Saturday, June 15, 2024
HomeDUNIAMisi Syria : Hampir dua minggu tidak mandi

Misi Syria : Hampir dua minggu tidak mandi

Oleh : Razali Awang 

Hari berlalu tanpa terasa meskipun berada jauh dari tanah air. Sejak memasuki Syria dari Al Rai’e pada 4 Mac lepas, banyak tugasan menanti tanpa henti.

Bermula dari Afrin ke Atma seterusnya Idlib menyelusuri Jisr Shughour dan bermukim di Khirbatul Jauz di Sahil dan kemudian kembali lagi Atma pada malam 15 Mac, ia penuh padat dengan aktviti.

Walaupun secara keseluruhan suhu masih sejuk dan kini memasuki musim Bunga, cuaca dari satu tempat ke satu tempat tidak sama meskipun dalam radius 100 kilometer kerana ia bergantung kepada bentuk muka bumi.

Bila melakukan kerja-kerja kemanusiaan di lapangan, persediaan mental dan fizikal perlu kuat kerana apa yang dilalui tidak lagi sama dengan rutin di tanah air atau ketika bercuti.

Ini paling penting. Jika gagal akan berlaku konflik iaitu pertembungan dengan diri sendiri dan kemudian terbawa-bawa sehingga menyusahkan orang lain.

Bersama petugas NGO tempatan yang menjadi rakan sekhemah sepanjang berada di kem pelarian Khirbatul Jauz, Sahil, Idlib / Foto Syria Care

Pada misi kali ini, selain paling lama berada dalam Syria, ia juga mencipta rekod peribadi baru, tidak mandi hampir dua minggu.

Bukan tiada niat untuk mandi tetapi tidak mampu kerana cuaca masih sejuk, tiada air panas dan seperkara lagi tiada tempat hendak mandi!

Alhamdulillah bila balik semula ke Atma dari Sahil pada malam Selasa, rumah yang disediakan mempunyai air panas.

Bukan itu sahaja ada mesin basuh automatik dan yang paling selesa tandas duduk!

Eh sampai ke situ ceritanya. Manakan tidak, hanya sesiapa yang pernah melaluinya akan mengerti.

Bab pakaian jangan cerita. Semua “recycle” sampai lupa berapa kali dikitar semula. Anggaplah bau yang kekadang keluar sebagi Eu de Toilette.

Soal bersih atau tidak untuk beribadat, pendapat guru saya, Ustaz Abdul Muein saya pegang.

Perkara wajib kena buat walau dalam apa juga cara.

(فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُمۡ وَٱسۡمَعُوا۟ وَأَطِیعُوا۟ وَأَنفِقُوا۟ خَیۡرࣰا لِّأَنفُسِكُمۡۗ وَمَن یُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ)
[Surat At-Taghabun 16]

Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya) dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya dari dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Bagi misi kali ini, pengalaman tinggal di kem pelarian di Khirbatul Jauz, Sahil selama empat hari tiga malam benar-benar menguji minda dan fizikal.

Menjalani hidup seperti mereka dengan segala keperluan berada dalam keadaan begitu asas.

Tanpa air panas, makan ada kala sekali sehari, ribut, becak tetapi ia menjadi salah satu pengalaman yang menyeronokkan.

Khemah yang saya tumpang adalah milik petugas Syria Care, Shadi al Uwainah yang dikongsi dengan dua lagi rakan Tarik dan Adnan.

Banyak cerita indah yang ingin dikongsi tetapi tidak termampu untuk dikarang.

Walaupun tinggal dalam khemah, hakikatnya saya telah dilayan seperti VVIP. Sampai satu tahap hanya kata-kata ini sahaja yang menguasai dialog apabila ditanya hendak itu dan ini.

“Ma fi musykilah” maknanya lebih kurang “tidak kisah”.

Saya masih ingat di hari ketiga berada di situ, secara secara tidak sengaja badan saya “terberi” isyarat sejuk kerana angin kencang.

Tanpa menunggu lama, di malam hari mereka keluar meredah cuaca dingin mencari kerosin untuk menghidupkan pemanas.

Apatah lagi tentang makanan. Saya cuba menikmati apa sahaja yang ada di kem. Namun satu hari ketika bersembang, terpacul mengenai lauk kesukaan, Mulukhiyah, lebih kurang sayur rebus di Malaysia yang dimasak dengan isi ayam dan kacang kuda.

Bila lepas solat Maghrib, Shadi keluar dan kemudian membawa pulang sebekas Mulukhiyah bersama nasi. Bukan tidak gembira tetapi terlalu terharu. Mereka bukannya orang senang. Shadi sendiri terpisah dengan anak dan isteri yang berada di Antakya, Turki.

Itu belum cerita kopi lagi. Nampak sahaja saya buka laptop di awal pagi, diam-diam dia orang keluar dan bawa pulang kopi dari warung di sebelah.

Kehidupan di kem pelarian tidak mudah dan begitu mencabar, namun semua cerita indah.

Penulis bersama petugas Syria Care di lapangan Shadi al Uwainah / Foto Syria Care

Kami mungkin makan sekali sehari, tetapi ia percayalah ia penuh berkat kerana mampu bertahan sehingga keesokan.

Banyak cerita yang ingin dikongsi sepanjang misi ini. Paling suspen dalam masa 4 jam, dua kali ditahan “Militiary Police” sewaktu berada di Afrin. Sebabnya, tunggu coretan selanjutnya.

Laporan Khas oleh Razali Awang, Syria Care Media untuk The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments