DAP punya pandangan sendiri, mahu bincang pengganti Maszlee

0

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berharap perbincangan dapat diadakan antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan meminta menjemput parti DAP kerana parti itu juga mempunyai pandangan sendiri sebelum memutuskan bakal pengganti Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.

“Lebih baik kita bincang bersama dalam mesyuarat PH. Tentu parti ada pandangan masing-masing. (Bincang) itu lebih elok,” katanya.

Menjawab spekulasi mengatakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed bakal menggantikan Maszlee, Guan Eng berkata, beliau tidak tahu mengenainya tetapi yakin menteri baru yang bakal dilantik kelak adalah seseorang daripada PH.

Beliau juga enggan mengulas berhubung cadangan sesetengah pihak yang mahu ahli akademik menjadi menteri pendidikan sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Perdanq Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khamis lalu, Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan pada sidang media khas di Putrajaya, selepas mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya pada hari sama berkata pengganti Maszlee akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Berhubung rombakan Kabinet pula, Guan Eng berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dengan Perdana Menteri biarpun sudah beberapa kali pertemuan diadakan, sebaliknya menyerahkan kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan.

“Selalu jumpa Perdana Menteri tapi perkara ini tidak pernah ditimbulkan.

“Kita selalu bincang tentang urusan berkaitan kementerian kewangan. Apa yang saya bincang dengan Perdana Menteri biarlah sulit,” katanya.

Leave a Reply