Keutamaan kerajaan selamatkan nyawa, harta, rumah rakyat, PRU musim banjir tidak sesuai – Annuar Musa

0

PUTRAJAYA, 19 September – Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika musim banjir satu tindakan tidak sesuai kerana menjejaskan perjalanan demokrasi dan peranan kerajaan.

Ini kerana kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, semua pihak perlu melihat objektif mengadakan PRU yang mana ia adalah hak rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

“Apabila musim banjir, mesti nak selamatkan nyawa dulu, mesti mahu selamatkan harta, rumah, manakala pengangkutan mungkin jadi payah, hujan sebagainya. Melihat situasi itu, agaknya selari tak dengan prinsip mengadakan PRU bagi memberi peluang rakyat menggunakan haknya?

“Sekiranya kita adakan PRU dalam suasana yang tidak kondusif ia menjejaskan orang keluar undi maka peratusan undi rendah akan membawa imej tidak baik untuk negara dan pembentukan kerajaan kerana ia hanya melibatkan sekumpulan kecil pengundi,” katanya selepas merasmikan majlis Pelancaran OST dan Treler Filem SERATUS hari ini.

Tan Sri Annuar berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Kelmarin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti berkenaan sanggup meredah banjir untuk berkempen sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada akhir tahun ini yang begitu sinonim dengan musim banjir.

Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, semua pihak sedang menunggu tarikh keramat pembubaran itu meskipun terdapat kekangan.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply