Friday, July 19, 2024
HomeBERITAMantan Profesor yang emosi, lebih PKR daripada PKR sendiri

Mantan Profesor yang emosi, lebih PKR daripada PKR sendiri

Oleh Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah

Sejak kebelakangan ini terdapat seorang mantan Profesor dalam bidang sains politik di sebuah universiti tempatan yang giat sekali menggunakan media sosial beliau berkempen untuk memenangkan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Tanpa berselindung, beliau, yang telah bersara beberapa bulan lalu, menyebut menyokong dan akan mengundi PH dalam PRU 15 kerana katanya “kita mahu membangunkan Malaysia” dan “kita mesti lari dari politik kebencian dan perkauman sempit”.

Tegas beliau lagi, dalam PRU 15 beliau mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kerana beliau yakin dalam beberapa bakal calon Perdana Menteri yang ada, Anwar adalah yang terbaik untuk memimpin negara hebat ini ke depan.

Tidak pelik sebenarnya penegasan begini kerana sewaktu PH memerintah dahulu, beliaulah antara yang terkehadapan mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan garis masa yang jelas dan tepat untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Kata beliau pada 30 Oktober 2019, jawatan itu perlu diberi kepada Anwar yang mampu membina kerajaan yang kuat selain mampu melonjakkan ekonomi negara, memartabatkan kesejahteraan rakyat, mengharmonikan hubungan kaum dan membawa negara ke hadapan.

Dan sekali lagi sewaktu negara kalut menunggu lantikan Perdana Menteri baharu pada 18 Ogos 2021 dahulu juga beliau menyebut Anwar adalah pilihan beliau kerana prinsip perjuangan Anwar lebih secocok dengan jiwa beliau yang mendahulukan negara dari bangsa.

Hairannya ada juga selain penyokong PH yang teruja dengan sokongan terbuka penganalisis politik ini kepada PH dan Anwar sedangkan sokongan ini tidak diasaskan kepada apa-apa data yang konkrit, sebaliknya hanya kepada emosi dan sentimen peribadi semata.

Walhalnya, banyak analisis politik beliau sebelum ini yang tersasar, termasuk ialah kenyataan-kenyataan beliau menjelang PRU 14 dahulu bahawa PAS akan kalah teruk dalam PRU 14 dan bahawa UMNO akan merampas Kelantan dari tangan PAS.

Kini kelihatannya beliau cuba menampakkan bahawa beliau adalah lebih PKR daripada pemimpin tinggi PKR sendiri dengan menunjukkan keyakinan bahawa PH bakal memenangi PRU 15 dan Anwar bakal menjadi Perdana Menteri baharu pasca PRU 15.

Bagaimanakah PH boleh dikatakan akan memenangi PRU 15 bila data-data mutakhir menunjukkan bahawa PKR dan AMANAH, dua parti Melayu di dalamnya, mengalami kemerosotan teruk di dalam sokongan pengundi Melayu kepadanya?

Jika diimbas balik keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu, deretan calon PH daripada PKR (7) dan AMANAH (4) buat pertama kalinya bukan setakat tewas teruk tetapi hilang deposit di kerusi majoriti Melayu di Semenanjung Malaysia.

Tidak hairanlah jika dalam PRU 15 ini, DAP kelihatan sudah tidak begitu percaya kepada kemampuan PKR dan AMANAH untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu kepada PH sebaliknya menceroboh dan meletakkan calonnya sendiri di kawasan Melayu.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, sendiri pada 3 April lalu menyebut bahawa PH tidak boleh bersikap ‘in denial’ pada saat rakyat sendiri tidak menyakini keupayaan mereka memenangi PRU 15 dan hanya perlu menyasarkan untuk menjadi pembangkang bermaruah.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, juga pada 14 April lalu menyebut bahawa PH bakal menghadapi laluan sukar dan mungkin hilang banyak kerusi pada PRU 15 serta memerlukan sekurang-kurangnya dua pusingan PRU lagi untuk kembali menguasai Putrajaya.

Kata Nurul Izzah, beliau amat realistik kerana pada beliau kita akan mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan beliau sendiri masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan sebelum ini.

Bagaimanakah tiba-tiba penganalisis politik ini boleh melaungkan bahawa PH bakal memenangi PRU 15 dan Anwar bakal menjadi Perdana Menteri baharu pasca PRU 15 sedangkan tiada apa-apa perubahan signifikan berlaku kepada PH dalam tempoh ini?

Jika mahu dikatakan bahawa Anwar adalah lebih baik daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob maka ini adalah sesuatu yang jauh menyimpang kerana terbukti selama 14 bulan Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri terlalu banyak kejayaan yang dikecapinya.

Ismail Sabrilah yang berjaya membawa negara keluar dari kemelut kesihatan dan ekonomi, yang kini terserlah bila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pada 11 November bahawa ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar 14.2% di suku tahun ketiganya.

Lebih dari itu, begitu banyak sekali transformasi pentadbiran dan perundangan yang telah dilaksanakan oleh Ismail Sabri di dalam tempoh ini yang Anwar sendiri tidak terdaya melakukannya sewaktu Anwar berkuasa melalui UMNO dan PH dahulu.

Dalam konteks pengundi Melayu, Tawaran PH dalam PRU 15 ini juga jauh lebih teruk berbanding Manifestonya dalam PRU 14 dahulu kerana tiada langsung jaminan tegas untuk mempertahankan kedudukan Melayu, Raja-Raja Melayu dan agama Islam kali ini.

Sebaliknya, yang paling tertonjol di dalam Tawaran PH ini ialah janji kewarganegaraan automatik kepada anak angkat serta kepada golongan warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak yang berstatus warganegara.

Sebab itulah rata-ratanya penganalisis politik yang berfikiran rasional akan menyatakan bahawa BN, bukannya PH, yang bakal memenangi PRU 15 dan Ismail Sabri, bukannya Anwar, yang bakal menjadi Perdana Menteri baharu pasca PRU 15.

Tidak dinafikan bahawa BN mempunyai beberapa masalah di peringkat awal kempen PRU 15 seperti isu pengguguran beberapa penyandang kerusi, ketidakpuasan hati golongan wanita dan pencalonan luar kawasan tetapi kini semuanya semakin diatasi.

Begitu juga dengan pengundi yang sepertinya fobia dengan nama tertentu di dalam UMNO-BN tetapi tidak akan mengambil pendirian “marahkan nyamuk, kelambu dibakar” kerana rekod, manifesto dan calon Perdana Menteri BN jauh lebih meyakinkan berbanding PH.

Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments