Wednesday, July 10, 2024
HomeBERITAPendekatan Rahmah Dalam Memacu Malaysia Madani

Pendekatan Rahmah Dalam Memacu Malaysia Madani

Oleh: Badlishah Sham Baharin
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada 12 Januari lalu telah menekankan pendekatan berkonsepkan ‘Rahmah’ dalam semua program Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kebajikan golongan miskin terutamanya miskin tegar.
Melalui pendekatan ini, beliau mahu memastikan tumpuan lebih diberikan terhadap projek pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat termasuk tebatan banjir, berbanding projek-projek besar atau mega.

Pendekatan rahmah dalam semua program Kerajaan Perpaduan amatlah bertepatan dengan objektifnya untuk memberikan kebaikan, kebajikan dan pertolongan terutamanya kepada golongan miskin dan yang memerlukan.

Pendekatan ini telah dimulakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memperkenalkan inisiatif Payung Rahmah bagi mengurangkan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar.

Program jangka pendek ini membabitkan empat elemen iaitu Bakul Rahmah (bantuan makanan bulanan), Kafe Rahmah (bantuan makanan pelajar universiti), Jualan Murah Rahmah dan Barangan Rahmah dengan harga barangan-barangan asas yang lebih rendah, di samping Menu Rahmah yang dilancarkan KPDN baru-baru ini.

Selain itu, inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah turut dilaksanakan kerajaan kepada keluarga dan individu B40, sebagai kesinambungan daripada bantuan-bantuan tunai daripada kerajaan sebelum ini.

Makna Rahmah

Namun adakah makna rahmah ini difahami dan dihayati oleh masyarakat? Apakah maksud rahmah dalam pendekatan yang digunakan oleh kerajaan sekarang?

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), rahmah (dalam bahasa Arab) atau rahmat bermaksud belas kasihan, kurnia, berkat, bahagia, kelebihan, hikmah, faedah dan kegunaan.

Menurut artikel ‘Kajian Semantik Kata Rahmah Dalam al-Quran’ oleh Muhammad Faqih Ihsan (2021), perkataan rahmah sendiri diulang sebanyak 64 kali dalam al-Quran, manakala perkataan tersebut dan kata-kata terbitannya diulang sebanyak 327 kali.

Imam al-Raghib al-Isfahani dalam kitab Mufradat Alfadz al-Quran mendefinisikan rahmah sebagai kelembutan yang menuntut berbuat baik kepada yang disayangi.

Rahmah mengandungi makna yang lebih luas dalam al-Quran dengan tidak kurang daripada 14 makna, antaranya agama Islam, syurga, hujan, kenabian, kenikmatan, rezeki, pertolongan dan kemenangan, kesihatan, kasih sayang, keimanan, petunjuk, Nabi Isa a.s., Rasulullah SAW dan al-Quran itu sendiri.

Jelas di sini bahawa makna perkataan rahmah mencakupi segala bentuk kebaikan dan kebajikan yang seharusnya disebarluaskan kepada umat manusia.

Negara Rahmah dan Malaysia Madani

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mempunyai aspirasi mencapai perubahan ke arah kebaikan untuk membina sebuah negara yang makmur untuk rakyat Malaysia menggunakan konsep rahmah.

IKRAM sendiri ingin melihat terbinanya sebuah Negara Rahmah di Malaysia dengan agenda kebajikan dan pengislahan terus diberi keutamaan demi perubahan yang lebih baik untuk rakyat dan negara.

Ciri-ciri Negara Rahmah dilambangkan dalam kepemimpinan negara yang kompeten dan berintegriti, sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan, tadbir urus yang baik, undang-undang yang adil, masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang, institusi keluarga yang utuh.

Ciri-ciri seterusnya ialah hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni, ekonomi yang mampan, agihan kekayaan yang saksama, pembangunan yang lestari, kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara, dan menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Kesemua 12 ciri Negara Rahmah ini dilihat selari dengan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang memperkenalkan konsep Malaysia MADANI sebagai acuan untuk membangunkan negara, melalui akronim daripada keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Menurut DBP, madani bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.

Konsep Malaysia Madani juga mengambil teladan daripada kejayaan Nabi Muhammad SAW membina negara Madinah dengan mendamaikan suku Aus dan Khazraj, mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar serta menyatukan semua kaum di Madinah.

Rakan Bina Negara

Dengan yang demikian, pendekatan rahmah oleh IKRAM bukan sahaja sekadar prihatin dengan golongan miskin dan memerlukan, tetapi ia turut melebarkan keprihatinannya dalam segala aspek kehidupan masyarakat dan negara.

Bagi menjayakan Malaysia Madani, sebagai sebuah NGO dakwah, tarbiah dan kebajikan, IKRAM komited untuk menjadi rakan strategik pembinaan negara melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan, agensi, NGO mahupun swasta.

Ini dapat dibuktikan melalui penganjuran Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (SBKK) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Bagi merapatkan jurang antara kaum, IKRAM bersama-sama dengan NGO-NGO masyarakat madani pelbagai kaum dan agama dalam Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dengan pelbagai aktiviti yang dapat mengukuhkan perpaduan rakyat.

Kebajikan rakyat juga tidak dilupakan melalui Yayasan Ikram Malaysia (i-Bantu) dengan pelbagai bentuk bantuan bersasar kepada golongan miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal, mangsa-mangsa bencana serta mereka yang memerlukan.

Golongan ibu bapa pula diajar bagaimana untuk membantu proses pembelajaran anak di rumah melalui program Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak (IMPAK) yang mensasarkan keluarga B40, dengan sokongan Yayasan Hasanah dan kerajaan Selangor.

Santunan kemanusiaan turut dilebarkan di peringkat antarabangsa melalui Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dengan pelbagai misi bantuan terutamanya untuk pelarian Palestin, Syria, Rohingya Yaman dan negara terlibat serta mangsa-mangsa bencana, peperangan dan kebuluran, dengan kerjasama NGO-NGO kemanusiaan di luar negara.

Di samping itu, advokasi penambahbaikan dasar negara seperti Dasar Keluarga Negara serta pendidikan kebangsaan turut dimainkan oleh IKRAM. Pendidikan masyarakat meliputi konsep Islam wasatiy dan negara rahmah juga dipergiatkan oleh IKRAM.

Ini hanyalah sebahagian contoh sumbangan IKRAM sebagai rakan dalam pembinaan negara. Banyak lagi program yang telah dilaksanakan dan dirancang pada masa akan datang oleh IKRAM demi menyebarkan pendekatan rahmah kepada semua.

Rahmah Milik Semua

Pendekatan rahmah ini adalah milik semua kerana ia mencakupi segala bentuk kebaikan dan kebajikan yang diingini dan diperlukan oleh semua manusia, baik di peringkat individu, keluarga, masyarakat, negara mahupun antarabangsa.

Tanpa sifat rahmah, sikap mengasihi, menghormati dan prihatin untuk menyebarluaskan kebaikan terhadap sesama manusia tidak akan berlaku kerana kepentingan diri dan kuasa yang dimiliki lebih mendominasi.

Rahmah bukanlah milik kerajaan semata-mata, bahkan ia adalah milik semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama untuk hidup harmoni dan makmur di bawah lembayung persaudaraan kemanusiaan, seterusnya dilebarkan santunannya ke segenap pelosok dunia.

Oleh itu, pendekatan rahmah yang ditekankan oleh Kerajaan Perpaduan kini sewajarnya diperluaskan lagi pelaksanaannya melangkaui kebajikan, pendidikan dan kesihatan golongan rentan dalam memacu pembangunan Malaysia Madani yang holistik, seimbang dan inklusif.

Penulis Haji Badlishah Sham Baharin ialah Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi The Malaya Post.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments