Pembentukan kawasan parlimen harus dibuat berdasarkan saiz kawasan itu

0

Kuching, 17 September – Pembentukan kawasan parlimen harus dibuat berdasarkan saiz sesuatu kawasan itu dan bukan berdasarkan jumlah penduduk di sesebuah lokaliti.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, ini kerana banyak kawasan di pedalaman negeri ini mempunyai populasi yang kecil.

“Walaupun populasi Sarawak kecil, saya percaya ia boleh dilakukan (bentuk kawasan parlimen baharu) supaya Sarawak dapat memiliki lebih banyak kerusi parlimen kerana pembentukan kawasan pilihan raya tidak hanya berdasarkan jumlah penduduk mengikut sistem Westminster yang kita salin dari UK.

“Sekiranya kawasan parlimen dibuat semata-mata berdasarkan populasi maka tempat terpencil dengan penduduk yang berselerak seperti Ulu Baram, Belaga dan Ulu Rajang tidak akan layak diwakili,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri di Bintulu, malam tadi.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta barisan Menteri Kabinet Sarawak.

Tan Sri Abang Johari berkata, ketika ini berlaku ketidakseimbangan di Parlimen apabila Sarawak dan Sabah hanya mempunyai sejumlah 56 kerusi atau 25 peratus daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi.

Berikutan itu katanya, banyak hak Sarawak dan Sabah terhakis dalam tempoh 59 tahun pembentukan Malaysia kerana dua wilayah itu tidak mempunyai kuasa mencukupi di Parlimen untuk membantah secara berkesan undang-undang yang sama ada secara sengaja atau tidak digubal bagi menghakis hak itu.

Bagaimanapun katanya, ia dijangka diperbetulkan apabila komposisi ahli parlimen dibincangkan di dalam mesyuarat berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) baru-baru ini.

“Antara yang dibincangkan ialah mengenai komposisi ahli parlimen bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan matlamat untuk memastikan ada keseimbangan dari segi jumlah kerusi parlimen antara ketiga-tiga wilayah itu dengan Sarawak dan Sabah seharusnya mempunyai 35 peratus daripada kerusi parlimen.

“Kami (Sarawak dan Sabah) hanya mahu hak kami (yang termaktub di dalam MA63) dikembalikan.. tidak lebih tidak kurang,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob atas pemilihan Melaka sebagai pusat sambutan perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan untuk julung kalinya di luar Sarawak dan Sabah.

“Ini amat wajar sekali sebagai usaha untuk membawa pengertian penubuhan Malaysia daripada tiga wilayah – Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, ke seluruh pelusuk negara selaras dengan semangat Keluarga Malaysia yang besar bertunjangkan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply