MH17: Malaysia berpuas hati dan sokong keputusan Mahkamah The Hague – Perdana Menteri

0

Malaysia menyokong keputusan Mahkamah Daerah The Hague memutuskan tiga orang tertuduh didapati bersalah menembak jatuh pesawat MH17.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan keputusan itu, kebenaran yang dinantikan selama ini akhirnya muncul.

“Pada 17 November 2022, jam 1:30 petang waktu tempatan di Belanda, Mahkamah Daerah The Hague telah memutuskan bahawa tiga orang tertuduh dalam kes pesawat MH17 yang telah ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Leonid Kharchenko bersalah dalam kes jenayah itu.

“Manakala, mahkamah telah membebaskan Oleg Pulatov kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh dalam sabitan kesalahan tersebut.

“Keputusan kes jenayah di Belanda ini menjadi satu tanda aras yang penting dalam usaha untuk mencari kebenaran serta menegakkan keadilan kepada kesemua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi penerbangan tersebut serta kepada semua waris mangsa,” jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mesti berlandaskan kebenaran, keadilan dan tanggungjawab.

“Dalam hubungan ini, Malaysia menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah The Hague pada hari ini.

“Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus yang dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda, berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang telah lama dinanti-nantikan,” katanya dalam sidang media di Felda 32 di sini pada Jumaat.

Malaysia tambahnya turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Pasukan Penyiasat Bersama melibatkan empat negara membantu siasatan sejak tragedi itu berlaku.

Pada masa sama Ismail Sabri turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi pesawat MH17 itu.

“Malaysia mewakili semua pihak yang terkesan akibat peristiwa yang amat meruntun hati ini, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Pasukan Penyiasat Bersama (Joint Investigation Team – JIT) yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang telah bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan jenayah antarabangsa terhadap tragedi MH17 ini.

“Malaysia sekali lagi ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17.

“Walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka mahupun mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga dan orang tersayang, keputusan mahkamah pada hari ini diharap sedikit sebanyak akan dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga dan waris kepada mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini,” jelasnya lagi.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply