Tuesday, June 11, 2024
HomeBERITAPengamal media tempatan bidas tindakan MCMC, dangkal dalam memahami tugas media, sengaja...

Pengamal media tempatan bidas tindakan MCMC, dangkal dalam memahami tugas media, sengaja cari musuh

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Sekumpulan Wartawan Senior dan pengamal media hari ini sekali lagi membidas tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang didakwa memperlihatkan  kedangkalan badan pengawas itu dalam memahami tugas dan peranan media.

Menurut satu kenyataan secara bersama, wartawan-wartawan senior dan pengamal media tempatan, tindakan itu secara tidak langsung membuktikan bahawa MCMC berselindung di sebalik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mewajarkan kewujudannya.

“Kami juga kesal dengan kenyataan SKMM bertarikh 22 September berhubung dengan isu yang sama. Kami berpendapat reaksi SKMM hanya memperlihatkan kedangkalan badan pengawas itu dalam memahami tugas dan peranan media.

“Kenyataan itu juga membuktikan bahawa SKMM berselindung di sebalik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mewajarkan kewujudannya.

Menurut kenyataan itu lagi, sehingga hari ini MCMC semakin galak memberi amaran, memanggil dan menyekat beberapa portal berita tanpa sebarang notis.

Terbaru sebuah lagi portal berita MalaysiaNow telah diarahkan untuk menurunkan kandungan berita mengenai kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat pada 19 September lalu.

“Kami turut berasa kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku di Dewan Rakyat sewaktu penggulungan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Kami mengutuk sebarang perbuatan mana-mana Ahli Parlimen yang bertindak di luar adab dan tata susila selain melanggar peraturan mesyuarat yang menyebabkan berlakunya kekecohan pada hari itu.

“Namun demikian apa yang berlaku di Dewan Rakyat itu telah disiarkan secara langsung untuk tatapan rakyat negara ini dan cebisan daripada peristiwa kekecohan itu boleh didapati dalam semua platform media sosial”, menurut kenyataan itu lagi.

Justeru menurut kenyataan itu, adalah tidak adil untuk menyalahkan mana-mana portal berita yang melaporkannya. Alasan SKMM bahawa beberapa pelaporan telah “dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan” sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan.

“Bilakah masanya membuat laporan peristiwa yang berlaku menjadi satu kesalahan di negara ini?

“Dalam konteks ini kami berpendapat SKMM tidak seharusnya memberikan kuliah tentang apa itu “pelaporan yang tepat”, katanya.

“Kami berpendapat SKMM sengaja mencari musuh yang salah bagi mewajarkan tindakannya.

“Pengamal media rata-rata memahami tanggungjawab mereka serta dipandu oleh profesionalisme dan etika kewartawanan,” memetik kenyataan itu.

Katanya, masalah yang dihadapi oleh SKMM dalam menangani media sosial tidak harus dijadikan alasan untuk membendung hak pengamal media menjalankan tugas mereka.

“Kami juga memahami bahawa tidak ada kebebasan media yang mutlak di mana-mana di dunia. Tetapi pengamal media harus bekerja dalam suasana yang tidak sempurna itu untuk menjadi mata dan telinga kepada rakyat.

“SKMM harus faham bahawa dalam sistem demokrasi media bebas dan bertanggungjawab adalah prasyarat yang utama.

“Kami juga ingin mengingatkan SKMM bahawa YAB Perdana Menteri telah berkali-kali menekankan pentingnya media bebas dan bertanggungjawab. Beliau juga berjanji akan mengambil sikap terbuka terhadap kritikan atau teguran, katanya lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah MCMC kebelakangan ini sama sekali bertentangan dengan semangat YAB Perdana Menteri yang mahu melahirkan suasana media yang kondusif untuk para pengamalnya bekerja tanpa ragu dan takut.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments