akan memberi manfaat kepada para penjawat awam, pekerja swasta dan rakyat yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah, iaitu mereka yang berpendapatan RM8 ribu dan ke bawah.

“Alhamdulillah, pengumuman YAB Perdana Menteri telah memberikan khabar gembira kepada semua. Bak seloka orang bijaksana,

Yang Indah Dikalung, Kerongsang Berbatu

Menyusunkan Ayat, Mencari Seri

Yang Susah Ditolong, Yang Payah Dibantu

Menyantunkan Rakyat, Serata Negeri.

“Bagi pihak seluruh rakyat di negeri Perak, saya ucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Bagi pihak Kerajaan Negeri beliau mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada kesemua petugas semua peringkat di negeri Perak, yang bertungkus lumus membantu kerajaan dalam menghadapi situasi getir ini, hanya Allah SWT saja mampu membalasnya.

Bagi menghargai jasa mereka, saya dengan ini mengumumkan bantuan-bantuan khas oleh kerajan negeri, iaitu:-

1) Bantuan makanan dan keperluan untuk 7,150 petugas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, RELA, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kos hampir RM 2.5 juta telahpun mula disalurkan.

2) Bagi menghargai usaha dan pengorbanan serta kepayahan para pekerja am yang juga merupakan frontliners, pengutip sampah, pemotong rumput, begitu juga dengan para pegawai penguatkuasa yang terpaksa meneruskan khidmat di waktu-waktu yang sukar ini, Kerajaan Negeri Perak ingin memberi bantuan sebanyak RM300 seorang yang akan dibayar 3 kali melibatkan peruntukan sebanyak RM780 ribu.

Perkara ini memberi manfaat kepada 2,600 wira-wira yang tidak didendang.

4) Pengerusi MPKK agak terkesan dengan peralihan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Namun, di waktu begini, mereka meneruskan khidmat bagi membantu golongan yang memerlukan.

Untuk menghargai usaha tersebut, Kerajaan Negeri menyediakan Bantuan Elaun Khas sebanyak RM500 seorang kepada 986 Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan peruntukan berjumlah RM493 ribu.

Sekali lagi, perkara ini membuktikan kerajaan tidak berpolitik dalam situasi krisis yang mendesak sebegini. Kepentingan rakyat diutamakan.

5) Kerajaan negeri memahami kesukaran dan bebanan kakitangan kesihatan serta petugas-petugas berkaitan.

Justeru, kerajaan negeri komited membantu Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Oleh kerana ianya amat penting bagi memutuskan rantaian penyebaran virus Covid-19 ini, Kerajaan negeri telah membuka dua Stesen Kuarantin.

Yang pertama bertempat di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan dan yang kedua bertempat di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai. Stesen-stesen ini mampu menampung sehingga 240 individu. Sebanyak RM651 ribu diperuntukkan bagi pembelian pelbagai kelengkapan dan peralatan serta makan minum.

5) Prihatin dengan isi rumah yang hilang sumber pendapatan dalam tempoh PKP, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan RM800 ribu untuk mengedarkan Kotak Makanan kepada lebih 13 ribu keluarga.

Bantuan ini telah disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

6) Kini, bantuan ini diperluaskan kepada lebih 13 ribu ketua isi rumah Orang Asli dengan tambahan peruntukan RM800 ribu. Ini menjadikan jumlah peruntukan bantuan kotak makanan yang diluluskan adalah sebanyak  RM1.6 juta.

7) Seperti pengumuman saya yang terdahulu, penangguhan Bayaran Sewa Skim Pertapakan Kemudahan Asas dan Penangguhan Bayaran Sewa Beli Rancangan Perumahan Awam adalah untuk selama tiga bulan.

Untuk penambahbaikan, penangguhan tersebut dipanjangkan kepada enam (6) bulan bermula Mac 2020 dan memberi manfaat kepada 1,336 penerima.

8) Selain itu, pengecualian Bayaran Sewa Program Perumahan Rakyat turut dilanjutkan selama enam (6) bulan bermula Mac 2020 kepada 2,535 penerima dengan kos RM 1.5 juta.

9) Prihatin dengan rayuan ramai golongan Penjaja Dan Peniaga Kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan negeri telah meningkatkan bilangan penerima bantuan kewangan sekali bayar atau one off sebanyak RM500 seorang kepada 12,413 penerima.

Ini adalah lonjakan besar berbanding jumlah bantuan kepada 4,000 penerima yang saya umumkan sebelum ini. Untuk ini, Kerajaan telah membelanjakan RM6.2 juta.

10) Bagi membantu semua Ahli-ahli Dewan Negeri atau ADUN-ADUN tanpa mengira parti politik untuk membela nasib rakyat di kawasan masing-masing, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM20 ribu kepada setiap Pusat Khidmat DUN.

Sukacita saya umumkan, Kerajaan Negeri akan memberikan tambahan RM20 ribu lagi kepada kesemua 59 Pusat Khidmat DUN.

Sama rata, sama rasa. Tiada perbezaan. Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.36 juta bagi tujuan ini. Diharap ADUN-ADUN akan menggunakan peruntukan ini bagi membantu rakyat dengan sebaik mungkin. Let us rise above politics and serve the people in this difficult time.

11) Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, Kerajaan Negeri Perak memberi pengecualian Bayaran Balik Rumah Harapan selama tiga (3) bulan bermula Mac 2020 kepada 796 penerima berjumlah RM627 ribu.

12) Begitu juga dengan Pengecualian Sewa Gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selama tiga (3) bulan yang akan memanfaatkan seramai 9,841 penyewa berjumlah RM2.2 juta.

13) Dan yang ketiga, Pengecualian Bayaran Balik Tabung Usahawan dan Mikrokredit selama tiga (3) bulan bermula Mac 2020 yang memanfaatkan 775 penerima berjumlah lebih RM800 ribu.

Dengan penyenaraian insentif dan inisiatif khas dan tambahan, beliau berharap bantuan terbabit dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang terkesan dengan pelaksanaan PKP.

Rahmat di sebalik dugaan

Kerajaan negeri Perak sangat menghargai keprihatinan dan komitmen badan-badan bukan kerajaan atau NGO untuk membantu meringankan beban rakyat.

Begitu juga dengan begitu ramai perkumpulan, malah individu-individu termasuk Ahli-ahli Yang Berhormat, penjawat politik yang begitu komited untuk membuat penyerahan bantuan dan sebagainya. Usaha-usaha sebegini amat terpuji.

Dato’ Seri Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri merayu kepada semua agar penyaluran bantuan kepada masyarakat adalah sebaiknya diselaraskan oleh Kerajaan Negeri melalui Bilik Gerakan COVID-19 di peringkat negeri dan daerah.

Menurutnya, ini bertujuan mengelakkan penularan wabak COVID-19 di kalangan para penerima bantuan dan para sukarelawan NGO, memandangkan krisis pandemik ini tidak sama dengan bencana-bencana yang lain.

Bagi meningkatkan lagi pertambahan sumber bantuan, beliau juga mengalu-alukan sumbangan kewangan daripada pelbagai pihak terutamanya pihak swasta dan badan korporat.

“Bagi pihak seluruh rakyat, kami amat menghargai dan mengalu-alukan keprihatinan para penyumbang.

“Semoga perkara ini dapat diteruskan malah dipertingkatkan lagi,” ujarnya.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak melalui :

Akaun Bendahari Negeri Perak CIMB Islamic 8601170183.

Beliau juga berikrar dan berjanji membelanjakan setiap sen daripada wang sumbangan orang ramai ini dengan penuh berhati-hati, berhemah dan menepati hasrat.

 “Saudara-saudari yang sedang ditimpa kesusahan, moga-moga Allah ringankan beban.

 “Kita tahu setiap kesusahan atau cabaran daripada Tuhan itu, datang bersama rahmat.

“Samada kita terus bermenung, memandang jauh akan keburukan nasib kita, dan kebosanan yang melanda, ataupun kita mengambil peluang, menikmati setiap rahmat yang dikurniakan, adalah terpulang kepada kita,” tambahnya.

Dengan penuh kesedaran, beliau berpendapat mungkin ini masanya untuk belajar mengenal diri, melawan sifat buruk yang ada, atau berusaha memperbaiki setiap kelemahan.

Berpandangan positif, berita dari Bandaraya Wuhan memberi seribu pengajaran.

“Apa kita buta melihat, atau pekakkan pendengaran, adalah terpulang kepada setiap anda yang budiman.

“Wuhan memberitakan, jenayah dan kekerasan rumahtangga atau domestik violence menjulang tinggi ketika kawalan pergerakan.

“Pengajaran buat kita untuk sentiasa mengamalkan sifat bersabar terutama sekali di samping keluarga dan mereka yang tersayang,” ulasnya.

Dato’ Seri Ahmad Faizal turut menghebahkan bagi mereka yang memerlukan bantuan akibat kekerasan rumahtangga ataupun tekanan emosi, kerajaan telah menyediakan Talian Kasih, 159999.

“Sila hubungi dengan segera, sekiranya diperlukan.

 “Bagi anak-anak, tidak ke sekolah bukan bermaksud tidak perlu belajar.

“Ibubapa kini lebih berpeluang untuk luangkan lebih masa bersama anak-anak,” katanya.

Mengakui dunia pada hari ini berada di hujung jari, dengan kecanggihan teknologi, ibu bapa boleh menggunakan pelbagai aplikasi untuk memastikan anak-anak terus beroleh pendidikan.

“Janganlah pula kita gunakan jari untuk menyebar berita palsu yang akan merugikan.

 “Teruskanlah usaha yang telah kita lalui hampir selama dua minggu ini dengan penuh ketekunan dan kita tewaskan virus durjana ini dan kembali kita bina negara kita

“Jom baca buku, jom hafal surah, jom solat berjemaah bersama keluarga. Jaga kebersihan, mesti rajin cuci tangan.

“Jika tiada hand sanitiser, dengan sabun dan air, akan bersih juga. Pelihara penjarakkan sosial, jangan berdekatan. Jaga etika batuk dan jangan sebarkan kuman. Jaga kesihatan juga bermaksud jaga pemakanan,” pesan beliau.

Prihatin terhadap kesihatan rakyat, beliau menggalakkan orang ramai agar melakukan senaman di rumah dan PKP bukan alasan untuk tambah berat badan.

“Tambah seronok dapat dibuat bersama keluarga tersayang. Harus cekal dan tabah. Kita mesti berusaha, kita bertawakkal dan kita berserah kepada Allah. Kita duduk di rumah, kita ikut perintah. In Shaa Allah, Covid 19 akan jadi sejarah.

 “Terima kasih atas perhatian anda sekalian. Saya mohon ampun maaf atas apa juga kekurangan dan saya berjanji untuk meneruskan usaha-usaha yang baik demi rakyat, kerana Allah.

 “Semoga Allah SWT melindungi kita daripada ancaman wabak COVID-19 dan kita dapat menjalani kehidupan yang lebih baik,” ujar beliau.

(VIDEO #2) COVID-19: PERUTUSAN KHAS MB – TERIMA KASIH PM, NASIB MAKCIK KIAH, KAK LIMAH & HUSSEIN TERBELA

Dikirim oleh Faizal Azumu pada Senin, 30 Maret 2020

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments