Pemfailan rayuan berhubung kes Rafizi Ramli, Peguam Negara sepatutnya melakukan siasatan terperinci sebelum melemparkan tuduhan terhadap pegawai bawahannya.
Demikian kata peguam terkemuka negara Tuan Haniff Khatri berhubung tindakan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang didakwa bertindak mengugut untuk mengambil tindakan terhadap pendakwaraya berkenaan.

Dalam kes terbabit, Tan Sri Tommy Thomas berpendapat pendakwaraya engkar terhadap arahannya kerana telah memfailkan rayuan kes berkenaan.
“Secara sejujurnya saya berpendapat bahawa kenyataan Tan Sri Tommy Thomas untuk menyatakan bahawa terdapat ketidakpatuhan arahannya serta ugutan pengambilan tindakan terhadap pegawai-pegawai yang memfailkan rayuan itu, adalah tidak sihat dan tidak wajar untuk dikeluarkan oleh seorang Peguam Negara sebelum sisatan terperinci dilakukan berhubung cara bagaimana rayuan itu telah difailkan terlebih dahulu”, katanya.
Ini kerana jelas Tuan Haniff, adakah Tan Sri Tommy Thomas pasti arahan beliau telah melalui saluran-saluran yang betul untuk sampai ke pengetahuan pegawai-pegawai bawahannya yang terbabit ?
Juga adakah arahan Peguam Negara telah berjaya sampai ke tempat tujuan sebelum rayuan itu difailkan ?

Jelas beliau tindakan itu cukup memalukan dan manjatuhkan semangat pegawai-pegawai bawahan sekiranya ketua agensi secara semberono, tanpa mengenal pasti fakta sebenar, untuk menuduh pegawai bawahan dengan sengaja mengingkari arahan ketua itu.
“Bukankah kenyataan gopoh seperti ini menjauhkan lagi jurang dan hubungan di antara ketua agensi dengan pegawai-pegawainya, yang kemudian hari ini boleh mewujudkan sebab untuk pagawai bawahan menolak terus ketua terbabit.
Bukankah tanggungjawab seorang ketua agensi adalah termasuk menyusun semula tatacara arahan dan pengagihan arahan dan tugas dengan teratur untuk mewujudkan susana kerja yang sihat dan selamat, yang dapat dihormati oleh pegawai-pegawai bawahan agensi terbabit”, katanya lagi.
Tambahan pula, rayuan ini masih di peringkat awal dan boleh pun ditarik balik pada bila-bila masa sekiranya keputusan mutlak Peguam Negara untuk tidak merayu dalam kes Rafizi Ramli itu dikekalkan oleh Tan Sri Tommy Thomas, tanpa membuat kenyataan awam yang memberi persepsi salah kepada masyarakat seolah-olah pegawai-pegawai di Pejabat Peguam Negara dengan sengaja melakukan “sabotaj” terhadap keputusan Tan Sri Tommy Thomas.
Sedangkan pada hakikatnya kenyataan gopoh dan emosi seperti yang dibuat oleh Tan Sri Tommy Thomas itu dengan sendirinya boleh ditafsirkan sebagai percubaan seorang ketua untuk “sabotaj” agensinya sendiri.
“Akhir kata saya sarankan kepada Tan Sri Tommy Thomas bahawa bukan kesemua pegawai di dalam Pejabat Peguam Negara boleh secara salah dituduh sebagai “daulah terpendam” ataupun “deep state” yang menganggu urus tadbir Pejabat Peguam Negara, tetapi keengganan Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara untuk iktiraf kebolehan tinggi pegawai-pegawai di Pejabat Peguam Negara serta keengganan Tan Sri Tommy Thomas untuk mempercayai kesetiaan jujur mereka terhadap tugasan dan tanggungjawab mereka, yang sebenarnya mewujudkan hubungan tegang dan tidak sihat ini”, katanya.

Leave a Reply