Tuesday, June 11, 2024
HomeBERITAOP MARDOF 2/2023 : 525 disita anggaran lebih 100 ribu 

OP MARDOF 2/2023 : 525 disita anggaran lebih 100 ribu 

TERENGGANU, 25 Julai – Sebanyak 525 sitaan melibatkan 74 keroncong mata pukat dan 451 bubu naga dengan nilai anggaran sejumlah lebih RM100 ribu telah dibuat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) hasil daripada 1,909 pemeriksaan yang telah dijalankan di darat dan di laut sempena Op MARDOF 2/2023 pada 13 Mac sehingga 26 Jun yang lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Haji Mohd Amin berkata, operasi bersepadu ini turut berjaya menahan 36 buah bot nelayan tempatan (BNT) di lima kawasan sektor operasi yang telah ditetapkan iaitu Op MARDOF Utara, Op MARDOF Barat, Op MARDOF Timur, Op MARDOF Sabah dan Labuan serta Op MARDOF Sarawak.

Beliau juga berkata, selain operasi di laut, pemeriksaan di jeti dan sesi libat urus dengan komuniti nelayan setempat, Op MARDOF 2/23 kali ini telah ditambahbaik dengan pelaksanaan sesi non-operational engagement iaitu sukan persahabatan antara Maritim Malaysia dan DOF di setiap sektor operasi yang telah dilaksanakan.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Tuan Haji Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, Op MARDOF 2/2023 telah memberikan impak yang positif dalam menangani kegiatan pencerobohan, perlanggaran syarat lesen dan lain-lain lagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Beliau menambah, Op MARDOF adalah platform terbaik bagi kedua-dua agensi dalam perkongsian maklumat dan kepakaran antara pegawai dan anggota yang berada di lapangan khususnya ketika pelaksanaan fasa operasi di laut.

Berdasarkan kepada kejayaan daripada operasi kali ini, Maritim Malaysia dan DOF komited untuk terus melaksanakan operasi seumpama ini bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara dan keselamatan dalam sektor perikanan terpelihara.

Kedua-dua agensi ini turut menggesa kepada pihak yang terlibat dalam industri perikanan untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan bersama dan masa depan industri perikanan Malaysia.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments