Friday, July 26, 2024
HomeBERITAPortal Sebenarnya.my kekang penyebaran berita palsu

Portal Sebenarnya.my kekang penyebaran berita palsu

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Penyebaran berita palsu oleh individu tidak bertanggungjawab masih berleluasa. Perbuatan tidak bermoral ini sudah tentu memberi kesan buruk terhadap seseorang individu, reputasi sesebuah organisasi malah kepada kesejahteraan dalam negara.

Oleh sebab itu, orang ramai disarankan agar lebih berhati-hati dan berfikir panjang sebelum berkongsi mahupun menyebarkan sesuatu berita yang diterima kepada orang lain.

Masyarakat juga perlu sedar bahawa bukan semua berita di Internet mahupun perkongsian dari orang ramai adalah benar.

Dilaporkan, sekitar tahun 2020 hingga 15 September lalu, kira-kira 98 kes telah disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membabitkan berita palsu secara umum dan enam (6) daripadanya telah didakwa di mahkamah.

Usaha yang dijalankan agensi ini akan diteruskan selaras laporan dan aduan awam yang diterima terutamanya melibatkan kandungan palsu yang boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara berbilang kaum dan agama.

MCMC turut menjalin kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berjaya membuka kira-kira 407 kertas siasatan bagi kes penyebaran berita palsu atau berita yang boleh mengakibatkan kegentaran awam berkaitan COVID-19.

Menyedari permasalahan ini berterusan berlaku. agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) telah mewujudkan laman sesawang khas bagi membanteras penyebaran berita palsu menerusi portal Sebenarnya.my.

Tahukah anda portal Sebenarnya.my adalah sebuah pusat sehenti bagi rakyat untuk menyemak sebelum berkongsi berita yang tidak ditentukan kesahihannya.

Dalam jawapan bertulis kepada The Malaya Post, pihak MCMC berkata, kebangkitan penggunaan media sosial dan platform secara dalam talian bermakna penyebaran maklumat yang mengelirukan atau ‘misleading’ boleh berlaku dalam sekelip mata.

“ Dalam suasana yang mana perkongsian berita palsu menjadi satu kebiasaan, adalah penting untuk pengguna bergantung kepada perkhidmatan ‘fact-checking’ yang boleh dipercayai untuk menapis maklumat-maklumat yang belum ditentusahkan kesahihannya dan oleh sebab itu portal Sebenarnya.my telah diwujudkan pada Mac 2017.

” Menerusi portal Sebenarnya.my, ia menawarkan dua (2) C iaitu Check – menyemak sebarang kandungan diterima yang belum ditentusahkan dan Channel – berkongsi atau salurkan sebarang berita tidak ditentusahkan kepada portal Sebenarnya.my bagi membolehkan ia disalurkan kepada pihak berautoriti untuk perhatian dan tindakan.

” Portal Sebenarnya.my hanya memfokuskan kepada topik-topik berita tempatan/isu yang menjejaskan kepentingan awam atau nasional, yang mana kesahihan berita boleh ditentusahkan oleh saluran-saluran rasmi atau agensi-agensi Kerajaan (berpandukan kepada peranan agensi, bidang kuasanya serta kepakaran mereka),” memetik kenyataan itu.

Muhammad Amirul Hafiz Rosly ketika ditemubual oleh pengacara Bicara Digital ‘Without Fear or Favour di The Malaya Post TV

Menurut Ketua Jabatan Media Baharu MCMC, Muhammad Amirul Hafiz Rosly, hasil pemerhatian daripada aspek perkongsian maklumat oleh orang ramai dan layaran ke atas portal berkenaan mendapati, petunjuk positif dalam keberkesanan portal Sebenarnya.my.

“Sebenarnya.my kini telah menjadi salah satu sumber rujukan bagi orang ramai menentukan kesahihan sesuatu berita yang tular. Sehingga 30 September 2022, portal tersebut menerima 307 juta layaran semenjak dilancarkan dan secara purata menerima sehingga 4.63 juta “hits” setiap bulan.

” Portal berkenaan juga telah menerima 15,510 penyaluran maklumat daripada orang awam (maklumat mengenai berita yang tidak ditentusahkan kesahihannya), dengan purata sebanyak 234 saluran maklumat setiap bulan.

” Peningkatan yang mendadak telah berlaku terhadap ‘hits’ dan penyaluran maklumat adalah ekoran daripada penularan berita-berita yang diragui kesahihannya berkenaan pandemik COVID-19 yang sedang melanda,” tambahnya.

Beliau juga berkata, pemerhatian dari aspek perkongsian maklumat daripada sumber portal berkenaan oleh masyarakat awam di media-media sosial memberi indikasi yang positif dari segi keberkesanan portal di dalam membantu menangani masalah penularan maklumat serta berita yang tidak sahih atau palsu dalam talian.

Muhammad Amirul Hafiz Rosly ketika ditemubual oleh pengacara Bicara Digital ‘Without Fear or Favour di The Malaya Post TV

Malah, Telegram rasmi Sebenarnya.my juga telah diwujudkan di pautan https://t.me/sebenarnyamy dan mempunyai lebih 24,000 subscribers setakat ini.

Dalam pada itu, MCMC turut menyenaraikan langkah proaktif oleh agensi terbabit dalam menangani berita palsu. Antaranya :

1) Pendekatan Administratif

Inisiatif kawal selia bersama (co-regulation) bersama penyedia platform.

Kerjasama dengan penyedia platform media sosial seperti Facebook, Google dan Twitter dalam menurunkan atau memadamkan kandungan yang menyalahi undang-undang Malaysia, selaras dengan terma, syarat serta piawaian komuniti pihak penyedia platform yang berpangkalan di luar negara. Kandungan berita palsu melibatkan COVID-19 akan dinilai untuk dipadamkan oleh penyedia platform seperti Facebook memandangkan ianya melibatkan kecemasan kesihatan awam (public health emergency).

2) Notis Pemberitahuan/Makluman/Amaran kepada awam

Pihak Kementerian melalui MCMC turut mengeluarkan notis pemberitahuan/makluman/amaran kepada orang awam bagi mengelakkan daripada menularkan/menyebarkan sebarang kandungan yang boleh menjadi kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang bertulis dalam negara, mahupun yang boleh menyebabkan kegusaran dan kegentaran awam. Tindakan akan diambil sekiranya ada pelanggaran undang-undang, itu akan menjadi “deterrent” kepada rakyat.

3) Pendekatan Proaktif

Inisiatif kawal selia bersama (co-regulation) bersama agensi penguatkuasaan

Pada ketika ini, pihak Kementerian atau pihak berautoriti yang lain dilihat memainkan peranan aktif dalam mengesan dan memantau penularan berita atau maklumat yang tidak benar yang timbul atau tular melibatkan perkara-perkara yang berada di dalam ruang lingkup pengawalseliaan serta bidang kuasa mereka, seterusnya mengeluarkan kenyataan menjelaskan atau menafikan sebarang berita palsu dan mengelirukan melibatkan agensi dan Kementerian masing-masing, mahupun melibatkan perkara atau isu yang berada di dalam radar kawal selia mereka. (Contoh: COVID-19 – Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara).

4) MCMC tidak bertindak menentukan kesahihan sesuatu berita, namun merujuk kepada agensi (Kementerian/Agensi Kerajaan) yang bertanggungjawab untuk penafian atau penjelasan.

Dalam perkara ini, satu jawatankuasa antara agensi iaitu “Jawatankuasa Operasi Pengurusan Berita yang Tidak Ditentusahkan Dalam Talian” telah ditubuhkan bagi menyelaras koordinasi dalam menguruskan kandungan atau berita palsu. Melalui jalinan kerjasama ini, MCMC menjadi ‘inter-agency focal point’ bagi penyaluran berita yang tidak ditentukan kesahihannya, yang mana sekiranya MCMC mendapati bahawa terdapat beberapa kandungan yang diragui kesahihannya, MCMC akan merujuk kepada Kementerian atau Agensi Kerajaan berkenaan untuk tindakan lanjut. Jawatankuasa ini akan diselaraskan di peringkat kementerian.

Kenyataan-kenyataan penafian atau penjelasan yang dibuat akan diterbitkan dalam portal Sebenarnya.my sebagai repositori kepada berita-berita yang telah ditentusahkan dan untuk menjadi sumber rujukan bagi orang ramai menentusahkan sesuatu berita yang tular.

5) Program advokasi dan Kesedaran

Selain usaha bersifat penguatkuasaan, pelbagai program berbentuk kesedaran di seluruh negara turut dijalankan pihak MCMC. Program yang dijalankan antara lain bertujuan mendidik masyarakat dari aspek etika dan seterusnya bagi mengelakkan penyalahgunaan media sosial. Program yang dijalankan juga memupuk pengguna Internet agar lebih bertanggungjawab dan sama-sama mengekang maklumat atau berita palsu daripada terus disebarkan. Antaranya adalah melalui program Klik dengan Bijak (KDB), The Truth Campaign (Kempen Kebenaran – Kebebasan Bersuara Bukan Kebebasan Untuk Berbohong) dan Malaysia ICT Volunteer (MIV).–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments