Malaysia buka ‘langkah kanan’ dalam BATC 2022

0

Oleh : Abd. Hadi Che Awang

Skuad badminton wanita negara buka langkah kanan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, yang berlangsung di Shah Alam, apabila menumpaskan pilihan utama yang juga juara bertahan Jepun, 3-2.

Jepun bermula garang meskipun dikatakan menghantar ‘pasukan simpanan’ apabila Natsuki Naidara memberikan mata pertama selepas menumpaskan perseorangan wanita nombor satu negara S. Kisona, 12-12,21-16.

Skuad negara matahari terbit itu kian selesa selepas Riko Gunji menghadiahkan mata kedua apabila menumpas Eoon Qi Xuan, 21-17,21-7.

Bagaimanapun, pemain muda berusia 18 tahun, Siti Nurshuhaini kembali membuka harapan buat pasukan Malaysia apabila berjaya mengutip mata pertama negara selepas menumpaskan Hina Akechi, 21-16, 22-20.

Kedudukan kembali terikat 2-2 apabila pasangan yang baru digandingkan, Pearly Tan dan Valeree Siow menumpaskan beregu Jepun, Rui Hirokami dan Yuna Kato dalam perlawanan penuh mendebarkan yang berkesudahan dengan keputusan 24-22, 21-18.

Mata kemenangan skuad negara hadir selepas pasangan Anna Cheong-Teoh Mei Xing berjaya menumpaskan pasangan Hina Akechi-Riko Gunji dalam pertarungan ‘straight set’, 21-12,21-5.

Malaysia seterusnya akan bertemu India pada perlawanan kedua Kumpulan Y esok pada jam 4 petang dan kemenangan dalam perlawanan tersebut akan menjadikan Malaysia juara kumpulan sekaligus layak secara automatik ke Kejohanan Piala Uber 2022, di Bangkok.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply