Monday, October 21, 2024
HomeEKONOMIBIZZNEWSManfaat penyumberan luar China

Manfaat penyumberan luar China

Ia tidak semestinya China, tapi mana ada negara di dunia yang dapat memberi peluang perniagaan dan pilihan produk seperti yang ditawarkan oleh China.

Itu antara mesej yang mengikut pemahaman penulis cuba disampaikan Pengasas Brainy Bunch, Coach Fadzil Hashim ketika menjawab soalan netizen yang mempertikaikan mengapa Malakat Mall yang akan dibuka tidak lama lagi membawa masuk barang dari China.

Apa pun harus diingat. Ia hanya 11 jenama utama yang dirasakan perlu untuk memenuhi keperluan dan standard operasi sebuah pasar raya. Bukannya pasar raya produk China.

Perkara ini jika dihadam dengan tenang, sepatutnya tidak menimbulkan sebarang isu. Namun perbezaan pendapat itu lumrah kerana kita mempunyai latar belakang yang berbeza-beza.

Tidak setuju atau tidak dapat melihat baik dan buruknya masih OK, tapi jika terus bersikap negatif dan langsung tidak rasional, itu tidak baik untuk ummah.

Bagi yang pernah tertipu dengan pakej rombongan perniagaan atau trip pemborong ke Guangzhou dan Shenzhen sebelum ini pula, jangan ‘pukul rata’ pada pengalaman anda dan serik untuk meneroka peluang yang ada.

Ketepikan seketika pandangan peribadi dan kita perlu menerima hakikat bahawa China adalah kunci dan sumber ekonomi yang baharu.

Jika dilihat purata pertumbuhan ekonomi pada kadar 10 peratus setiap tahun, China mampu menguasai sektor pengeluaran dunia pada bila-bila masa.

Sekitar awal tahun 2002, China mempunyai kira-kira 80 juta pekerja dalam sektor pembuatan dan dalam masa tidak sampai sedekad, jumlah itu meningkat lebih daripada100 juta.

Dalam diam, keupayaan pengeluaran kilang-kilang di negara itu meningkat secara mendadak pada skala yang tidak terjangkau oleh mana-mana negara.

Cuma hakikatnya, dunia pada ketika itu masih lagi skeptikal terhadap barang-barang buatan China yang dianggap tidak berkualiti, berbahaya, bertoksid dan tidak selamat digunakan.

Di Malaysia, persepsi itu berterusan sehingga ‘dinafi’ secara perlahan-lahan oleh kemasukan kedai-kedai dua ringgit yang membawa pelbagai barang dari negara berkenaan. Tiada masalah menggunakannya pun.

Kualiti produk yang boleh ‘diterima pakai’ di kedai-kedai berkenaan secara tidak langsung mengubah tanggapan orang ramai dan menghapuskan rasa was-was.

Oh sebelum terlupa, jangan lupa jenama-jenama baharu seperti Huawei, Xiaomi, Geely, Chery, Great Wall dan banyak lagi.

Di peringkat global, tanda ‘Made In China’ pada produk tidak lagi menimbulkan banyak persoalan dan orang mula menerimanya.

Di suatu sudut lain, perluasan produk China di pasaran dunia secara tidak langsung menghalang dominasi jenama utama yang sebelum ini dikuasai syarikat milik Amerika Syarikat, Yahudi dan Eropah.

Perkembangan itu sudah tentu menambah nilai wang kepada pengguna dan membolehkan mereka membeli barang pada harga yang jauh lebih murah. Terima kasih kepada kos buruh China yang rendah.

Kesempatan itu seterusnya membuka jalan kepada usahawan di seluruh dunia untuk melakukan penyumberan luar (pemilikan produk) tanpa perlu banyak melabur atau menghabiskan jutaan ringgit untuk kajian dan penyelidikan (R&D).

Masih mahu bercakap pasal kualiti? Masanya sudah berlalu. Sektor pembuatan China bukan semata-mata menghasilkan perkasasan dua ringgit, tetapi sudah maju menjangkaui sektor automotif dan teknologi maklumat.

Penulis dahulu membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk membeli peralatan fotografi tetapi apabila muncul jenama baharu, ia mewujudkan saingan yang baik kepada jenama dominasi.

Bukan sahaja dijual lebih murah sehingga berkali-kali ganda, kualiti produk juga ditambah baik dengan fungsi-fungsi yang membuatkan setiap ringgit dibelanja lebih bernilai.

Selain itu penyumberan luar juga memungkinan usahawan meluaskan rangkaian produk kepada produk baharu pada bila-bila masa. Anda mungkin bermula sebagai saudagar kasut tapi siapa sangka dalam masa setahun anda sudah mempunyai beberapa produk baharu seperti baju, jaket dan pewangi. Semua di atas satu jenama.

Segala kelebihan ini akhirnya membawa kita kepada satu persoalan iaitu bagaimana untuk mencari pengeluar produk atau sesuatu jenama di China.

Dan sebahagian daripada jawapan itu terungkai dengan penubuhan Asean Market Gateway yang diwujudkan oleh Brainy Bunch sebagai platform untuk usahawan meneroka setiap peluang tanpa risiko penipuan dan sebagainya.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments