Neelofa nafi khabar angin, mohon beri masa perbaiki keadaan

0

Neelofa, 31, tampil memberi penjelasan terhadap spekulasi dan khabar angin yang bertiup kencang sejak semalam tentang hubungannya bersama bakal suami, Pencetus Ummah Haris Ismail atau PU Riz.

Menerusi penjelasan secara maya di laman Instagram miliknya, nyata Neelofa terkejut dan menafikan kesemua dakwaan yang sedang hangat diperkata ramai.

Namun, Neelofa seakan memberi bayangan timbulnya permasalahan dalam hubungan di kedua-dua belah pihak keluarga.

“Tolong beri kami masa untuk memperbaiki keadaan.

“Juga tolong hentikan menyebar, menokok tambah dan mempercayai bulat-bulat akan penyebaran berita ini.

“Saya mohon tolong doakan yang baik-baik” pohon Neelofa.

Rata-rata netizen mendoakan hubungan Neelofa dan PU Riz kembali pulih dan mendapat restu keluarga.

Bahkan, netizen juga berharap agar majlis perkahwinan yang sepatutnya dirancang diadakan pada bulan Mac tahun hadapan akan tetap diteruskan.

Sejak semalam, nama figura cantik Neelofa dan PU Riz menjadi ‘trending’ di platform media sosial gara-gara penyebaran beberapa tangkap layar paparan perbualan aplikasi WhatsApp antara dua individu berkenaan hubungannya dengan PU Riz yang dikatakan dilanda badai.

Khabar angin mengatakan pasangan ini telah bernikah senyap-senyap di Kelantan berwalikan bapa kandung Neelofa tanpa pengetahuan ahli keluarga termasuk ibunya sendiri, pemindahan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi PU Riz, penggunaan minyak pengasih dan kisah Neelofa dikurung untuk berubat antara topik hangat yang menjadi perbualan netizen dalam media sosial sejak semalam.

Laporan media menyebut beberapa ‘status story’ dimuatnaik menerusi laman media sosial Instagram adik beradik Neelofa dipercayai ditujukan kepada PU Riz.

Tindakan mereka ‘unfollow’ PU Riz menguatkan desas desus wujudnya masalah dalam hubungan kedua belah pihak.

Untuk rekod, bekas juara Dewi Remaja 2009/2010 itu telah dirisik oleh keluarga PU Riz dalam satu majlis tertutup di kediaman keluarga Neelofa pada 1 November lalu.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply