Saturday, July 27, 2024
HomeBERITAIsmail Sabri: Menebus kestabilan, mengurus kepelbagaian

Ismail Sabri: Menebus kestabilan, mengurus kepelbagaian

Dato Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil-alih teraju kepimpinan negara pada 21 Ogos 2021. Tarikh ini penting dalam tawarikh warisan kepimpinan politik tanah air kerana pertama, berakhirnya pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ke-8, 15 bulan selepas proses pertukaran baton kepimpinan dari penjajaran politik Mac 2020 dan kedua, tarikh ini menjadi titik mula satu lagi perjalanan politik; kepimpinan Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

Sejak Mei 2018 sehingga Ogos 2021, Malaysia melihat pertukaran tiga ketua kerajaan iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan kini Ismail. Ismail hadir sewaktu negara berhadapan dengan fasa endemik transisi dari pandemik Covid-19.

Ini juga kali pertama seorang Naib Presiden UMNO diangkat sebagai Perdana Menteri melewati Presiden dan Timbalan Presiden parti bersesuaian dengan kedudukan paling kanan dari parti UMNO dalam Kabinet Muhyiddin, beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan seterusnya pada 7 Julai 2021, Timbalan Perdana Menteri. Selepas 44 hari selaku Timbalan Perdana Menteri, beliau menjadi Perdana Menteri.

Berdasarkan kepada stratifikasi kekananan dalam parti, Ismail pernah dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada Mac 2019 untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memegang jawatan tersebut sejak Julai 2018.

Sisipan latar belakang beliau menunjukkan bahawa penglibatan aktif dalam politik bermula sejak tahun 1980-an. Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh; Ketua Penerangan Bahagian tersebut dan seterusnya Ketua Sayap Pemuda serta Ketua Bahagian pada tahun 2004. Ismail telah bertanding dalam tiga Pilihan Raya Umum sejak tahun 2008 di kawasan Parlimen Bera. Beliau juga berpengalaman memegang beberapa portfolio kementerian termasuk sebagai Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ismail menjadi Perdana Menteri selepas desakan berterusan meminta Muhyiddin meletak jawatan sehingga beberapa pemimpin UMNO melalui keputusan Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan menarik sokongan ke atas beliau dan kerajaan Perikatan Nasional. Keabsahan kerajaan Muhyiddin dipersoal selepas beliau didapati tidak dapat membuktikan masih memiliki majoriti kerusi di Parlimen. Berikutan dengan itu, Muhyiddin membuat keputusan melepaskan jawatan Perdana Menteri dan turut membawa kepada berakhirnya kerajaan Perikatan Nasional.

Berikutan dengan kedudukan itu, pihak Istana Negara telah dimaklumkan mengenai keperluan untuk memilih Perdana Menteri baharu. Muhyiddin tidak mencadangkan pembubaran Parlimen ketika itu. Keputusan ini selaras dengan Perkara 43 (4) dan 40 (2) (a) yakni berkaitan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri dan kuasa budi bicara Yang DiPertuan Agung (YDPA) untuk melantik Perdana Menteri.

Berdasarkan kepada Surat Akuan Bersumpah yang dihantar ke Istana Negara, Ismail memiliki 114 sokongan Ahli Parlimen berbanding calon lain iaitu, Datuk Seri Anwar Ibrahim 105. Untuk rekod, dua kerusi masih kosong selepas kematian Ahli Parlimen Grik dan Batu Sapi manakala seorang Ahli Parlimen memilih untuk berkecuali.

Ismail telah mengambil langkah awal untuk meneruskan agenda Muhyiddin apabila tidak menukar saiz kabinet beliau. Saiz kabinet yang besar bukan satu yang baharu bagi Malaysia. Ketika Datuk Seri Mohd Najib Razak mentadbir, bilangan Menteri adalah 35 manakala Timbalan Menteri adalah 33; sewaktu Dr Mahathir mengambil-alih kepimpinan negara pada tahun 2018, bilangan Menteri adalah 28 dan Timbalan Menteri adalah 26. Kabinet Muhyiddin dianggotai oleh 32 Menteri dan 38 Timbalan Menteri. Bagi Ismail 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri merupakan satu manifestasi ke atas fasa awal pelantikan sebagai Perdana Menteri. Yang jelas, 16 anggota kabinet lama kekal portfolio mereka; 11 bertukar kementerian, 5 muka baharu dan 4 digugurkan.

Barangkali, ini adalah antara usaha pertama gencatan politik dalam mencari perdamaian politik dan kompromi. Politik kepembangkangan sewaktu beliau menjadi Ketua Pembangkang dan politik waras di bawah kedudukan sebagai ketua kerajaan perlu dinilai untuk memahami mengapakah ‘menebus kestabilan dan mengurus kepelbagaian’ penting di tempohmasa pelantikan ini.

‘Menebus kestabilan, mengurus kepelbagaian’ di bawah kerangka ‘Keluarga Malaysia’ kepimpinannya menjadi kunci kepada gerak kerja sepanjang satu tahun pentadbiran beliau, berpandukan kepada kedudukan sebagai penyandang jawatan tertinggi dalam kepimpinan tanahair. Malahan, ia adalah ujian psikik keterbukaan dan perwatakan ‘sempoi’ serta mesra beliau.

Selepas satu tahun, kepimpinan Ismail diimbas untuk melihat gaya kepimpinan sebagai Perdana Menteri dalam suasana politik Malaysia yang masih belum ada penghujungnya. Apakah faktor yang boleh dihubungkan dengan bentuk gaya kepimpinan beliau sepanjang satu tahun mentadbir negara? Adakah ia dianggap efektif untuk iklim politik siasah tanahair hari ini? Kertas kerja ini akan cuba mengupas kedua-dua persoalan ini.

Ciri-ciri Yang Mempengaruhi Gaya Kepimpinan Ismail

Perbincangan gaya kepimpinan Ismail mesti dirujuk kepada kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri yang memiliki autoriti di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Perdana Menteri merupakan pemimpin berjawatan tertinggi negara dan watak paling penting dalam konteks sistem pentadbiran negara. Kuasa di bawah JPM membenarkan beliau merangka, mengimplementasi dan memantau agenda negara. Seorang Perdana Menteri yang mempamer kewibawaan memerlukan beberapa kriteria penting iaitu pertama setia pada parti termasuk berpengalaman dan mempunyai kualiti kepimpinan bersesuaian dengan persekitarannya; kedua terbuka dan sabar menjadi ketua; ketiga rekod baik sebagai pemimpin dan keempat latar belakang yang diterima ramai dalam konteks kepelbagaian kependudukan negara ini.

Walaupun sebagai Naib Presiden parti UMNO yang juga membantu mengurus kepentingan parti UMNO, sebagai Perdana Menteri Malaysia pula, beliau bertanggungjawab ke atas keseluruhan masyarakat Malaysia tanpa mengira batasan agama, etnik, gender mahupun fahaman politik.

Pemimpin memerlukan legitimasi dalam kepimpinannya supaya dalam memerintah; masyarakat merasakan mereka perlu memberi sokongan.

Sejak kemerdekaan, Malaysia sudah memiliki sembilan orang Perdana Menteri. Kesemuanya mempunyai nilai dan kewibawaan masing-masing yang terserlah bersesuaian dengan keperluan dan persekitaran ketika mereka berkuasa. Transisi kepimpinan dari Muhyiddin kepada Ismail berlaku selepas beberapa hari tempoh mendapatkan sokongan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat. Ia berlaku secara mengejut.

Ismail mewarisi pentadbiran sebuah negara yang secara umumnya masih bergelut dengan krisis politik yang tidak stabil dan tidak menentu; peralihan kepada pemulihan dari pandemik kepada endemik Covid-19 dan konflik keselamatan sosio-kesihatan. Ada yang perlu diubah dan disesuaikan dengan angka dan fakta untuk menebus kestabilan dan mengurus kerencaman negara ini.

Kepimpinan Ismail

Sepanjang satu tahun, penilaian ke atas gaya kepimpinan Ismail perlu dihubungkait dengan beberapa perkara termasuk sejarah struktur kuasa yang diwarisi; integrasi pembudayaan keetnikan dan identiti nasional; hubungan dengan ekonomi dan taraf hidup; fungsi pemikiran baharu misalnya idea demokrasi dan berorganisasi; serta pengaruh antarabangsa melalui hubungan di peringkat serantau dan global. Kesemua ini boleh menjadi kerangka keabsahan politik kepimpinan Ismail sepanjang satu tahun mentadbir negara yang juga memberi gambaran praktis gaya kepimpinannya.

Pernahkah Ismail terfikir akan menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti? Adakah Ismail bercita-cita besar? Ismail merupakan Timbalan Perdana Menteri yang dalam masa yang pantas mendapat kepercayaan untuk menerajui negara selepas Muhyiddin. Ada juga melihat imej beliau sebagai ‘sempoi’ dan ‘terbuka’ menyebabkan Ismail dibandingkan dengan kredibiliti dan nilai karisma pemimpin yang datang dan pergi dalam arena politik Malaysia. Adakah ini satu kelebihan untuk berhadapan dengan suasana yang berbeza yang memerlukan pendekatan yang luar biasa?

Ismail menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dalam persekitaran yang tidak selesa. Beliau sedar banyak cabaran yang perlu dihadapi memandangkan bayangan krisis politik, ekonomi dan sosial belum dileraikan. Kebuntuan politik masih mendominasi. Ismail memimpin mengikut caranya dan yang penting adalah impak keputusan gaya kepimpinan ke atas kerajaan dan rakyat. Ismail dianggap mempamerkan gaya kepimpinan terbuka dan yang mendasari gaya kepimpinan terbuka kerajaan Ismail adalah rundingan, akamodasi dan partisipasi.

Ketiga-tiga gaya kepimpinan ini wujud apabila melibatkan rakyat dalam proses kepimpinannya. Dalam kenyataan pertama sebagai Perdana Menteri, beliau menyatakan “Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara manakala batang serta ranting menjulang kukuh nilai Keluarga Malaysia yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya, memanfaatkan rakyat. Inilah metafora Keluarga Malaysia”.

Sebagai seorang pemimpin politik di bawah nama Perdana Menteri ‘Keluarga Malaysia’, beliau cuba memobilisasi sokongan orang ramai dengan menggunakan pendekatan ‘mengurus kepelbagaian’. Gaya kepimpinan ini sebenarnya penting ketika negara memerlukan komitmen ke atas ‘merakyatkan kepimpinan’ untuk mengatasi perbezaan dan meraikan persamaan agar masing-masing menunjukkan rasa ‘perkongsian’, ‘kepunyaan’, ‘sederhana’ dan ‘tasamuh’ untuk mengatasi permasalahan negara bersama. Kestabilan perlu diperbaiki pada waktu itu kerana desakan datang dari luar dan dalam parti. Ini kerana beliau mewarisi kerajaan yang tidak menentu disebabkan oleh penjajaran mandat dalam kalangan wakil rakyat. Bucu-bucu pemisah ingin dirobohkan dan dipulihkan benteng-benteng kekuatan atas gagasan ‘Keluarga Malaysia’.

Mengurus mediasi, rundingan, akomodasi, berpartisipasi dan konsensus demi menebus kestabilan negara dianggap antara cabaran satu tahun cara kepimpinan beliau. Ia dilakukan secara tersusun dan berkesan agar tidak mendatangkan impak berterusan sehingga sukar melaksanakan agenda besar untuk tanahair.

Hatta, urusan parti dihadapi selaku Naib Presiden dengan memberi keyakinan di Perhimpunan Khas UMNO 2022 bahawa UMNO adalah partinya dan jaminan perbincangan mengenai Pilihan Raya Umum dengan barisan tertinggi parti selepas desus-desus wujud kem Putrajaya dan PWTC untuk menghindar persepsi ke atas kepimpinan beliau. Intra-parti masih menimbulkan dilema dan persefahaman dengan pembangkang dipersoalkan, namun nada yang tenang dengan jelas menyatakan “saya orang parti; darah saya darah UMNO”.

Penggulungan selaku Naib Presiden memberi nafas baharu. Julung kali seorang Perdana Menteri membuat penggulungan sebelum Timbalan Presiden dan Presiden. Menarik untuk melihat beliau menyampaikan pencapaiannya untuk menjawab persoalan perwakilan agar sebarang keraguan tidak menjadi polemik berterusan. Antaranya, isu kos sara hidup, Bahasa Melayu, Pendidikan, Covid-19 dan fasa endemik serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU Ke-15). Pengumuman gaji minimum sebanyak RM1,500 bermula 1 Mei 2022 merupakan kelulusan yang tertanggung sekian lama. Keberanian untuk memperkenalkannya ketika rakyat sedang bergelut dengan sara hidup mesti diberikan pengiktirafan sewajarnya. Ini seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang dibawa ke seluruh pelusuk negara memerlukan masa untuk memastikan dari fasa pemahaman boleh ditukar kepada fasa penerapan dan seterusnya amalan. Ini juga menjadi agenda beliau.

Soal kesaksamaan gender disentuh oleh Ismail dengan membolehkan kelompok wanita yang kematian suami dibenar bekerja dari rumah sepanjang tempoh idah (4 bulan 10 hari). Disamping itu, dalam isu yang berkaitan dengan pasangan yang bercerai, akaun suami boleh dibeku jika gagal memberi nafkah kepada anak mereka.

Begitu juga dengan 370,000 peluang pekerjaan dengan pelaburan sebanyak RM32 bilion dalam usaha pembangunan Automative High-Technology Valley di Tanjong Malim. Bagi yang ada kepakaran tetapi kehilangan pekerjaan sewaktu tempohmasa Perintah Kawalan Berkurung, ini berita baik. Malahan, ia akan menggiatkan pelaburan langsung asing serta operasi industri berat di peringkat serantau dan global. Peningkatan kemajuan teknologi industri berat akan merancakkan ekonomi dan membantu kemahiran profesional dalam dan luar negara serta merapatkan jurang hubungan dua hala dengan negara lain.

Disamping itu, isu Muhammad Adib Mohd Kassim terjawab dengan bayaran pampasan kepada keluarga arwah dan laporan penuh dalam jangkamasa terdekat. Isu berhubung Tan Sri Tommy Thomas, bekas Peguam Negara juga dinyatakan oleh Perdana Menteri tidak akan diselindungi.

Isu tuntutan Sultan Sulu yang banyak disiarkan kebelakangan ini ternyata tidak terlepas dari pandangan Ismail. Beliau tegas dalam soal kedaulatan, nasionalisme berdasarkan konsep ‘Bela Negara’. Sebagai seorang nasionalis bahasa, beliau mahu memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu dan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 bagi membolehkan pendakwaan diambil ke atas mereka yang menyalahgunakan bahasa.

Persoalan mengenai PRU Ke-15 akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri memberi jaminan akan berbincang dengan lima barisan pemimpin tertinggi parti (Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden). Persoalan pemilihan parti dilakukan sebelum PRU terhenti dengan kelulusan yang diperolehi oleh parti dari Jabatan Pertubuhan Pertubuhan (ROS). Kekusutan ini disimpulkan oleh Perdana Menteri dengan harapan sebagai seorang yang ‘berdarah UMNO’, beliau juga mahu UMNO menang dan tidak merasa terlalu selesa dengan keputusan PRN dan PRK. Kekuatan dalam parti mahu dinilai disamping bergantung kepada kelemahan lawan dan peratusan yang akan keluar mengundi. Walau apapun, perkenaan Yang DiPertuan Agung (YDPA) adalah bersifat mutlak untuk mewartakan pembubaran Dewan Rakyat.

Ini juga bertujuan untuk mengimbangi perjanjian persefahaman antara kerajaan dan barisan pembangkang yang ditandatangani pada 13 September 2021 untuk mengakhiri kebuntuan politik. Ia sudah berakhir pada 31 Julai 2022. “Apa yang dilakukan oleh Bera (Ismail Sabri) berbeza. Dia menang walaupun majoriti sangat kecil tetapi sekurang-kurangnya dia terus ambil pendekatan panggil kita (pembangkang),” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Selepas satu tahun, kestabilan boleh dianggap semakin diperbaiki jika dibandingkan dengan suasana politik dari 2018-2020 dan kemudian 2020-2021. Sistem politik yang bersifat dinamik masih berhadapan dengan ketidaktentuan struktur tetapi terkawal dengan formula ‘tawaran baharu’ perdamaian politik.

Rundingan memperlihatkan hubungan antara kerajaan dan barisan pembangkang yang penting untuk meredakan suhu politik dan kelesuan politik. Kejayaan memperkenalkan Undi18 di Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022 dan memperolehi sokongan besar untuk mewartakan RUU Larangan Keluar Parti merupakan antara persetujuan bersama hasil konsensus dan rundingan berterusan antara kedua-dua blok ini. Begitu juga usaha untuk membawa Akta Penyeliaan Dana politik yang wajar dilakukan segera untuk memenuhi Akta Larangan Lompat Parti. Malahan, Akta Etika Wakil Rakyat boleh melengkapkan kedua-dua Akta ini. Menebus kestabilan datang dengan mentadbir-urus tatacara kenegaraan, sektor politik dan sosio-ekonomi serta disemak semula perjanjian Malaysia 1963.

Apabila beralih fasa pandemik kepada endemik, maka cabarannya berbeza untuk meneruskan dos vaksin tetapi waktu yang sama memantapkan pengukuhan dalam negara dengan merancakkan semula ekonomi tanahair termasuk sektor pelancongan dan jihad inflasi apabila rakyat berhadapan dengan kenaikan harga barang mendadak. Ini memerlukan sistem penyampaian awam yang berakomodasi ke atas ‘rakyat’. Peruntukan tambahan sebanyak 1 juta (menjadi 2 juta) untuk membantu aktiviti persatuan belia; inisiatif pemilikan perumahan Keluarga Malaysia atau i-MILIKI; beberapa dana untuk peneroka Felda; blueprint perumahan 3.0 MINDEF; pelancaran Malaysia Digital atau PEMANGKIN; peruntukan 100 juta di bawah SKM untuk Tabung Agromakanan; Bantuan Keluarga Malaysia (BKM); membatalkan kuota import (AP) barangan makanan luar negara; penubuhan Majlis Wanita Negara (MWN); pewujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual; peruntukan RM4.8 bilion dibawah JaminKerja untuk menurunkan kadar penangguran; sinergi kerajaan persekutuan dan negeri bagi memperkasakan sekuriti makanan negara dan ketegasan tangani isu bekalan makanan merupakan antara inisiatif dan intervensi yang dilakukan di bawah usaha penyaluran sistem penyampaian yang lebih baik dari sebelumnya. Ia penting untuk membaikpulih kestabilan dalam negara dan membina kepercayaan ke atas struktur serta sistem sedia ada.

Naratif keselesaan, kesejahteraan dan keselamatan kesihatan diselaraskan dengan ilmu hukum menjadi asas kepada penyampaian gaya kepimpinan Ismail. Kesemua ini dilengkapi dengan perwatakan dan sikap bertanggungjawab ke atas pembudayaan dan identiti nasional termasuk kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, komunikasi dan perhubungan rasmi. Kerangka ‘Keluarga Malaysia’ memberi takrifan ke atas kebolehupayaan mencapai hasrat ini berpayungkan kepada keterangkuman, kesyukuran dan kebersamaan.

Mengurus kepelbagaian dilakukan agar keseimbangan dan jurang diperbaiki merentasi nilai keetnikan, kelas, persempadanan dan agama agar lahir warga yang setara, sederhana, harmoni; gambaran ke atas perkongsian dan sifat kepunyaan. Bermula dengan pemahaman dan fasa penerapan, ia akan menyelusuri fasa amalan dengan menggiatkannya melalui aktiviti dan program di seluruh negara.

Kesimpulan

Sepanjang satu tahun, Ismail cuba mengorak langkah dengan pendekatan tertentu ke atas sesuatu isu. Legitimasinya bergantung kepada politik kolektif, konsensus dan mandat Ogos 2021. Kekuatan seseorang pemimpin juga bergantung kepada persekitaran ke atas individu tersebut. Dalam konteks budaya politik Malaysia yang kian berubah, eko-sistem ketaatan mutlak sudah semakin terhakis dengan pembaharuan kepada persekitaran arena politik sejak Mei 2018. Barangkali metodologi beliau sebenarnya mampu merapatkan kerajaan atau parti dengan kelompok yang luntur sifat ‘politik kepartian’.

Dalam melihat satu tahun kepimpinan Ismail, harus diakui bahawa Ismail mengambilalih satu kedudukan yang luar biasa. Mandat yang diberikan adalah mandat wakil rakyat. Ini bermakna apabila Ismail mula memimpin, beliau bukan sahaja memikul tanggungjawab besar di bawah JPM tetapi personaliti beliau juga akan turut diperhatikan terutama keupayaan menggunakan autoriti di bawah JPM.

Kehadiran kelompok literasi politik yang semakin meningkat, golongan kelas menengah yang pemikirannya berubah dan mengurus cabaran dari luar dan dalam akan memberi penilaian sewajarnya ke atas kedudukan politik Ismail pada masa akan datang.

Yang jelas, dalam pentadbiran Ismail sehingga ke hari ini, nilai perwatakan, kandungan komprehensif dan komunikasi serta kompetensi outputnya memperlihatkan ada kesinambungan tetapi pendekatannya berbeza kerana refleksi dari perubahan persekitaran politik, ekonomi dan sosial. Kesemua ini ditunjangi oleh gaya proses berpartisipasi, perundingan, akomodasi dan konsensus beliau.

Asas kepimpinan politik Malaysia adalah faktor demografi, geografi dan ideologi. Di bawah Ismail, beliau cuba menyesuaikan pendekatan sendiri dalam menentukan hala-tuju negara di bawah gagasan Keluarga Malaysia. Tahap awal kepimpinan Ismail menunjukkan adanya reformasi berstruktur termasuk sistem penyampaian awam dan perundangan. Menebus kestabilan, mengurus kepelbagaian di bawah gagasan Keluarga Malaysia menjadi formula tawaran baharu Ismail.

Harapan kini adalah ia menjadi perkakas kepada usaha pengembangan dan memperkukuhkan serta mensejahterakan anggota masyarakat dengan komunikasi dan paparan kandungan yang komprehensif. Begitu juga untuk terus menjadi faktor penyatuan melalui tindakan dan keputusan yang ‘merakyatkan kepimpinan’.

Tahun dua boleh diterokai dengan perkasakan daya saing, perkuatkan kesejahteraan dan perkembangkan kerukunan untuk menebus kestabilan dan mengurus kepelbagaian negara ini bermanifestasikan kepada integriti politik dan menyelami kemahuan serta keperluan rakyat dari pelbagai latar belakang khususnya kos sara dan gaya hidup serta kompas akhlak dan akidah di bawah gagasan ‘Keluarga Malaysia’ yang dimensinya adalah suluhan ke atas praktis gaya kepimpinan beliau.

Artikel ini ditulis oleh Prof. Dr Sivamurugan Pandian, Penganalisis Politik Malaysia & Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments