Saturday, May 25, 2024
HomeBERITANCIA luluskan pelaburan RM17.25 Billion

NCIA luluskan pelaburan RM17.25 Billion

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, NCIA telah meluluskan pelaburan sebanyak RM17.25 bilion sejak Januari sehingga 31 Julai 2022.

Yang pasti dengan pelaburan itu, sebanyak 12,315 peluang pekerjaan baharu bakal ditawarkan.

Menurut Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, pelaburan ini disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal dan elektrikal (M&E) dan Peranti Perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Perkembangan positif ini termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.

“Ia sekaligus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah ini,” kata Perdana Menteri.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan turut memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih
ramai pelabur ke kawasan NCER.

Menurut Dato’ Seri Ismail Sabri, NCIA bersama-sama Kerajaan Negeri memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi
meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik.

Jelas beliau, dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta
dalam program sosioekonomi strategik, NCIA sedang merangka pelbagai usaha yang inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER.

Ujar beliau lagi, tabung ini bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program
pembangunan modal insan mampan dan usahawan.

“Mesyuarat turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan
kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Pelaksanaannya akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Mesyuarat hari ini juga bersetuju dengan cadangan NCIA untuk menganjurkan persidangan Pihak Berkuasa Koridor Wilayah untuk membincangkan dan menghuraikan amalan terbaik serta pencapaian.

Peranan semua koridor ekonomi amat penting bagi membangun dan meningkatkan daya tahan ekonomi Keluarga Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis NCIA Ke-29 di Petaling Jaya.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Perlis,  Datuk Seri Azlan Man; Ketua Menteri Pulau Pinang,  Chow Kon Yeow; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara,  Tan Sri Mohd. Zuki Ali.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments