Sunday, October 20, 2024
HomePOLITIKPelantikan Tengku Zafrul lakar sejarah

Pelantikan Tengku Zafrul lakar sejarah

KUALA LUMPUR, 9 Mac : Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz sebagai Menteri Kewangan melakar detik tersendiri dari segi keanggotaan Kabinet serta perjalanan kerjaya beliau.

Apa tidaknya, pelantikan ahli perbankan itu disifatkan sebagai bersejarah kerana merupakan pendekatan yang berbeza daripada amalan sebelum ini.

Memetik laporan Bernama, ini berikutan jawatan Menteri Kewangan itu yang sememangnya amat berpengaruh dan berkuasa, lazimnya dikhususkan untuk kalangan anggota kanan parti pemerintah.

Malah, dalam banyak keadaan, Perdana Menteri juga turut menyandang tugas sebagai Menteri Kewangan.

Dari segi profil, Tengku Zafrul yang berusia 46 tahun itu dikenali sebagai seorang ahli teknokrat.

Anak kelahiran Kuala Lumpur pada 25 Jun, 1973, itu telah memulakan kerjaya dalam sektor perbankan/kewangan sebagai eksekutif kewangan korporat dengan AmInvestment Bank pada 1996.

Beliau kemudiannya menyertai Crédit Agricole sebagai penganalisis pelaburan dan seterusnya menaiki tangga korporat sebagai pengarah dalam tempoh beberapa tahun.

Tengku Zafrul menjadi sebahagian tenaga Avenue Capital Resources (kini dikenali ECM Libra) – sebuah syarikat tersenarai dengan kepakaran dalam perkhidmatan kewangan seperti perbankan pelaburan dan pengurusan dana yang menyaksikan beliau dilantik sebagai pengarah urusan kumpulan.

Beliau juga pernah menjadi penasihat kepada Presiden Tenaga Nasional Bhd sebelum menyertai CIMB Investment Bank Bhd sebagai ketua pegawai eksekutif.

Selain itu, Tengku Zafrul juga adalah anggota Majlis Penasihat Perniagaan  Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang mewakili Malaysia dalam usaha penggalakan perdagangan intra dan kerjasama dalam rantau tersebut.

Selain menggalas tanggung jawab korporat, beliau merupakan penasihat pembangunan sosioekonomi Malaysia dan menganggotai Majlis Sukan Negara selain Pemegang Amanah Yayasan Kepimpinan Perdana.

Menyingkap latar belakang pendidikannya, Menteri Kewangan baharu itu adalah lulusan kolej berprestij Kolej Melayu Kuala Kangsar dan menyambung pengajian ke University of Bristol, United Kingdom dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan.

Anak sulung daripada empat beradik ini kemudiannya meraih Sarjana Sastera (MA) dalam bidang Kewangan dan Pengurusan University Exeter dan seterusnya Felo Ahli Perbankan Bertauliah Institut Bank-Bank Bertauliah Asia.

Ibu beliau adalah Raja Datuk Zaharaton Raja Zainal Abidin yang merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri manakala bapanya adalah Tengku Abdul Aziz iaitu seorang ahli perniagaan.

Tengku Zafrul berkahwin dengan Raja Datin Sri Johanna Raja Arshad dan mempunyai empat orang anak. — BERNAMA

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments