Monday, July 15, 2024
HomeBERITAPenganjuran Festival Filem China tingkat kerjasama industri perfileman Malaysia-China

Penganjuran Festival Filem China tingkat kerjasama industri perfileman Malaysia-China

KUALA LUMPUR, 15 September – Penganjuran Festival Filem China di Malaysia adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mengeratkan hubungan antara industri perfileman Malaysia dan China.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam satu kenyataan medianya, festival itu juga menjadi platform kepada pembuat dan penerbit filem dari kedua-dua negara untuk saling bertukar idea, selain mengenal pasti peluang membangunkan ekosistem yang mampan bagi industri itu.

Tambah beliau, kejayaan Filem ‘On Your Mark’ arahan pembikin filem Malaysia, Chiu Keng Gua membuktikan kemampuan bakat kreatif dari Malaysia juga mempunyai kualiti hebat sebagai teraju dalam produksi bertaraf global.

Filem itu telah memperoleh RM8.7 juta pada hari pembukaannya dan terus mengumpul lebih RM24 juta dalam tempoh dua hari sekali gus menjadi filem nombor satu di China pada hari pembukaannya pada 18 Jun 2021.

“Saya amat berbangga kerana sebuah filem terbitan Malaysia mendapat perhatian sedemikian dari China,” katanya.

Sehubungan itu, K-KOMM menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang bertindak sebagai pemudah cara industri perfileman Malaysia mengalu-alukan semua produksi luar negara, khususnya dari Republik Rakyat China, untuk menjalani penggambaran filem di Malaysia.

Jelas Datuk Zahidi, FINAS menawarkan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) untuk menarik pelaburan asing dalam penerbitan filem dan televisyen dengan menggunakan Malaysia sebagai lokasi penggambaran.

“Kerjasama strategik bersifat jangka panjang menerusi perjanjian kerjasama produksi antarabangsa (Co-Pro Treaty) antara dua negara tersebut yang sedang dimuktamadkan ini juga merupakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan daya saing ekonomi industri filem tempatan di peringkat global,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau juga mengucapkan syabas kepada Pusat Kebudayaan China Kuala Lumpur atas kejayaan penganjuran Festival Filem China yang pertama di Malaysia bertempat di DADI Cinema Pavillion, Kuala Lumpur hari ini.

“Malaysia telah dipilih sebagai antara destinasi untuk menganjurkan Festival Filem China yang pertama hasil inisiatif oleh China Film Administration. Festival yang turut disokong oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia ini akan berlangsung selama empat hari bermula 15 hingga 18 September 2022,” katanya.

Ujar beliau sebanyak 20 filem akan ditayangkan dalam tempoh empat hari penganjuran itu bermula hari ini hingga 18 September ini.

Ia mencakupi 18 buah filem dari China manakala dua filem lagi dari Malaysia.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments