KUALA LUMPUR, 8 Februari – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, mengadakan pertemuan dengan Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli, bagi membincangkan isu strategik berkaitan pembangunan institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pertemuan ini memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan infrastruktur pendidikan tinggi negara melalui pelaksanaan projek pembangunan yang terancang dan berimpak tinggi.

Perbincangan merangkumi aspek utama seperti penyaluran peruntukan, penyelarasan projek pembangunan, serta langkah proaktif untuk memastikan IPT terus berkembang seiring dengan keperluan pendidikan dan industri masa kini.
Menurut Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry, pembangunan IPT adalah keutamaan dalam memastikan pelajar dan tenaga akademik mendapat kemudahan terbaik bagi meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara.
“Insha-Allah, isu-isu yang dibangkitkan telah mendapat perhatian Kementerian Ekonomi, dan tindakan segera akan diambil bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar serta memberi manfaat kepada sektor pendidikan tinggi,” katanya selepas pertemuan itu.

Sementara itu, Dato’ Seri Rafizi Ramli menegaskan komitmen kementeriannya dalam meneliti setiap cadangan yang dikemukakan bagi memastikan pembangunan IPT kekal sebagai agenda utama dalam perancangan ekonomi negara.
Kunjungan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh sektor pendidikan tinggi melalui kerjasama erat antara kementerian, sekaligus memastikan IPT di Malaysia terus maju dan mampu bersaing di peringkat global.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply