KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Tan Sri Annuar Musa menerajui kepimpinan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 30 Ogos 2021 hingga kini sebagai MenKOMM ‘caretaker’.
Walaupun Perdana Menteri telah mengumumkan pembubaran parlimen parlimen 10 Oktober lalu, Annuar kekal konsisten menabur jasa, menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.
Ahli Parlimen Ketereh ini memulakan kerjaya politik seawal tahun 1986, memulakan tugasan di kementerian terbabit setelah menerima pelantikan oleh Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Usai pelantikan dilaksanakan, tanpa membuang masa Annuar mengorak langkah kanan ke kementerian berkenaan dengan merangka strategi demi membawa sebuah pembaharuan dan penambaikan demi menyajikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Niat dan hasrat murni yang mahu membawa kegemilangan dalam menggalas tanggungjawab portfolio, Annuar terus melakar kejayaan membanggakan negara.
Maka tidak hairanlah, baru-baru ini beliau berjaya meraih kemenangan semula untuk Malaysia sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (International Telecommunication Union (ITU) untuk penggal 2023-2026 dalam Persidangan Plenipotentiary 2022 bertarikh 26 September hingga 14 Oktober 2022 di Bucharest, Romania.
Yang nyata dengan kredibiliti dan komitmen beliau dan kerjasama pelbagai pihak banyak kejayaan besar ditunainya dalam tempoh singkat.
Terbaru, Malaysia melancarkan satelit ke-8 iaitu MEASAT-3d pada 23 Jun 2022 dari Kourou Space Centre, French Guiana yang mampu merapatkan jurang digital di negara ini dengan liputan internet yang lebih baik selaras dengan pelan JENDELA.
Dengan semangat anak desa yang cekal, beliau telah berjaya mewujudkan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi atau MEDIKK sebagai platform di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengenai isu berkaitan dasar dan pembangunan ekonomi digital, industri kreatif dan komunikasi dengan kejayaan pelaksanaan 2 mesyuarat MEDIKK Bil. 1/2021 bertarikh 14 Disember 2022 dan Bil. 1/2022 bertarikh 3 Jun 2022;
Selain itu, beliau turut berjaya membentangkan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 589] yang telah dipersetujui secara prinsip semasa Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 26 Ogos 2022, bertujuan menggalakkan pertumbuhan industri komunikasi dan multimedia negara bagi pertumbuhan masa hadapan, menambahbaik keselamatan rangkaian dan memantapkan pengurusan media baharu.
Dalam pada itu, atas usaha dan kesungguhan beliau telah menghidupkan semula Hari Wartawan Nasional atau HAWANA yang disambut pada tarikh 29 Mei setiap tahun yang diadakan di Melaka pada 29 Mei 2022 dengan persetujuan wartawan terhadap Deklarasi Melaka 2022.
Sebagai menyuntik semangat baharu kepada warga kementeriannya beliau telah menukar rujukan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebagai K-KOMM, manakala jawatan Menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dikenali dengan panggilan MenKOMM semasa penggulungan Ucapan Titah Diraja Dewan Rakyat pada 17 Mac 2022.
ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA (AKM)
Sebagai menteri bertanggungjawab beliau turut terbabit secara langsung dalam menggubah lagu “Keluarga Malaysia” bertemakan semangat patriotik yang mula diperdengarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021.
Yang nyata, Annuar telah berjaya mengemudi kementeriannya dengan mencapai sasaran 3 KPI 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bagi tempoh 1 September hingga 9 Disember 2021 dengan membuka semula aktiviti industri kreatif, penawaran geran, dana dan skim insentif berjumlah RM40juta serta memperkenalkan Pakej Remaja dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia.
Beliau bersama warga K-KOMM dan agensi berkaitan telah berjaya mencapai sasaran 5 KPI Aspirasi Keluarga Malaysia Jangka Sederhana (6 bulan) Anggota Jemaah Menteri bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2022 iaitu Program Pendigitalan Perniagaan, Komuniti Keluarga Malaysia, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), 1 DUN 1 PEDi dan Memperkasa Penyiaran Komunikasi Strategik.
Dengan usaha tanpa jemu, beliau telah menjayakan pelaksanaan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Siri ke-6 di Kota Bharu, Kelantan pada 22 hingga 24 Julai 2022 sebagai kementerian peneraju dengan jumlah pengunjung melebihi 70,000 orang berbanding dengan sasaran iaitu 50,000.
Yang pasti, umum tahun selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 (HKHM2022) telah melabuh tirainya dengan pelbagai catitan sejarah indah tahun ini.
Ia termasuk majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 melalui Program Berjalan Teguh Bersama secara santai bersama Perdana Menteri dan Jemaah Menteri melibatkan penyertaan lebih 15,000 Keluarga Malaysia pada 30 Julai 2022 di Dataran Putrajaya.
Ia mencakupi sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2022 secara besar-besaran pada 31 Ogos 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dengan kehadiran pengunjung diluar jangkaan iaitu melebihi 100,000 orang.
Selain, sambutan Hari Malaysia Tahun 2022 pada 16 September 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka yang bertemakan busana pelbagai etnik era 60-an di Melaka diraikan oleh lebih daripada 20,000 orang pengunjung.
Annuar turut menerajui Program OPS BAHIS (Bantu Hingga Selesai) dalam membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas oleh bencana banjir di seluruh Lembah Klang pada Disember 2021. Bantuan lebih RM2juta juga telah disalurkan kepada mangsa banjir di Lembah Klang, Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan.
Dalam pada itu, beliau juga telah melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada tahun 2022 yang memberi manfaat kepada hampir 400,000 mahasiswa B40.
Ia meliputi pelaksanaan Pakej Remaja Keluarga Malaysia telah dilancarkan pada Oktober 2021 dan dilanjutkan sehingga April 2023, merupakan pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah.
Menurut Annuar pelaksanaan Pakej Peranti Keluarga Malaysia bagi memastikan setiap keluarga mempunyai alat peranti pintar agar tidak ketinggalan dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Katanya pakej ini membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan Voice over Long-Term Evolution (VoLTE) secara percuma.
“Pakej Peranti Keluarga Malaysia ini bagi memastikan setiap keluarga mempunyai alat peranti pintar agar tidak ketinggalan dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Pakej ini membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan Voice over Long-Term Evolution (VoLTE) secara percuma,” katanya kepada The Malaya Post.
KLUSTER 1: INFRASTRUKTUR TELEKOMUNIKASI
Sepanjang tempoh beliau mengepalai K-KOMM, Annuar telah mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G negara menggunakan model Single Wholesale Network (SWN) dengan menawarkan penyertaan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) kepada syarikat-syarikat telekomunikasi.
Beliau turut mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara dan menawarkan perkhidmatan 5G dengan harga yang berpatutan kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar sedang dilaksanakan melalui pendekatan Rangkaian Borong Tunggal (SWN) oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dengan pencapaian 33.2% diliputi oleh liputan 5G di kawasan berpenduduk.
Selain melaksanakan Point of Presence (PoP) Fasa 1 dan Fasa 2 yang melibatkan penyediaan sambungan gentian optik ke lebih 4000 buah kawasan berhampiran sekolah dan kawasan perindustrian.
Sementara itu, Annuar juga telah memastikan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 (2020-2022) dan Fasa 2 (2023-2025) secara berterusan yang memberi tumpuan kepada penyediaan liputan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi dengan pencapaian Fasa 1.
Ia meluputi perluasan akses Gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada 7.44 juta premis,
peningkatan liputan jalur lebar mudah alih 4G kepada 95.82% di kawasan berpenduduk dan
peningkatan purata kelajuan jalur lebar mudah alih yang melebihi sasaran iaitu 52.48Mbps berbanding 35Mbps.
Beliau juga telah menjayakan pelaksanaan Jelajah Kembara Connectivity bermula dari Oktober 2021 bagi memantau kualiti perkhidmatan jalur lebar dan pengalaman yang diterima rakyat.
Annuar juga telah memperkenalkan teknologi baharu TV White Space (TVWS) yang boleh menggunakan jalur spektrum dari 470MHz hingga 694 MHz dan berupaya menawarkan kelajuan sehingga 72 Mbps.
Sebagai percubaan, teknologi ini telah dilaksanakan di Lenga, Pagoh dan yang terkini di Sabah.
KLUSTER 2: EKONOMI DIGITAL
Bercakap mengenai ekonomi digital, beliau telah menjayakan pelancaran Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) pada November 2021 yang bermatlamat meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti setempat dan memberi pendedahan kepada kemahiran digital kepada semua penduduk yang melibatkan proses transformasi serta mewujudkan 911 PEDi yang telah selesai pada suku kedua 2022 serta melantik pengerusi PEDi di kalangan orang muda.
Dasar Perkongsian Data Nasional (National Data Sharing Policy – NDSP) telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 13 April 2022, bertujuan untuk membolehkan perkongsian data yang lancar, membangunkan kerangka dan tadbir urus perkongsian data, membangunkan bakat dan kemahiran berkaitan pengurusan data serta menggalakkan dan mempromosikan pengayaan data menuju visi negara yang berteraskan data.
Annuar yang juga anak jati Kelantan juga telah menjayakan inisiatif strategik baharu negara, Malaysia Digital (MD), iaitu inisiatif yang menggantikan MSC Malaysia, pada 4 Julai 2022 yang telah berjaya meraih pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investments, FDI) berjumlah RM42 bilion dan pelaburan langsung dalam negara (Domestic Direct Investments, DDI) sebanyak RM4.76 bilion serta mencipta 6,000 pekerjaan bernilai tinggi.
Beliau juga menyokong Pasukan Petugas Ekonomi Digital (DETF) bagi menyelaras pelaksanaan pelbagai inisiatif dan usaha-usaha berterusan dalam mempercepat transformasi digital serta memastikan sasaran ekonomi digital Malaysia dapat dijayakan dengan kerjasama sektor awam dan swasta.
Selain itu, Annuar juga telah mengaktifkan sebanyak 22 pusat Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS) yang menganjurkan pelbagai program keusahawanan yang melibatkan 3,439 peserta yang telah berjaya menjana pendapatan berjumlah RM2.55 juta.
Beliau juga menggalakkan penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (Digital Investment Office/DIO) sebagai platform pemudahcara pelaburan digital berimpak tinggi dan berjaya mengadakan pelbagai aktiviti untuk menarik pelaburan digital asing dan domestik untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan digital di rantau Asia Tenggara.
Selain itu, menjayakan pelancaran Program Mangkin Digital (PEMANGKIN) DE Rantau dan DE Dagang yang mana DE Rantau diwujudkan dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan untuk meningkatkan penggunaan digital dan menggalakkan mobiliti profesional digital serta pelancongan di seluruh Malaysia.
Annuar menerajui pembangunan industri teknologi digital yang mana telah berjaya melahirkan dua buah syarikat dengan pendapatan melebihi RM1 bilion – Carsome dan SNS Network.
Carsome merupakan syarikat berstatus Unicorn di mana nilai syarikat melebihi AS$ 1 bilion.
Dalam pada itu, beliau turut menjayakan dan menyokong pelaksanaan program serta inisiatif yang melibatkan pembangunan modal insan untuk melatih peserta supaya berdaya saing dalam pasaran digital antaranya program Gerakan #mydigitalmaker, Program Inovator Digital, Program Realisasi Impian Ekonomi Digital (PRIME), Kempen e-Dagang dan Shop Malaysia Online, Program Pembangunan Perusahaan Kandungan Digital (EDP), Program eRezeki dan Program Global Online Workforce (GLOW) PENJANA.
KLUSTER 3: KESELAMATAN SIBER
Iltizam dan semangat beliau telah menyemarakkan sambutan Hari Keselamatan Internet (Safer Internet Day – SID) 2022 – Edisi Malaysia (Putrajaya), Forum ‘K.I.T.A Siber’: “Dunia Digital Murid-Murid Sekolah Masa Kini” serta Pelancaran Laporan Eksekutif Dapatan Kajian Tanda Aras Tahap Keselamatan Siber dalam Kalangan Murid Sekolah dan Ibu Bapa 2021/2022 oleh YB MenKOMM pada 22 Februari 2022 bertempat di Hotel Putrajaya Marriot.
Beliau juga mewujudkan majlis perjumpaan YB MenKOMM bersama agensi berkaitan keselamatan siber negara pada 29 Ogos 2022 bertempat di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur;
Beliau turut mencadangkan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] bagi menangani isu pencerobohan data peribadi, yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
KLUSTER 4: PENERANGAN
Berkat usaha beliau bersama pasukannya telah membentuk 1,878 Komuniti #KeluargaMalaysia seluruh negara dengan pelaksanaan program komuniti yang melibatkan penyertaan aktif komuniti.
Annuar telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Komunikasi Strategik Kabinet (JAKSA) yang berperanan dalam memperkukuhkan strategi komunikasi Kerajaan bagi menangani isu semasa yang memerlukan pemerhatian segera.
Beliau juga bertanggungjawab mewujudkan Program Duta Komuniti dengan kerjasama strategik kementerian-kementerian berkaitan dalam memastikan usaha membudayakan kawalan kendiri oleh komuniti semasa fasa peralihan COVID-19 selain menggalakkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Garis Panduan ketika #Reopening Safely seiring dengan pemerkasaan komuniti.
KLUSTER 5: PENYIARAN
Annuar telah menyiapkan dan menyiarkan 70 siri Kembara #KeluargaMalysia yang telah diterima dan sedang disiarkan di RTM 1.
Dengan kesungguhan beliau juga telah menaiktaraf format dan wajah penyiaran RTM yang membawa perubahan kepada 3 elemen penting iaitu persembahan kandungan, penerbitan kandungan dan naiktaraf perkembangan teknologi penyiaran dalam memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam arus pembangunan penyiaran serantau dan global.
Annuar selaku MenKOMM telah membeli hak siaran Piala Dunia 2022 Qatar untuk siaran langsung percuma di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung dari 20 November hingga 18 Disember 2022.
Annuar juga telah menyiapkan Media City yang merupakan pemangkin kepada pembangunan penyiaran Malaysia yang telah dimulakan secara fizikal sejak 2016 dan majlis pelancaran dijangka diadakan pada 26 Oktober 2022.
KLUSTER 6: INDUSTRI KREATIF
Ironinya, pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang bukan sedikit kepada golongan pemain industri kreatif.
Menyedari akan kepentingannya, Annuar telah menghidupkan semula Anugerah Seri Angkasa (ASA) dan penganjuran ASA akan diadakan pada 29-30 Oktober 2022 yang mana terakhir pada tahun 2016 dan memperkenalkan kategori pertandingan media baharu iaitu siaran kandungan di YouTube rasmi penyiar dalam usaha mengiktiraf media baharu sebagai platform siaran rasmi di Malaysia.
Beliau juga telah menghidupkan semula Festival Filem Malaysia (FFM) dan menjayakan penganjuran FFM ke-31 pada 10 Disember 2021 di PICC.
Selain itu beliau juga telah menjayakan pelaksanaan Program Kembara RIUH Keluarga Malaysia 2022 di negeri-negeri terpilih – (sehingga 12 Oktober 2022, sebanyak 4 negeri telah selesai dilaksanakan iaitu Johor, Sabah, Melaka dan Kelantan).
Annuar juga telah mengetuai delegasi Malaysia ke Marche Du Film (MARCHE) 2022 di Palais Des Festival, Cannes, Perancis dari 15 hingga 22 Mei 2022 bagi pembangunan industri kreatif dan memperoleh hasil nilai jualan sebanyak RM158.7 juta, melebihi sasaran jualan yang ditetapkan iaitu RM50 juta.
Annuar juga telah mengubah Hari Seniman Negara yang diraikan pada 29 Mei kepada 22 Mac sempena kelahiran Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dengan persetujuan Jemaah Menteri pada 16 Mac 2022.
Peka dengan nasib anak seni, Annuar telah meningkatkan jumlah Dana Kandungan Digital (DKD) dan memperkenalkan Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) tahun 2023 bagi menyokong industri kreatif negara.
Beliau juga telah menyemarakkan program kebudayaan seni dan warisan dengan paparan dan pertandingan seni budaya warisan negara yang melibatkan pelbagai program pertandingan di RTM.
Antaranya Dikir Barat dan Seni Silat Jatuh di Kelantan, Bongai di Negeri Sembilan, Rebana Perak di Perak; Boria di Pulau Pinang,
Zapin di Johor, Dondang Sayang di Melaka dan Bamukun di Wilayah Persekutuan Labuan.
Annuar juga telah menubuhkan Majlis Penasihat Industri Perfileman dan Muzik (MPPM) sebagai badan pemikir atau ‘Think Tank’ mewakili pemegang taruh industri filem dan muzik negara yang menjadi platform komunikasi bersepadu dan strategik rasmi bersifat musyawarah di antara kerajaan dan pemegang taruh industri filem dan muzik negara.
Beliau juga mendapatkan kelonggaran SOP dari Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 bagi aktiviti berkaitan industri kreatif semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang melibatkan aktiviti penggambaran dan penyiaran, pawagam, persembahan langsung, aktiviti pembangunan kandungan kreatif, indoor dan outdoor busking termasuk persembahan muzik di lounge hotel untuk memulihkan semula aktiviti industri kreatif yang terkesan akibat COVID-19.
PASUKAN KHAS JIHAD TANGANI INFLASI
Annuar juga telah mengemudi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi selaku pengerusi yang ditubuhkan pada 29 Jun 2022 melalui keputusan Jemaah Menteri bertujuan untuk meneliti, memantau dan mencadangkan kepada Kerajaan langkah-langkah segera bersifat jangka pendek dan sederhana serta action-oriented, bagi menangani isu inflasi dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah pelaksanaan operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi menangani ketirisan minyak masak bersubsidi ke luar negara.
Untuk rekod bermula 1 Julai 2022 sehingga 30 Ogos 2022, perincian pemeriksaan ke atas premis adalah sebanyak 345 syarikat pembungkus, 2,203 pemborong dan 25,493 peruncit.
Aktiviti pengauditan pemutihan telah mendapati sebanyak 140 kes di mana kebanyakannya daripada syarikat pembungkus dengan 52 kes.
Atas usaha pasukan ini, universiti-universiti memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia.
Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan program Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia yang berharga RM3.50 dimana harga sebelum ini sekitar RM5.50 hingga RM6.50.
Program Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia mampu diperkenalkan kerana pihak kantin diberikan pengecualian bayaran sewaan selama enam bulan mulai Julai 2022;
Turut dilaksakaan program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) diperluaskan ke 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara melalui Fasa 2.0 bermula pada 15 Ogos 2022 hingga akhir tahun 2022.
Jualan barangan keperluan utama serta keperluan lain dijual dengan harga 30% kurang daripada harga semasa. JMKM juga diperluaskan lagi ke 20 IPTA yang terpilih dengan konsep yang sama, namun ia mengikut kesesuaian dengan perbelanjaan dan keperluan pelajar;
Pelaksanaan program Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE Dagang pula adalah inisiatif pembiayaan bersama antara kerajaan dan rakan platform digital (e-dagang, e-bayar dan ekonomi perkongsian), bertujuan untuk membantu perniagaan Malaysia dalam sektor sasaran seperti Pelancongan & Kraf, Halal & Pertanian dan Eksport (Jenama & Buatan Malaysia) untuk menerima pakai dan memanfaatkan platform digital untuk berkembang maju;
Pewartaan larangan eksport minyak sawit tulen dalam kemasan polibeg.
Ini bagi mengelak kekeliruan dengan minyak masak polibeg bersubsidi;
Yang pasti mekanisme penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi ditentukan secara bulanan untuk seluruh Malaysia mengikut harga purata minyak sawit mentah (CPO) bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya.
Menurut beliau harga siling minyak sawit botol 5kg untuk Sabah, Sarawak dan dan Labuan ditetapkan pada paras RM33.50 yang sebelum ini harganya sekitar RM45.70 sama seperti di Semenanjung, berkuat kuasa pada 8 September 2022;
“Mekanisme harga siling ayam standard telah dilakukan setelah Perintah Kawalan Harga diwartakan bagi membolehkan Penentuan Harga Maksimum diteruskan ke atas ayam dan telur. Harga ayam ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram; dan
“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggerakkan ribuan koperasi yang berjumlah 14,834 buah koperasi berdaftar dengan jumlah keahlian seramai 7.1 juta, diseluruh negara bagi memainkan peranan dan tanggungjawab dalam rantaian bekalan makanan sebagai pengimport, pembungkus dan pengedar bagi enam produk keperluan asas termasuk minyak masak supaya ia dapat dipasarkan pada harga lebih murah,” katanya.
Meninjau di laman Facebook miliknya, Annuar turut menyenaraikan penambahbaikan dan pembaharuan selama bergelar Menteri di Kementerian Multimedia dan Komunikasi.
Antaranya
1) GUBAH lagu “Keluarga Malaysia”
2) Perkenal Pakej Peranti Remaja #KeluargaMalaysia
3) Transformasi dan wujudkan 1000 Pusat Ekonomi Digital (PEDi)
4) Memulakan Mercu Ekonomu Digital (MEDi) di setiap negeri
5) Menyelesaikan kemelut DNB dan SWN
6) Percepat rollout 5G
7) Laksana JENDELA FASA 1 yang lama tergendala
8) Laksana Point of Presence (PoP) fasa 1
9) Laksana PoP fasa 2
10) Perkenal siri Jelajah RIUH! #KeluargaMalaysia
11) Menghidupkan semula Festival Filem Malaysia
12) Perkenal semula Seri Angkasa
13) Menyiapkan Media City
14) Wujudkan Dana Kandungan Digital (DKD)
15) Perkenalkan Dana Kenegaraan
16) Memenangkan semula Malaysia sebagai Ahli Majlis International Telecommunication Union (ITU)
17) Menyusun struktur saham DNB dengan 65% di beri kpd NSP
18) Melaksanakan PerantiSiswa kepada 400,000 pelajar
19) Membentuk 1800 Komuniti #KeluargaMalaysia seluruh negara
20) Melantik 1000 pengerusi PEDi dalam kalangan orang muda
21) Menghidupkan semula pembikinan lebih 200 tajuk drama dan dokumentari
22) Menyiapkan dan menyiarkan 70 siri Kembara #KeluargaMalysia di RTM 1
23) Membaiki format dan wajah penyiaran RTM
24) Membeli hak siaran World Cup Qatar 22 untuk siaran langsung percuma.
25) Menghidupkan semula sambutan Hari Kebangsaan & Hari Malaysia.
26) Mengemudi JK Jihad Tangani Inflasi
27) Rekayasa semula Jualan Murah
#KeluargaMalaysia (JMKM)
28) Perkenal JMKM@kampus dan JMKM@DE DAGANG atas talian dan pelbagai initiatif dalam ekonomi digital bagi meningkatkan ‘digital literacy’.
Menerusi perkongsian terbabit, beliau turut menitipkan kata-kata terakhir setelah 14 bulan mengemudi sebuah kementerian yang menyampaikan maklumat terkini dan dasar kerajaan kepada masyarakat dengan sahih, tepat, cepat, jelas dan berkesan menerusi media elektronik, cetak dan digital.
“Alhamdulillah masa untuk persiapkan perjalanan seterusnya. Berkhidmat sepanjang hayat, buat semua,” kongsi beliau.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost
Leave a Reply