Tuesday, May 28, 2024
HomeBERITAJENAYAHAzilah Hadri didakwa dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk berjumpa VVIP pada...

Azilah Hadri didakwa dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk berjumpa VVIP pada Februari lalu – Tan Sri Shafee Abdullah

Peguam tersohor, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat dakwaan bekas pegawai polis, Cif Inspektor Azilah Hadri yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, didakwa dibawa keluar daripada Penjara Kajang untuk berjumpa seorang VVIP pada Februari lalu.

Beliau yang mewakili Dato’ Seri Najib Razak memberitahu, pertemuan terbabit dilihat sebagai pelan terancang yang diatur untuk mengaitkan anak guamnya dengan pembunuhan Altantuya.

“Pertemuan itu di luar penjara dan bukan di dalam, ketika dia banduan akhir dan ini satu pelanggaran protokol… Seperti saya katakan, saya tidak boleh sahkan, tetapi saya akan cuba sahkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas prosiding pengurusan kes semakan dikemukakan Azilah supaya sabitan dan hukuman gantung terhadapnya diketepikan dan kes itu dibicarakan semula, siang tadi.

Tan Sri Muhammad Shafee berkata, beliau turut mengetahui seorang lagi tertuduh iaitu bekas anggota polis, Koperal Sirul Azhar Umar menerima lawatan tiga individu yang memujuknya untuk membuat kenyataan terhadap Dato’ Seri Najib.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama individu terbabit, tetapi memberitahu ia termasuk seorang pemberita.

“Saya tidak boleh beritahu kerana ia amat sensitif. Apa yang saya boleh katakan, mereka adalah ejen Kerajaan Malaysia yang pergi ke Sydney untuk berjumpa Sirul baru-baru ini.

“Saya tidak tahu sama ada dia orang sama yang melawat Azilah, tetapi saya diberitahu dia juga (Azilah) menerima lawatan seseorang pada Februari lalu,” katanya.

Mengulas Akuan Bersumpah (SD) difailkan Azilah dalam afidavit permohonan semakan itu, Tan Sri Muhammad Shafee berkata, ia adalah usaha terancang untuk ‘membunuh’ anak guamnya dengan dakwaan tidak masuk akal membabitkan pembunuhan Altantuya pada 2006.

“Ia sangat kelakar apabila anak guam saya arahkan Azilah untuk menculik wanita itu dan membunuhnya…dan menunjukkan bagaimana ia sepatutnya dilakukan dengan meletakkan jari di leher.

“Ini benda yang langsung tidak boleh dipercayai,” katanya.

Tan Sri Muhammad Shafee berkata, Dato’ Seri Najib mengarahkannya untuk memfailkan permohonan menjadi pencelah dalam permohonan semakan itu kerana ia mengaitkan anak guamnya.

“Semua dakwaan dalam SD itu yang mengaitkan anak guam saya dilakukan pada detik akhir dia (Azilah) dijangka dihukum gantung.

“Ini adalah permohonan terdesak pada saat akhir… anak guam saya dijadikan sasaran untuk dipenjarakan tanpa diikat jamin, saya rasa ini tujuan sebenar,” katanya.

Tan Sri Muhammad Shafee berkata, amat membingungkan apabila Azilah membuat dakwaan itu selepas 10 tahun kes bunuh terbabit berlangsung di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Katanya, beliau tidak menyalahkan Azilah kerana ia cubaan terdesaknya untuk menyelamatkan diri daripada hukuman gantung.

“Apa yang kami mahu tahu ialah siapa di belakang SD ini,” katanya.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments