Monday, May 20, 2024
HomeBERITAPentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar dengan kerjasama ketua-ketua jabatan - MB Perak

Pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar dengan kerjasama ketua-ketua jabatan – MB Perak

Hampir dua minggu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kesedaran di kalangan rakyat semakin meningkat berikutan tindakan tegas pihak berkuasa dan hasil gandingan bersama banyak pihak dalam menjayakan misi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 2,626, manakala kes kematian pula sejumlah 37 dan kes pulih serta dibenarkan discaj sejumlah 479.

Saban hari, penambahan kes positif jangkitan virus pandemik ini kian meningkat sehingga kerajaan mewartakan 15 daerah sebagai zon merah paras bahaya.

Di Perak, daerah Kinta dan Hilir Perak berada  pada zon merah dan paras bahaya berikutan kes positif COVID-19 meningkat di kawasan berkenaan.

Oleh kerana itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan kebimbangan berikutan jumlah jangkitan wabak COVID-19 di negeri Perak, kini berjumlah 176 kes positif dan melibatkan tiga kes kematian.

“Daerah Kinta dan daerah Hilir Perak telah berada dalam zon merah apabila mencatatkan jumlah kes jangkitan sebanyak 74 kes dan 53 kes masing-masing.

 “Sementara itu, jumlah kes jangkitan di seluruh negara adalah 2,470 kes dengan 35 kematian yang dicatatkan sehingga semalam (29 Mac).

 “Jelas sekali, gelombang ke-2 wabak COVID-19 ini amat meresahkan dan  memaksa kerajaan persekutuan melanjutkan PKP sehingga 14 April 2020, walaupun ia adalah keputusan yang sukar, tetapi terpaksa dilakukan demi menyelamatkan negara serta rakyat, ujar beliau ketika menyampaikan Perutusan Khas COVID-19 dan Inisiatif Bantuan Khas Kerajaan Negeri.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakyat yang telah memberikan kerjasama dan mematuhi PKP.

 “Kita merasa bersyukur kerana negeri Perak kekal tersenarai sebagai negeri paling patuh kepada arahan PKP dengan peratusan melebihi 93 peratus, sejak ia mula dilaksanakan pada 18 Mac yang lalu,” katanya.

Kerajaan Perak berfungsi sepenuhnya dengan kerjasama ketua-ketua jabatan 

Berhubung isu belum melantik barisan EXCO Kerajaan Negeri Perak, beliau menjelaskan, secara kebetulan wabak COVID-19 berlaku pada ketika negara dan negeri Perak sedang berdepan peralihan pentadbiran kerajaan, namun keadaan politik negeri kembali tenang selepas selesai pelantikan beliau sebagai Menteri Besar yang ke-13 pada 13 Mac yang lalu.

Walau bagaimanpun pelantikan barisan EXCO Kerajaan Negeri yang baharu terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan PKP iaitu lima hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

 “Ada pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan tanggapan bahawa negeri ini masih tidak mempunyai kerajaan.

 “Saya ingin jelaskan di sini, dengan pelantikan saya sebagai Menteri Besar ke-13, kerajaan negeri Perak dapat berfungsi sepenuhnya.

“Ini kerana, kerja-kerja pentadbiran negeri terus dijalankan oleh ketua jabatan masing-masing, melalui punca kuasa dari undang-undang berkaitan,” tambah beliau.

Menurutnya, dengan kerjasama erat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh anggota pentadbiran, beliau dapat mengemudi operasi pentadbiran dengan lancar.

“Tambahan pula, sewaktu PKP, operasi pentadbiran berkisar di Bilik Gerakan dan urusan seharian tertumpu kepada perihal perkhidmatan kepada rakyat yang memerlukan bantuan.

 “Di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri, tiada tempoh tertentu untuk melantik Barisan EXCO. Namun, perkara itu pasti berlaku.

“Dengan izin Allah, apabila wabak COVID-19 dapat dikawal bagi membolehkan PKP ditarik balik, kita tentunya akan dapat meneruskan proses lantikan barisan EXCO,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu tumpuan utama pada ketika ini adalah memastikan kemenangan melawan penularan wabak merbahaya dan mengakui barisan anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Perak mampu dan komited dalam memberikan yang terbaik untuk rakyat.

(VIDEO #1) COVID-19: PERUTUSAN KHAS MB – TERIMA KASIH RAKYAT PERAK, NEGERI TERATAS SENARAI PATUH PKP

Dikirim oleh Faizal Azumu pada Senin, 30 Maret 2020

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments