Wednesday, June 19, 2024
HomeBERITANGO antarabangsa, RSF gesa SKMM henti sekat media

NGO antarabangsa, RSF gesa SKMM henti sekat media

NGO antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) pula menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil menghentikan sekatan terhadap laman web berita dalam talian.

Menurut Pengarah Biro Asia-Pasifik RSF, Cédric Alviani, dalam satu kenyataannya berkata kebimbangan mereka dengan gelombang tanpa penjelasan menyekat laman web berita yang kritikal terhadap kerajaan Malaysia.

Tindakan seperti itu katanya hanya akan memudaratkan demokrasi di Malaysia.

“RSF bimbang dengan gelombang tanpa penjelasan atau dibawa ke mahkamah, terhadap laman web berita yang kritikal terhadap kerajaan. Tindakan seperti itu hanya akan memudaratkan demokrasi di Malaysia”, katanya.

Kumpulan berpusat di Paris ini merujuk kepada tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses ke beberapa laman web berita.

Terdahulu SKMM menjelaskan suruhanjaya itu harus menyekat kandungan mengelirukan ataupun tidak tepat bagi memastikan keharmonian masyarakat, tanpa merujuk kepada mana-mana kes.

“Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam penerbitan berita yang kurang bertanggungjawab, kurang peka dan kurang tepat. Terdapat organisasi media yang telah menerbitkan kandungan yang tidak tepat dan mengelirukan.

“Apabila tumpuan diberi kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian, etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng dan adalah amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya

“Senario ini memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat memandangkan maklumat yang mengelirukan disebar dengan mudah dan menimbulkan naratif yang kurang tepat,” menurut SKMM dalam satu kenyataan.

Pada awal tahun ini, RSF menilai Malaysia pada tempat ke-73 daripada 180 negara – kedudukan tertinggi yang pernah dicapai Malaysia dalam Ranking Kebebasan Media Sedunia. Malaysia juga menduduki tempat tertinggi di kalangan negara-negara Asia Tenggara selama dua tahun berturut-turut.

Sejak Jun, beberapa laman web disekat termasuk MalaysiaNow, UtusanTV dan TV Pertiwi.

Pada 18 Ogos lalu, Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia dalam satu kenyataan mengecam tindakan pihak kuasa  menyekat akses tanpa notis dan sebab ke atas beberapa portal sejak kebelakangan ini.

Menurut Presidennya, Nik Suryani Megat Deraman, tindakan seperti ini juga dikhuatiri akan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media.

“Tindakan seperti ini juga dikhuatiri akan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media yang kini sudah berada di kedudukan 73 daripada 180 negara dengan skor 62.83”, katanya.

Justeru, Persatuan sekali lagi memohon pihak berkuasa agar menghormati serta memastikan pengamal media di negara ini di beri kebebasan dalam menjalankan tugas dengan berlandaskan etika kewartawanan sedia ada, selaras dengan jaminan dan dasar Kerajaan Perpaduan.

Kelmarin, sekumpulan wartawan veteran memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak bertindak seperti “Big Brother” berikutan beberapa siri ancaman dan sekatan ke atas media di negara ini, dengan mengatakan ia adalah peringatan kepada amalan pentadbiran terdahulu untuk mendiamkan pengkritik terhadap elit politik.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments