Thursday, July 18, 2024
HomeBERITAPandangan ahli keluarga Malaysia dari Sarawak 

Pandangan ahli keluarga Malaysia dari Sarawak 

Keluarga Malaysia adalah sebuah konstruk politik yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakub pada 22 Ogos 2021 sempena ucapan inaugural beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9. Konsep ini dilandaskan kepada tiga elemen utama iaitu keterangkuman (inclusivity:), kebersamaan (togetherness) dan kesyukuran (contentment). Keterangkuman ditaksirkan sebagai mengandungi nilai hormat dan cinta akan ahli keluarga dan kebersamaan pula sebagai kesentiasaan mencari nilai dan titik persamaan bagi keamanan dan kesejahteraan ahli keluarga sementara kesyukuran itu ditaksirkan sebagai nilai berterima kasih dan berpuas hati akan apa yang diterima dan dinikmati.

Apa yang dipeloporikan oleh YAB Ismail Sabri tidak jauh berbeda dari kontek asal konsep keluarga, iaitu sebuah konsep penting dalam bidang antropologi. Mengikut seorang sarjana antropologi, Malinowski, keluarga atau famili nuklear terdiri dari ibu, bapa dan anak-anak mereka. Mereka mempunyai ikatan emosi dan cinta. Mereka duduk bersama dalam satu sempadan yang membezakan mereka dari keluarga atau famili lain.

Sementara itu, konsep famili tidak statik dan melalui transformasi pemahaman dan pemakaian, maka lahir konsep keluarga besar atau extended family. Walau bagaimana pun sifat keluarga atau famili masih berkait dengan ikatan emosi dan pertalian darah serta hubungan sosial seperti melalui perkahwinan dan pengangkatan ahli keluarga.

Sumber foto Kamek Miak Sarawak

Rumah Panjang masyarakat Dayak Iban adalah satu contoh baik menjelaskan konsep keluarga, sama ada keluarga nuklear atau keluarga besar. Setiap unit, iaitu “bilik’ atau unit famili dalam sebuah rumah panjang terdiri dari keluarga besar, extended family, yang mengandung sekurang-kurangnya 2 generasi tetapi lazim juga terdiri daripada 3 generasi seperti ibu-bapa dengan anak-anak mereka dan juga datuk dan nenek. Selain itu, sebuah rumah panjang juga terdiri daripada keluarga besar yang terdiri daripada saudara mara dengan pelbagai ikatan/ pertalian sama darah atau perkahwinan. Justeru rumah panjang itu adalah keluarg besar dimana para ahlinya diikat oleh pertalian darah dan perkahwinan sama ada dekat atau jauh. Oleh yang demikian, jalinan kerjasama adalah erat dan tanggungjawab bersama adalah amat tinggi. Semua ini diikat melalui seorang ketua, iatu Tuai Rumah, dalam sebuah rumah panjai. Tuai Rumah memainkan pelbagai peranan bagi menjamin bahawa keharmonian terjalin di antara para ahlinya atau penghuninya.

Di peringkat rumah panjang, maka Tuai Rumah menjalankan fungsi seperti ibu-bapa yang bertanggungjawab kepada “anembiak”nya (semua famili, bilik atau penghuni).

Maka beliau dihormati dan disanjungi kerana beliau adalah seorang yang bertanggunjawab akan kebajikan dan keselamatan semua dalam rumah panjang itu, adil dan saksama dalam melaksanakan tugas seperti mengadili dan menghukum ahli yang melanggar adat dan resam serta pantang larang masyarakat dan tinggi integriti dan moral serta mampu menjadi contoh kelakuan baik kepada ahlinya. Oleh kerana itu, maka kepimpinan beliau diperlukan dari masa ke masa dan seolah-olahnya tempoh perkhidmatan beliau semacam berpanjangan atau turun temurun selagi beliau mampu menjalankan tugas dan amanah itu.

KELUARGA MALAYSIA

Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri adalah unik dan menarik. Walau pun ia merupakan konsep yang unik tetapi ia bukan ide yang baharu kerana perkara yang sama pernah dilancarkan oleh para pemimpin utama negara sebelum beliau. Pelbagai konsep yang berbeza telah digunakan tetapi semua konsep itu mempunyai matlamat umum yang lebih kurang sama iaitu, mahukan negara berbilang etnik yang bersatu padu, aman, damai dan maju.

Pada awal 1970an dan 1980an, negara dan pemimpin memberi fokus kepada perpaduan dan integrasi sebagai langkah untuk memupok nilai “Kenegaraan” Malaysia yang diharapkan akan dikongsi bersama oleh setiap lapisan masyarakat dan kumpulan etnik dalam negara berbilang etnik. Usaha ini diperhebatkan lagi apabila negara dilanda krisis rusuhan kaum (etnik) 13 Mei 1969 yang mengancam kestabilan dan menggugat keutuhan negara baharu, Persekutuan Malaysia (Tunku Abdul Rahman Putra, 1969). Namun, cabaran ini bukan bermula dari penubuhan Malaysia tetapi dapat dikesan balik ke zaman Kesatuan Malaya pada 1946 dan Persekutuan Malaya 1948 yang menggantikan Kesatuan berkenaan (Noordin Sopiee, 1974). Sejarah kolonialisme di Semenanjung juga memainkan peranan dalam kerenggang kaum (etnik) di negara ini.

Namun, kejayaan mencapai matlamat memupok perpaduan dan integrasi berada di tangga kurang memuaskan kerana sepanjang 1970an dan 1980an, banyak insiden yang memecahbelahkan daripada yang menyatupadukan masyakarat berbilang etnik yang berlainan budaya, bahasa dan agama. Insiden kecil boleh menjadi besar dan insiden biasa mampu dijadikan bersifat etnik. Insiden terkutuk ini terjadi di merata tempat di persekutuan. Insiden ini bukan sahaja berlaku di peringkat akar umbi dan orang ramai, tetapi ia juga turut mengundang sesetengah invdividu dan kepimpinan berpihak mengikut kepentingan masing-masing.

Pada 1991, YAB Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke-4, telah melancarkan Wawasan 2020 dengan harapan bahawa akan wujud suatu Bangsa Malaysia:

Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara (Mahathir Mohamad, 1991).

Kepimpinan politik Mahathir Mohamad selama 22 tahun dari 1981 sehingga 2003 tidak juga membawa perubahan besar dalam konteks meningkatkan perpaduan dan integrasi walaupun beliau telah melancarkan konsep besar Bangsa Malaysia pada 1991. Beberapa insiden penting menggugat kestabilan negara telah berlaku dalam tempoh beliau menjadi Perdana Menteri. Satu insiden tidak mudah dilupai ialah Operasi Lalang 1987. Semua insiden seperti itu menunjukkan bahawa seperti pemimpin sebelumnya, Mahathir Mohamad juga turut kurang berjaya dalam memperbaiki dan meningkatkan aras hubungan etnik di dalam negara dan antara wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Insiden seperti itu juga ada kaitan dengan ketidakpuasan masyarakat terhadap cara urusan dan pejalanan negara khasnya berkaitan soalan pengagihan ekonomi dan layanan yang dipertikaikan ramai. Banyak interpretasi sudah dikemukakan dan perbahasan semula hal itu bukan tujuan kertas ini.

Matlamat memaju dan memperkukuhkan embangunan negara turut mendapat erhatian Perdana Menteri ke-5, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari atau civilising Islam. Antara 10 prinsip Islam Hadhari adalah berkaitan: (a) kerajaan adil dan beramanah; (2) pembelaan hak kumpulan minoriti dan Wanita; dan (3) keutuhan budaya dan moral (Abdullah Hj Ahmad Badawi, 2004; Mohd. Sidek Hj Hassan, 2007; ). Pendekatan Islam Hadhari diharapkan akan dapat mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju berdasarkan perspektif ketamadunan Islam (civilising Islam) yag telah terbukti mampu membawa kepada kegemilangan.

Abdullah Badawi dilihat sebagai pemimpin yang mempelopori konsep kesederhanaan atau wasatiyyah tetapi itu tinggal konsep kerana seperti pemimpin lain beliau juga kurang berjaya membawa kepada sebuah kerajaan yang ‘kelihatan’ adil dimana minoriti dibela seperti janji dalam konsep yang beliau perkenalkan. Rakyat pelbagai etnik menaruh harapan tetapi harapan itu tinggal harapan tanpa pengisian yang bermakna dan boleh membezakan beliau dari pemimpin lain sebelumnya.

Selepas itu, apabila naik Perdana Menteri ke-6, YAB Dato Seri Mohd. Najib Razak pada 2009, maka beliau turut memperkenalkan konsep beliau sendiri iaitu 1Malaysia. Dalam blog beliau, Perdana Menteri itu menyatakan bahawa 1Malaysia merupakan peta jalan (roadmap) ke arah menrealisasikan Bangsa Malaysia yang penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan kuat. Konsep itu turut mementingkan nilai penerimaan atau acceptance di kalangan masyarakat berbilang etnik (Mohd. Najib Razak, 2009).

Konsep 1Malaysia disambut baik tetapi perlaksanaannya tidak lebih dari sekadar menubuhkan perkhidmatan seperti Klinik 1 Malaysia, Kedai (runcit) 1Malaysia dan seunmpamanya. Dan perkhidmatan itu pun diwujudkan di bandar-bandar terpilih sahaja dan tidak substantif dan tidak meluas di seluruh negara.

Pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-7, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018 berlaku dalam suasan politik tidak teratur dan goyah. Justeru, arah tuju kepimpinan beliau sukar ditentukan kerana beliau memimpin dengan mandat ‘kongsi”. Mahathir adalah PM tetapi beliau adalah Perdana Menteri yang lemah kerana parti beliau ketika itu, PPBM, mempunyai kerusi parlimen ketiga terbanyak berbanding DAP dan PKR. Justeru, beliau tidak terarah dalam menentukan apa beliau mahu laksanakan. Sebaliknya, beliau sentiasa dibayangi dua rakan kuat dalam kerajaan Pakatan Harapan, iaitu DAP dan PKR.

Harapan memang tinggi diberikan kepada seorang Perdana Menteri kerana orang yang memegang jawatan itu sahaja yang dapat mempengaruhi dan menentukan bagaimana negara melangkah maju dan bersatupadu ke hadapan (Jayum Jawan, 2003). Oleh itu, besar harapan juga diberikan oleh rakyat Malaysia berbilang etnik kepada Perdana Menteri ke-8, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga beliau memperolehi panggilan “abah” (Muhyiddin Yassin, 2021). Panggilan mesra itu merupakan panggilan hormat kerana perkataan “abah” membawa makna: ayah, bapak, guru dan pemimpn hebat/ popular. Walaupun pencapaian Muhyiddin mungkin tidak dapat dinilai dari sudut bidang perpaduan dan integrasi, namun usaha beliau menangani Covid19 tetap penting sebagai langkah dalam strategi negara menangani cabaran pendamik itu yang turut menjangkiti semua di peringkat global.Sebahagian besar masa kepimpina beliau adalah tertumpu kepada hal tersebut.

Perdana Menteri ke-9, atau yang ke-3 selepas PRU 2018, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yakob muncul sebagai Perdana Menteri dalam keadaan yang agak unik dan belum pernah sebelum ini dilalui dalam sejarah politik Malaysia. Lazimnya, Perdana Menteri dilantik dari kalangan Ketua perikatan parti, dan orang ini biasa juga adalah ketua parti komponen terbesar dalam periktan berkenaan. Ismail Sabri bukan Ketua perikatan parti dan beliau juga bukan ketua sebuah parti dalam komponen dalam peritakn PN yang menyokong pencalonan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri ke-9.

Sejurus dilantikan sebagai Perdana Menteri ke-9, dan dalam ucapan pertama beliau, Ismail Sabri telah memperkenalkan pendekatan “Keluarga Malaysia” yang akan memandu beliau dalam memimpin negara. Petikan dari ucapan beliau:

Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana … [ianya] … inklusif … merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. … sesebuah keluarga … [terdiri dari] … pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga (Ismail Sabri, 2021).

PENCAPAIAN DAN HARAPAN

Keluarga Malaysia Ismail Sabri baru berusaha lebih kurang 9 bulan. Apa dapat dicapai dalam tempoh paling singkat itu berbanding masa Perdana Menteri lain yang membawa konsep masing-masing seperti: (1) Bangsa Malaysia oleh Mahathir Mohamad, 1991-2003 (12 tahun), (2) Islam Hadhari oleh Abdullah Ahmad Badawi, 2003-2009 (6 tahun); (3) 1Malaysia oleh Mohd. Najib Razak, 2009-2018 (9 tahun); dan ‘Abah’ oleh Muhyiddin Yassin, 2020-2021 (1 tahun).

Sejak pelancarannya, konsep Keluarga Malaysia sering diperkatakan ramai dan logonya kerap muncul di pelbagai tempat seperti kaca TV dan radio saluran kerajaan. Ada juga yang mengucapkan “Salam Keluarga Malaysia” sebagai salaman bila berjumpa. Di peringkat permulaan atau awal, ini mungkin baik bagi memberi kesedaran pendekatan baharu yang dikemukakan oleh seorang Perdana Menteri yang baharu. Namun, selepas kesedaran sudah dibangkitkan, maka pendekatan harus berpindah dari laungan slogan kepada pengisian sebenar berdasarkan konsep dan takrifan yang sudah digariskan di dalamnya.

Tiga prinsip asas yang menjadi teras kepada pendekatan Keluarga Malaysia perlu diterjemahkan kepada tindakan yang jelas dan dapat dilihat dengan mata kasar dan diukur dengan indeks yang nyata. Beberapa persoalan penting adalah seperti: pertama, bagaimana dan di mana mahu dilaksanakan “keterangkuman”? Apakah di peringkat kerajaan persekutuan seperti Jemaah Menteri, dewan senat, perkhidmatan persekutuan, badan berkanun persekutuan, syarikat milik kerajaan persekutuan?

Kedua, apakah jumlah dan ratio yang mahu digunakan untuk menunjukkan keterangkuman dalam sebuah negara berbilang etnik? Apakah kriteria yang akan digunakan untuk kongsikan semua perkara ini melintasi etnik? Apakah ratio atau nisbah penduduk berdasarkan etnik itu adalah kaedahnya?

Ketiga, bagaimana melibatkan anak Keluarga Malaysia atau suatu etnik yang sudah terpinggir? Bagaimana membawa mereka ke arus perdana dalam pembangunan negara?

Soalan terpenting ialah “Apakah Perdana Menteri Ismail Sabri bersedia melakukan suatu yang lain dari semua Perdana Menteri sebelumnya dari segi tindakan yang mampu menreaslisasikan ide besar beliau iaitu Keluarga Malaysia untuk menunjukkan adanya keterangkuman dan kebersamaan bagi melahirkan rasa kesyukuran di kalangan semua ahli keluaga Malaysia dalam negara berbilang etnik?”

Semua Perdana Menteri sebelum ini melancarkan ide besar masing-masing, atau a grand idea, tetapi tindakan mereka tidak selaras dengan ide besar mereka lancarkan, ibarat “jauh panggang dari api”. Seperti pemimpin terdahulu, Ismail Sabir terperangkap dalam kancah politik perkauman yang belum terhakis lagi. Ide besar bagus dan mampu mewujudkan perpaduan dan integrasi dalam negara berbilang etnik, tetapi bila berdepan dengan perlaksanaannya, beliau tidak mendapat sokongan khasnya dari birokrasi dan agensi persekutuan yang bertanggungjawab melaksanakan apa beliau mahukan untuk membina Keluarga Malaysia yang bersatu padu berkongsi dan sama sama menikmati akan hasil pembangunan dan pertumbuhan kekayaan dalam negara.

Setakat ini, umum kerap mendengar pelbagai program besar atau pembangunan makro yang diumumkan. Ini semua baik bagi negara keseluruhannya, tetapi impak program ini kepada ahli pelbagai etnik Keluarga Malaysia belum tentu berkesan. Mereka nampak tetapi tidak dapat merasai kesan pendekatan Keluarga Malaysia yang mahukan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Banyak entik, termasuk Dayak, merasakan mereka tidak dilibatkan dalam kerajaan persekutuan dalam pelbagai aspek dan tingkat, sama ada dahulu, mahupun sekarang.

Dalam pelbagai media arus perdana dan sosial, hal ini, iaitu ketinggal dan peminggiran Dayak sering menjadi perbualan hangat. Mereka bukan sahaja berhujah kosong, tetapi hujah-hujah itu turut mepamarkan data untuk menunjukkan bahawa mereka, Dayak tidak dilibat di peringkat nasional dan juga di peringkat wilayah, iaitu Sarawak. Soalan sering diutarakan ialah mana orang Dayak atau wakil mereka? Soalan-soalan seperti ini dikaitakan dengan ketiadaan wakil mereka dalam beberapa kedudukan seperti berikut:

• Menteri penuh dan Timbalan Menteri persekutuan;

• Ketua Setiausaha (KSU) & Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Kementerian persekutuan;

• Ketua Pengarah/ Bahagian di Kementerian & Jabatan/ Agensi Kerajaan;

• Ketua di Badan Berkanuan Persekutuan, seperti di 21 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA);

• Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat milik kerajaan (SMK);

• Duta Besar/ Pesuruhanjaya Tinggi.

Selagi hal seperti di atas tidak disentuh dalam membina Keluarga Malaysia, rasa terangkum dan bersama akan tingagal slogan semata-mata. Justeru, rasa kesyukuran tidak akan timbul kerana tidak tahu kepada siapa iya nya perlu diluahkan.

KESIMPULAN

Malaysia ke hadapan dan dengan hasrat mahu mewujudkan sebuah negara berbilagn etnik yang bersatupadu dan maju memerlukan tindakan konkrit, tegas dan berani. Tindakan ini tidak akan menjejaskan hak mana-mana etnik dan ini perlu diketengahkan oleh sesiapa yang menjadi ketua negara atau bapa Keluarga Malaysia. Semua pemimpin utama Malaysia sebelum ini mempunyai niat yang baik tetapi apabila berhadapan dengan perlaksanaan, mereka menjadi kendur kerana pelbagai masalah.

Sumber foto Zulazhar Sheblee/The Star

Pertama, perlaksanaan pendekatan itu tidak mendapat sambutan dari kumpulan perlaksana. Kedua, pemimpin berhadapan dengan realiti bahawa penyokong utama mereka tidak dapat menghayati nilai yang dimajukan. Mereka menyambut laungan slogan tetapi realitinya tidak mahu berkongsi dan lupa akan nilai-nilai murni yang membolehkan Persekutuan Malaya mencapai kemerdekaan pada 1957 dan Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 1963. Kewujudan kedua-dua negara itu adalah atas dasar perkongsian, kesederhanaan, menerima antara satu sama lain, bertolak ansur dan saling berkerja. Ketiga, pemimpin perlu mencari jalan bahawa perkongsian untuk ahli Keluarga Malaysia demi keterangkuman perlu dilakukan dengan mengembangkan semua pie/kek supaya mereka yang sudah menikmati bahagian masing-masing tidak akan merasakan bahawa mereka akan kehilangan sesuatu dari perkongsian melalui kaedah baharu itu.

Artikel ini ditulis oleh:

Prof.Datuk Dr Jayum anak Jawan FASc  adalah profesor sains politik dan penyandang pertama Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu (TSEJRC), Jabatan PengajIan Kenegaraan & Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah Felo, Akademi Sains Malaysia. Beliau juga merupakan Staf Adjung, Centre for International Studies, Ohio University, Athens, Ohio, US sejak 2021. Beliau adalah Penyandang ke-15, Kursi Tun Abdul Razak di Universiti sama antara 2015 dan 2017.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments