Thursday, May 30, 2024
HomeBERITAEKSKLUSIFMac Ruhayu artis sendu?? Suara mantap, rupa meletop namun dipandang sepi penganjur...

Mac Ruhayu artis sendu?? Suara mantap, rupa meletop namun dipandang sepi penganjur dan penerbit TV

Penyanyi era tahun 90-an yang popular dengan lagu “Kita Ditakdirkan Bersama”, Mac Ruhayu Mohd Nor kesal dengan sikap segelintir penganjur yang bersikap pilih kasih dengan membuat tawaran bayaran yang tinggi kepada artis baru berbanding artis senior walaupun nyanyian penyanyi lama kekal malar segar.

Mac Ruhayu, 44 tahun dalam temubual eksklusif The Malaya Post berkata, kekesalan itu timbul apabila pihak penganjur memberi alasan tidak mempunyai bajet untuk menawarkan kadar bayaran yang tinggi terhadap penyanyi lama.

“Artis-artis era 90-an ditawarkan dengan nilai RM500 hingga RM1,000 dan perlu menyanyikan minimum 6 buah lagu”.

“Akan tetapi bayaran untuk penyanyi baru atau BBNU pula ditawarkan dengan harga yang tinggi sehingga RM10,000 hingga RM20,000”, katanya kepada The Malaya Post.

Penyanyi cantik kelahiran Sarawak ini juga memberitahu terdapat kira-kira 500 artis dan penyanyi era tahun 90-an yang masih aktif dengan kerjaya seni.

Namun apa yang menyedihkan kata Mac, jika dilihat di kaca TV hanya beberapa artis 90-an sahaja ditonjolkan dan ia seakan memberi gambaran yang lain sudah bersara dari bidang seni.

“Di kaca tv artis sama sahaja 2-3 orang artis ditonjolkan sedangkan ada ramai lagi artis 90-an yang aktif”, katanya.

Menurut Mac, beliau sendiri tidak pernah bersara malah kekal aktif menyanyi dan baru saja muncul dengan single Moga Kau Mengerti untuk album 5 Suara pada hujung tahun lalu.

Pada masa ini, Mac sibuk menjalani sesi promosi album itu bersama rakan artis lain antaranya Adilla Idris, Norlie Tamam, Azie Mustapha dan Haslinda.

“Saya tidak pernah bersara malah sangat aktif memenuhi undangan nyanyian di seluruh negara, dunia nyanyian adalah hidup saya dan ia menjadi punca rezeki saya sekian lama, ” katanya sambil tersenyum manis.

Mengakhiri perbualan, Mac Ruhayu yang juga Pengasas Kelab Artis 90-an menyeru agar peminat-peminat dan juga penerbit televisyen untuk menjengah Fan Page Penyanyi dan Kumpulan Artis 90-an sekiranya ingin mengetahui perkembangan terkini artis-artis berkenaan.

“Saya dan rakan-rakan ada membuka Fan Page Penyanyi dan Kumpulan Artis 90-an”.

“Saya akan selalu update info-info terkini tentang artis-artis ini. Kita turut akan tag atau link ke Facebook peribadi mereka”.

“Dengan ini boleh lah para peminat mereka menjejaki penyanyi-penyanyi di era 90-an dan boleh berkomunikasi secara terus di FB”, tambahnya lagi mengakhiri temubual bersama The Malaya Post.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments