Oleh itu, graduan yang ingin menyertai KPT-CAP boleh memohon melalui portal sehenti iaitu Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT) yang juga menyediakan maklumat seperti perkhidmatan padanan pekerjaan, permohonan untuk mengikuti program ‘reskilling’ dan ‘upskilling’, permohonan kemudahan penajaan dan bantuan kewangan melanjutkan pengajian, perkhidmatan untuk mendapatkan kaunseling kerjaya dan sebagainya.

Mengenai sambutan permohonan graduan bagi program itu, Noraini sebelum ini memaklumkan pada Dewan Rakyat, sehingga 28 Okt lalu, seramai 31,942 graduan mendapat penempatan pekerjaan selepas berdaftar dengan portal GREaT, manakala 122,702 graduan mendaftar untuk dipadankan dengan kekosongan perjawatan dalam portal itu.

Sementara itu, ujar Datuk Seri Dr. Noraini, KPT juga sudah mengemukakan cadangan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk meneruskan pelaksanaan program MyBrain15 atas kejayaannya memberikan penajaan kepada 56,910 pelajar setakat ini.

“Proses padanan pekerjaan kepada graduan yang masih belum bekerja turut dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi portal MyFutureJobs,” ujar beliau.

Inisiatif lain turut diambil bagi membantu mahasiswa mengembang dan meningkatkan perniagaan masing-masing, KPT dengan kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) turut memperkenalkan Skim Pembiayaan Mikro.

Tambahnya, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula akan membiayai program keusahawanan berkonsepkan mentor-mentee untuk membolehkan bimbingan secara langsung daripada usahawan yang sudah berjaya.

Pada 18 Nov lalu, Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) turut diadakan antara KPT dan PUNB bagi menjalin kerjasama meningkatkan kebolehpasaran graduan Bumiputera dalam bidang keusahawanan.

Datuk Seri Dr. Noraini dalam satu kenyataan media berkenaan MOU tersebut berkata wujud kegusaran di pihaknya akan nasib bakal graduan dalam tempoh ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara pada ketika ini.

Oleh yang demikian, beliau percaya dalam bidang keusahawanan, seseorang itu bukan sahaja mampu menjana pendapatan yang berganda, tetapi juga berupaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada individu lain dan kerjasama ini bersetuju merangka strategi baharu bagi memantapkan lagi usaha meningkatkan penguasaan kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan.

Selain itu, menerusi pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lalu, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan KPT dalam usaha membantu graduan Malaysia, bersesuaian dengan situasi COVID-19 negara.

Antaranya, inisiatif KPT-PACE (Kementerian Pengajian Tinggi persijilan profesional) yang memberi berita baik dan harapan baharu buat graduan, memandangkan RM150 juta diperuntukkan bagi program itu bagi penawaran baucar RM3,000 kepada setiap graduan baharu untuk mengikuti kursus sijil profesional.

Program itu sememangnya menggalakkan rakyat bekerja, mengurangkan kadar pengangguran, selain memberi daya tambah serta kemahiran baharu kepada graduan terutamanya dalam tempoh kini, dengan jangkaan 50,000 graduan bakal mendapat manfaat program itu.

Dalam belanjawan yang bertemakan Belanjawan 2021: Teguh Kita, Menang Bersama, KPT telah diperuntukkan sebanyak RM14.4 bilion, dengan Perbelanjaan Mengurus RM11.58 bilion dan Perbelanjaan Pembangunan RM2.82 bilion. –THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost