Pegawai Khas PM buat laporan polis ke atas Lokman Adam

0

PUTRAJAYA, 1 Sept – Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Dr Kamarul Zaman Yusoff, hari ini telah membuat satu laporan polis ke atas Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kerana membuat tuduhan liar dan tidak berasas terhadap Perdana Menteri.

Laporan polis dibuat jam 12.35 tengah hari tadi di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.

Laporan polis itu berkisar kepada tindakan Datuk Lokman Adam semalam yang telah memuat naik di media sosial, dakwaan bahawa Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ada membuat perjanjian dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk tidak menggantikan Peguam Negara serta mempercepatkan kes terhadap Penasihat UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pada jam 8.30 pagi 1 September 2022, waktu saya berada di rumah beralamat _ saya mendengar kenyataan seorang individu yang menggunakan nama Lokman Noor Adam di pautan Facebook berikut:
https://www.facebook.com/lokmannooradam/videos/610141067453443

“Petikan video Datuk Lokman adalah berbunyi: “Nombor 1, Nombor 2, Nombor 3, Nombor 4, Nombor 5, Nombor 6 dan Nombor 10 perjanjian di antara Ismail Sabri dan Muhyiddin Yasin sudah didedahkan oleh Raja Petra, tetapi Raja Petra tidak mendedahkan perkara Nombor 7, Nombor 8 dan Nombor 9. Saya nak beritahu, Nombor 7 ialah Ismail Sabri telah menandatangani perjanjian dengan Muhyiddin, disaksikan oleh Annuar Musa, Nombor 7, tuan-tuan, Ismail Sabri telah berjanji tidak akan menukar Peguam Negara.

“Saya nak beritahu dengan saudara-saudara, kepada pengamal undang-undang, mereka jauh lebih tahu bahawa janji Ismail Sabri ini juga sudah salah dari segi undang-undang, kerana bagaimana dia boleh berjanji dengan Muhyiddin, third party, bahawa dia tidak akan menukar Peguam Negara? Ini salah, tuan-tuan, macam mana, how you rule the country you boleh buat perjanjian dengan third party? Ini adalah satu perkara yang benar-benar salah.

“Perkara Nombor 8, Ismail Sabri telah berjanji untuk mengekalkan Menteri, Timbalan Menteri dan GLC yang dipegang oleh geng-geng BERSATU dan PAS. Ini, tuan-tuan, perkara Nombor 8, tetapi yang paling celaka sekali, saudara-saudara, Ismail Sabri Nombor 9 berjanji, tuan-tuan, berjanji, dia berjanji, saudara-saudara, akan menyegerakan, akan menyegerakan kes-kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Datuk Seri Najib Tun Razak. Itu sebab Datuk Najib dihantar ke penjara dan sekarang ini mereka nak segerakan kes untuk menghantar pulak, menghantar pulak apa ni Datuk Zahid ke penjara. Tuan-tuan, ini, perjanjian ini adalah bukti jelas bahawa terdapat campur tangan Ismail Sabri dalam mahkamah, terdapat campur tangan Ismail Sabri dalam Jabatan Peguam Negara. Jadi hari ini kita mintak kepada parti supaya mengambil tindakan disiplin ke atas Ismail Sabri. Nak tunggu apa lagi? Nak tunggu apa lagi?” menurut petikan video oleh Datuk Lokman.

Menurut Dr Kamarul, beliau percaya kenyataan Datuk Lokman itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.”

“Ini kerana butiran Nombor 7, Nombor 8 dan Nombor 9 Perjanjian Persefahaman Bagi Mengikat Usahasama Dan Kesepaduan Politik Serta Protokol Untuk Pembentukan Kerajaan Baharu Perikatan Nasional yang dibuat pada 17 haribulan Ogos 2021 hanyalah berbunyi: Perdana Menteri yang baharu dilantik juga memberi akujanji akan mengekalkan pelantikan ahli-ahli parti anggota Perikatan Nasional dalam Badan-Badan Berkanun dan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan yang wujud sebelum peletakan Jemaah Menteri pada 16 Ogos 2021”, katanya.

Jelasnya selaras dengan prinsip integriti dan tadbirurus yang baik, Perdana Menteri yang baharu dilantik juga memberi akujanji untuk meneruskan pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP), melindungi kebebasan badan kehakiman dan menghormati prinsip pengasingan kuasa.

Tambah Dr Kamarul Perdana Menteri yang baharu dilantik juga hendaklah memberikan akujanji untuk mengagihkan Peruntukan Khas Perdana Menteri menurut pembahagian tertentu.

“Saya juga percaya kenyataan beliau ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menyebut “Seseorang yang—(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar— (i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan (ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; adalah melakukan suatu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, Datuk Lokman kemudian menyarankan supaya Dato’ Seri Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dikenakan tindakan oleh UMNO.

Ia susulan apa yang didakwanya sebagai campur tangan Perdana Menteri dalam institusi kehakiman dan Jabatan Peguam Negara.

“Sebaliknya, kita berpendapat Lokman yang sepatutnya dihadapkan kepada Lembaga Disiplin UMNO kerana membuat tuduhan yang amat liar, tidak berasas sama sekali terhadap Ismail sabri yang juga Naib Presiden UMNO yang diperakui parti adalah ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya ketika dihubungi The Malaya Post.

Sementara itu, Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis berkenaan namun belum menetapkan peruntukan yang akan digunakan untuk menyiasat kes itu.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply