Thursday, May 23, 2024
HomeBERITANaib Canselor UUM nafi mahu jadi calon PRU15

Naib Canselor UUM nafi mahu jadi calon PRU15

KUBANG PASU, 24 Ogos – Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah hari ini menafikan dakwaan kononnya beliau mahu jadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Prof Dr Haim Hilman, fokus beliau kini diberikan sepenuhnya kepada pembangunan universiti berkenaan sejak dilantik mengemudi UUM pada 17 Januari lalu.

“Fokus utama adalah membangunkan dan memajukan UUM serta komited bekerja bersama warga universiti dalam usaha merealisasikan visi menjadi universiti pengurusan terkemuka.

“Selain itu, kita juga mahu memenuhi misi UUM iaitu mendidik pemimpin berperwatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar mengenai tiga nama calon yang akan dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) Selangor pada PRU15.

Laporan itu menyebut Haim Hilman sebagai salah satu nama daripada tiga calon berkenaan yang terdiri daripada ahli pemikir atau ‘think tank‘ bagi mewakili negeri itu.

Selain Haim Hilman, dua lagi calon yang disebut ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dan Ketua Pembangkang Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail.

Dalam pada itu, Ketua Komunikasi BN Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, peranan ahli strategik sangat penting bagi mendepani pola baharu pengundi pasca PRU14 khususnya dalam kalangan pengundi berusia 18 tahun yang dipercayai masih dipengaruhi politik persepsi.

Untuk rekod Prof Dr Haim Hilman, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada University of Portsmouth, United Kingdom.

Beliau turut memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik pada 2010 daripada Universiti Putra Malaysia.

Haim Hilman sebelum itu berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM sebelum dilantik menjadi Naib Canselor bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments