Thursday, May 23, 2024
HomeBERITAKetahanan Keluarga Malaysia dan Kedinamikan Pergolakan Dunia Antarabangsa

Ketahanan Keluarga Malaysia dan Kedinamikan Pergolakan Dunia Antarabangsa

Kestabilan politik dalaman adalah kunci kepada keupayaan dan daya tahan sesebuah negara di dalam menyeram ketidakstabilan politik dan ekonomi dunia. Malaysia tidak terkecuali di dalam hal ini. Selepas pilihan raya 2018, Malaysia mula berhadapan dengan pelbagai tentangan dalam dan luar. Kerajaan yang dibentuk tidak stabil bukan hanya kerana tidak ada parti yang boleh mendakwa mempunyai majoriti yang kukuh dan terpaksa membentuk sebuah pakatan yang rapuh, tetapi juga kerakusan pihak tertentu untuk berkuasa. Merebaknya virus Covid-19 secara global memberi kesan tambahan yang begitu parah kepada negara. Malaysia berhadapan dengan “double-whammy” – keadaan politik yang agak tidak menentu dan ancaman penyebaran virus yang tidak diketahui punca dan penawarnya. Seluruh dunia bergelut. Jalan pintas dilakukan dengan menutup sempadan negara sekali gus hampir meranapkan sistem ekonomi dunia. Covid-19, politik yang tidak stabil, dan kelembapan perdagangan yang hampir melumpuhkan ekonomi negara adalah cabaran yang tidak pernah dialami oleh negara semenjak merdeka.

Antara natijahnya, kerajaan terpaksa bertukar sebanyak tiga kali dan impaknya kepada keyakinan rakyat dan dunia luar terhadap Malaysia terhakis. Malaysia mula berhadapan dengan perang persepsi mengenai permasalahan politik yang dimainkan oleh pihak tertentu di media sosial, walaupun pada hakikatnya ianya juga boleh dilihat sebagai satu proses kematangan politik. Jika dibandingkan dengan negara membangun yang lain yang berhadapan dengan keadaan huru hara dan konflik akibat daripada ketidakpercayaan kepada perubahan politik yang berlaku, Malaysia secara relatifnya berada dalam proses transisi yang aman. Sepertimana yang saya hujahkan di dalam beberapa penulisan saya sebelum ini, negara-negara seperti Pakistan, Iraq, Venezuela, Mexico, dan Libya adalah antara negara yang berhadapan dengan pelbagai masalah dalaman yang diburukan pula dengan ketidaktentuan politik global, Venezuela, yang kaya dengan minyak, telah dipulau oleh masyarakat antarabangsa akibat dari dakwaan penipuan pilihanraya presiden yang menyaksikan Presiden Nicolas Moduro mengekalkan kuasanya untuk tempoh enam tahun lagi. Amerika Syarikat dan sekutunya telah memulakan sekatan ekonomi yang menyebabkan rakyat Venezuela lari ke negara jiran sebagai pelarian ekonomi. Di Libya pula, perang saudara terus menghantui negara tersebut akibat dari persengketaan pihak-pihak yang berkepentingan untuk mendapatkan kuasa selepas kematian Muammar Ghadafi. Konflik tersebut juga menyebabkan krisis kemanusiaan yang parah.

Politik Malaysia semakin stabil apabila penyebaran Covid-19 semakin dapat dikekang. Fokus kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi negara pasca-Covid mula mendapatkan kesan dan membantu menstabilkan suhu politik negara. Pelan pemulihan ini juga menuntut kerjasama dan komitmen rakyat untuk membantu kerajaan. Aspek sentimen politik kepartian sepatutnya diketepikan buat seketika bagi memastikan ekonomi dan politik Malaysia berhadapan dalam landasan yang lebih stabil. Konsep keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh pentadbiran Dato Seri Ismail Sabri, sebenarnya mahu mengujudkan penglibatan inklusif semua pihak- rakyat, parti kerajaan, parti pembangkang, kakitangan awam dan swasta, dan masyarakat sivil- di dalam berhadapan dengan pelbagai ancaman dalaman dan luaran. Malaysia memerlukan penyatupaduan politik dan sosial untuk bangkit menghadapi cabaran mendatang. Inisiatif ini, walau bagaimanapun bukannya mudah kerana permasalahan defisit kepercayaan rakyat kepada kerajaan semenjak 2018, peranan mediasosial, dan yang lebih penting ialah permasalahan ketidakstabilan dunia yang berlarutan sehingga kini.

Ekonomi dunia masih belum pulih sepenuhnya dalam era pra-endemik Covid-19 dengan kuasa ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS), berhadapan dengan kemelesetan ekonomi dan kenaikan inflasi. Langkah-langkah monetari yang dilakukannya sekarang memberi pelbagai kesan kepada Malaysia, daripada kejatuhan nilai Ringgit (RM) sehinggalah kepada kenaikan harga barang akibat inflasi. Perang di Ukraine akibat pencerobohan Rusia pula menambahkan permasalahan yang wujud. Konflik ini juga mengimbau kembali bagaimana Perang Dunia Kedua meletus di Eropah akibat daripada pengembangan kuasa Jerman yang mula melakukan langkah pencerobohan ke atas negara jirannya

Artikel ini tidak akan menumpukan kepada permasalahan dan ancaman ekonomi dunia kepada Malaysia. Walaupun aspek ekonomi adalah penting, kertas kerja ini, walau bagaimanapun, lebih memberi fokus kepada permasalahan global dan serantau yang membabitkan isu-isu ancaman politik yang memberi kesan keselamatan, hubungan luar dan diplomasi kepada negara dan daya tahan masyarakat Malaysia.

Ancaman serantau dan global

Perlu diingat bahawa dunia masih lagi bergolak dengan persaingan antara kuasa-kuasa besar seperti AS dan Kesatuan Eropah (EU) dengan kuasa memuncul yang lain seperti China dan Rusia. Semenjak terkuburnya Perang Dingin, penganalisis begitu yakin bahawa ancaman kepada kestabilan dunia bukanlah lagi berbentuk ketenteraan tetapi lebih kepada isu sejagat seperti pemanasan global, hak asasi manusia, dan pendemokrasian. Namun perkembangan mutakhir menunjukkan bahawa negara sanggup menggunakan kekerasan melalui kaedah ketenteraan demi untuk melindungi kepentingannya dan kedaulatannya. Sesetengah berpendapat bahawa struktur antarabangsa akan kembali kepada Perang Dingin (1946-1989) yang membabitkan persaingan ideologi antara AS dan Kesatuan Soviet (USSR). Namun, Perang Dingin 2.0 ini pula merupakan persaingan ekonomi-politik antara AS dan EU dengan gabungan kuasa-kuasa Rusia, Iran, India, dan China yang mempunyai manifestasi politik yang besar. Persaingan ini telah mula menampakkan kesan kepada rantau Asia Tenggara. Rantau ini menjadi salah satu fokus persaingan antara kedua-dua belah pihak untuk mendapatkan pengaruh politik. Negara-negara serantau pula telah mula memodenkan sistem pertahanan dan keselamatan mereka kerana bimbang dengan perkembangan tersebut.

Persaingan pengaruh China dengan AS dan sekutunya

Malaysia tidak dapat lari dari ketegangan yang semakin serius antara China dan AS. Lawatan speaker Kongres AS, Nancy Peloci ke Taiwan, disusuli lawatan yang sama kemudiannya oleh delegasi dari Senat AS yang diketuai oleh Ed Markey menegangkan lagi hubungan antara Beijing dan Taipei. Siri lawatan ini telah mencetuskan perang diplomatik di mana Beijing telah mengerahkan angkatan laut dan udaranya mengadakan latihan ketenteraan bertujuan menakutkan kerajaan Taipei. Perkara ini bukan sesuatu yang baharu dalam isu pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap Taipei. Kerajaan sentiasa menekankan konsep satu China dan menganggap Taiwan sebagai wilayah terpisah (renegade state).

Tidak dapat dinafikan bahawa ketegangan hubungan ini adalah kesinambungan daripada legasi Perang Dingin antara kem Sosialisme dan Kapitalisme. China berjaya menunjukkan bahawa di sebalik pegangannya kepada ideologi politik sosialisme, negara tersebut mampu membangun dengan pesat dan menjadi negara ekonomi kedua terbesar di dunia. Ini bertentangan dengan kepercayaan propaganda kapitalisme yang mendakwa hanya negara yang mengamalkan demokrasi dan ekonomi bebas sahajalah yang akan maju. China pula mencabar tesis tersebut dengan menawarkan dasar “One Country Two-System” – di mana sistem politiknya adalah sosialisme manakala kapitalisme dan sosialisme berjalan seiringan dalam sistem ekonominya.

Konflik dan ketegangan dua kuasa besar ini berada di belakang rumah kita. Malaysia dan negara jiran serantau lain akan terjejas teruk jika sekiranya kemelut ini menuju kepada konflik ketenteraan yang lebih serius. Kita mengambil dasar yang neutral dalam persaingan kuasa besar semenjak Perang Dingin lagi, walaupun pada hakikatnya kita adalah pro-barat dalam hubungan luar kita seperti melalui Perjanjian Pertahanan Lima Negara. Walaupun demikian, kita memerlukan China kerana kuasa pasarannya namun pengalaman kita dengan China sewaktu Perang Dingin dahulu agak kurang menyenangkan kerana sokongan Beijing kepada Parti Komunis Malaya (PKM). Kita juga cuba mempelbagaikan sumber perolehan aset ketenteraan dan menjadi China juga sebagai negara sumber. Ini boleh dilihat apabila dengan pembelian empat Littoral Mission Ships (LMS) untuk kegunaan rondaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Zon Timur perairan negara di Sabah dan Sarawak.

Diplomasi praktikal adalah jalan ke hadapan di dalam dasar luar Malaysia terhadap kuasa-kuasa besar ini. Kebergantungan kepada hanya pada satu-satu kuasa besar untuk tujuan perdagangan dan politik perlu dielakkan. Kita harus berhari-hati dengan dasar berbaik-baik dengan negara luar agar tidak menjadikan negara ini sebagai negara sasaran daripada kuasa-kuasa besar. Insiden pembunuhan yang membabitkan pemimpin besar Korea Utara harus dijadikan teladan. Saya juga merasakan Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam pergerakan serantau seperti ASEAN bagi mengujudkan solidariti yang lebih kukuh di dalam berhadapan dengan perseteruan antara kuasa besar tersebut. Perang kuasa besar dan penggunaan senjata nuklear oleh Korea Utara adalah terlalu hampir dengan wilayah kita.

Peranan antarabangsa kita perlu diaktifkan semula sepertimana sebelum ini. Kita perlu memperjuangkan isu Palestin yang semakin dilupakan oleh masyarakat Malaysia. Islamophobia dan penindasan masyarakat Islam di beberapa negara perlu menjadi wadah perjuangan dasar luar kita. Dasar luar kita perlu kukuh dan dihormati.

China dan Tuntutan Bertindih Laut China Selatan

Peningkatan kuasa ekonomi China juga telah diterjemahkan kepada kemunculan sebagai antara kuasa politik dan ketenteraan terbesar di dunia. Keadaan ini memberikan Beijing satu keyakinan baharu kepada dasar pertahanan dan luarnya terutamanya di rantau Asia Tenggara. Beijing semakin teguh untuk menyatupadukan wilayahnya yang sebelum ini dipisah-pisahkan dalam era penjajahan. Hong Kong dan Macau sudah kembali ke pangkuannya manakala Taiwan dilihat sebagai wilayah degil dan Beijing tidak teragak-agak menggunakan kekerasan untuk mengambil semula wilayah tersebut.

Sikapnya sebagai salah satu kuasa besar dan keteguhannya untuk melindungi wilayahnya juga memberi kesan besar kepada rantau Asia Tenggara dan Malaysia. Tuntutan sembilan titik maritim Laut China Selatan sehingga menghampiri perairan negara adalah ancaman dan cabaran paling besar untuk negara mempertahankan wilayah dan kedaulatannya. Tuntutan China juga mencetuskan bangkangan diplomatik negara penuntut yang lain seperti Brunei, Filipina, Indonesia, dan Vietnam. Kedaulatan wilayah adalah sesuatu yang tidak boleh dirundingkan. Kita harus belajar bagaimana Indonesia dan rakyatnya menjadi lebih nasionalistik apabila mereka kehilangan Sipadan dan Ligitan. Bagi Jakarta, apabilanya ianya membabitkan isu kedaulatan, aspek Nusantara diketepikan.

Apa yang penting ialah untuk kita memperkukuhkan aset pertahanan maritim negara. Walaupun kita mempunyai program transformasi penggantian aset maritim dan udara, perlaksanaan dilihat terlalu lambat dan dicemari dengan beberapa skandal rasuah yang begitu memalukan negara. Saya percaya konsep Keluarga Malaysia harus diperteguhkan dengan menolak kepada budaya dan amalan seperti ini yang sebelum ini dilihat sebagai satu kebiasaan. Semua negara berhadapan dengan isu rasuah tetapi jangan jadikan rasuah sebagai satu budaya dalam sistem politik dan sosial kita demi memperkukuhkan sistem pertahanan negara. Jika ianya dibiarkan menjadi barah, negara kita akan gagal sepertimana yang berlaku di Sri Lanka.

Tuntutan Wilayah dan Sempadan

Selain tuntutan bertindih di Laut China Selatan, kita juga berhadapan dengan dua tuntutan utama – Tuntutan Filipina/Kesultanan Sulu terhadap Sabah, dan tuntutan bertindih bilateral sempadan darat dan maritim.

Tuntutan Filipina/Kesultanan Sulu terhadap Sabah adalah paling serius setakat ini kerana ianya telah menyebabkan konflik berdarah Lahad Datu dan menunjukkan bagaimana wilayah kita dengan mudah boleh dicerobohi. Pembentukan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) adalah rentetan daripada peristiwa tersebut. Isu keselamatan dan kedaulatan di Sabah bukanlah sesuatu yang baharu. Isu ini terlalu banyak membabitkan politik tarik tali antara kerajaan pusat dan persekutuan semenjak wilayah Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia. Walaupun isu keselamatan dan pertahanan wilayah adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan, kerjasama kerajaan negeri juga diperlukan dari segi perlaksanaannya. Kadangkala beberapa isu yang berkaitan dengan keselamatan dan pertahanan tidak difokuskan hanya kerana faktor politik terutamanya apabila wujud ketegangan hubungan kerajaan negeri dan persekutuan.

Mempertahankan kedaulatan wilayah dan sempadan tidak seharusnya dipolitikkan. Dalam konteks pengembangan konsep keluarga Malaysia, perkara harus menjadi teras seperti mana yang telah ditekankan di dalam Dasar Keselamatan Negara, 2021-2025 (DKN) dan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA).

Selain daripada itu, negara jiran seperti Indonesia, Singapura, dan Thailand semakin galak menuntut beberapa bahagian sempadan yang membabitkan Malaysia. Indonesia sebagai contoh begitu keras menuntut beberapa wilayah maritim berasaskan kepada the United Nation Law of the Sea II (UNLOS II) di beberapa kawasan maritim di utara Selat Melaka, walaupun sebelum ini rejim Soeharto telah bersetuju secara “gentleman agreement” memberikan wilayah maritim tersebut kepada Malaysia sebagai gantian Malaysia tidak menuntut wilayah Natuna. Ini adalah kesilapan kita kerana tiada perjanjian yang kukuh ditandatangani dan hanya bergantung kepada nota persetujuan bersama sahaja.

Dalam konteks ini Malaysia harus mengembalikan imej dan maruahnya agar lebih keras di dalam proses perundingan tuntutan bertindih. Kita tidak perlu mendendangkan lagi faktor persamaan budaya, semangat keserantauan, Nusantara, serumpun sebagai asas diplomasi kita dengan negara jiran.

Jenayah Rentas Sempadan

Ancaman dan isu yang membabitkan jenayah rentas sempadan perlu disekuritisasikan di kalangan rakyat agar mereka menganggap ancaman yang wujud adalah serius. Isu-isu Jenayah Rentas Sempadan termasuklah antaranya pengedaran dadah, migran, penyeludupan dan pemerdagangan manusia, dan terorisme. Dalam isu pemerdagangan manusia, Malaysia adalah negara sumber, transit, dan destinasi. Ini bermakna, rakyat Malaysia banyak diperdagangkan ke luar negara bagi tujuan keuntungan buruh murah dan pemerdagangan seks. Malaysia juga adalah negara transit dan destinasi dari luar. Dalam era pra-pandemik, Malaysia adalah sasaran kepada pemerdagangan manusia dari China dan Asia Tengah. Sebagai negara transit, Malaysia dijadikan tempat persinggahan untuk penyeludupan ke Amerika Utara, Eropah dan Australia. Modus operasi yang sama juga dilakukan dalam isu penyeludupan dadah.

Oleh yang demikian, merakyatkan isu ini adalah penting kerana sehingga kini masyarakat masih melihat ianya hanya tanggungjawab kerajaan dan agensi yang berkaitan semata-mata. Tidak hairanlah kita masih berada di tahap Tier-3 dalam Laporan Amerika Syarikat mengenai Trafficking in Person 2022. Perspektif inklusif dalam konsep Keluarga Malaysia inu perlu diterapkan dalam hal seperti ini agar keselamatan dan pertahanan akan menjadi tanggungjawab bersama masyarakat dan negara.

Yang pasti kestabilan politik dalaman adalah penting bagi Malaysia berhadapan dengan ketidaktentuan politik dunia dan ancaman serantau yang wujud. Kestabilan politik membenarkan kerajaan berfungsi dengan baik. Ini sekali gus menyumbang kepada kemakmuran masyarakat dan keselamatan negara. Sepertimana negara membangun yang lain keterterapan masyarakat adalah penting bagi berhadapan dengan ancaman luar. Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan adalah satu usaha yang dilakukan oleh pentadbiran sekarang untuk mengujudkan masyarakat Malaysia yang bersepadu padu sekali gus mempunyai daya tahan (resilience) yang mapan di dalam berhadapan dengan pelbagai bentuk kemungkinan dan ancaman luar. Walaupun demikian, kertas kerja ini juga berhujah bahawa konsep yang diperkenalkan bukanlah mudah untuk diterap oleh masyarakat kerana defisit kepercayaan kepada kerajaan semenjak tahun 2018 masih menebal. Namun, kita juga perku optimistik kerana, di sebalik cabaran tersebut, rakyat harus siap siaga dan sedar mengenai isu dan ancaman keselamatan global kepada negara. Ini perlu ditanamkan di dalam minda mereka. Ianya juga bertujuan mengujudkan satu masyarakat yang secara psikologinya bersedia dan mampu menyerap permasalahan luar yang wujud. Dengan kata lain, isu keselamatan dan kedaulatan mesti dirakyatkan agar masyarakat tidak melihat perkara tersebut hanya menjadi tanggungjawab kerajaan atau pihak yang berwajib semata-mata.

Prof Dr. Mohd Kamarulnizam Abdullah adalah Profesor dan Felo di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM. 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments