Friday, July 26, 2024
HomeBERITAKeluarga Malaysia & Satu Refleksi Hak Asasi Manusia di Malaysia

Keluarga Malaysia & Satu Refleksi Hak Asasi Manusia di Malaysia

Konsep Keluarga Malaysia mengambil semangat institusi keluarga bertujuan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah serta memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela serta kemakmuran bersama. Ia merupakan satu matlamat utama yang sememangnya menjadi amanah setiap kerajaan yang bertanggungjawab dan komited menjamin kesejahteraan rakyat. Keluarga Malaysia dapat menerima persamaan dan perbezaan berpaksikan nilai-nilai dan ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Senada dengan piagam hak asasi manusia berkaitan dengan keluarga di peringkat antarabangsa dan serantau dengan meletakkan tanggungjawab utama kepada kerajaan yang memerintah menjaga dan melindungi keluarga. Penilaian secara am dari segi hak asasi manusia menampakkan keperluan penambahbaikan yang perlu di buat bagi memastikan matlamat utama Keluarga Malaysia tercapai dalam jangkamasa panjang.

Latarbelakang

Keluarga Malaysia adalah satu gagasan yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 22 Ogos 2021 dalam ucapan sulong beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 9. Cetusan idea ini adalah berlatarbelakangkan cabaran krisis pandemik Covid-19 yang “unprecedented” yang melanda seluruh dunia dimana satu negara pun tidak terkecuali. Impak kepada pasca pandemik Covid-19 menzahirkan isu governans kerajaan yang perlu di lihat semula pelaksanaannya, pengurusan kesihatan awam yang lebih efektif dan cekap serta krisis ekonomi yang lembab yang memerlukan satu pendekatan yang drastic untuk memulihkan ekonomi serta kepercayaan awam (public trust) yang segera supaya kehidupan harian rakyat dapat diteruskan. Peralihan dari fasa pandemik kepada fasa endemik juga merupakan satu cabaran besar kepada kerajaan kerana fasa pemulihan ini memerlukan satu gandingan kerjasama di antara kerajaan dan rakyat yang kuat bagi memastikan kedudukan ekonomi serta kebajikan rakyat dapat di pulihkan segera. Oleh itu ilham dan visi Keluarga Malaysia dari YAB Perdana Menteri yang mengambil semangat institusi keluarga yang bertujuan untuk memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan kesejahteraan serta kebajikan setiap ahli keluarga terbela adalah bertepatan pada masanya.

Bidang tumpuan utama Keluarga Malaysia adalah pertamanya, memulih semula dan merapatkan jurang eknomi, kedua, menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia dan yang ketiga, mengenepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan.

Konsep Keluarga Malaysia telah menggariskan dan memperkenalkan 3 teras utama dan 20 pengkayaan nilai yang menjadi tonggak utama kerajaan pimpinan Dato Sri Ismail Sabri di mana 3 nilai utama keterangkuman (inclusivity), kebersamaan (common ground) dan kesyukuran (contenment) berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai teras utamanya.

Artikel ini memfokuskan serta menilai secara am konsep Keluarga Malaysia di lihat dari perspektif Hak Asasi Manusia di Malaysia dengan memberi tumpuan kepada kepentingan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Ini adalah kerana dua elemen penting ini di lihat sebagai satu legitimasi undang-undang yang akan memberi jaminan pelaksanaannya. Bahagian kedua Kertas Kerja ini membuat perbandingan secara am pelaksanaan instrumen-instrumen undang-undang antarabangsa dan konvensyen serantau yang telah di pakai di peringkat global dan serantau yang memperuntukan hak asasi berkeluarga secara ekspres di dalam konvensyen mereka yang mungkin boleh di terima pakai di Malaysia. Bahagian terakhir kerta kerja ini mencadangkan penambahbaikan di dalam beberapa aspek hak asasi manusia yang memerlukan kajian dan dilaksanakan bagi tujuan pencapaian matlamat Keluarga Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan

Untuk tujuan memastikan Keluarga Malaysia mencapai matlamatnya, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dijadikan paksi bukan sekadar simbolik. Bahkan pemakaian kedua- dua elemen utama ini digunakan bagi tujuan memperoleh pertama, legitimasi undang-undang dan yang kedua, dari segi perlaksanaan Keluarga Malaysia.

Dengan meletakkan Perlembagaan persekutuan sebagai undang-undang yang tertinggi di Malaysia, matlamat menjayakan Keluarga Malaysia adalah satu misi kerajaan yang tidak boleh di anggap sebagai satu retorik politik ataupun perancangan secara ad hoc dan tidak konsisten.

Peruntukan berkaitan dengan hak asasi manusia rakyat Malaysia adalah termaktub didalam Perkara 5 sehingga 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada konsep Keluarga Malaysia di mana antara teras utama perlembagaan tersebut ialah menjamin perpaduan antara yang kaum yang berbilang bangsa dan agama di Malaysia di pelihara. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah negara ini memastikan hak asasi rakyat Malaysia ini terjamin pada setiap masa termasuklah jaminan kemakmuran rakyat dari segi ekonomi.

Mempelajari dari sejarah yang lepas, kekayaan dan kemakmuran negara mestilah di rasai oleh semua kaum supaya tidak wujud jurang perbezaan pendapatan yang ketara yang boleh membawa impak negatif kepada negara. Matlamat untuk menjadikan negara ini negara maju dan berpendapatan tinggi mestilah berpandukan kepada prinsip yang membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada semua rakyat di negara ini. Hak untuk hidup serta menikmati hidup yang selesa adalah antara hak asasi manusia yang sudahpun di terima pakai di seluruh dunia.

Rukun Negara

Rukun Negara merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Rukun Negara di bentuk bertujuan untuk membina perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum berlandaskan kesepaduan dan keharmonian antara kaum menerusi prinsip-prinsip yang terkandung dalamnya.

Kepercayaan kepada tuhan merupakan prinsip rukun negara yang pertama dan walaupun Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa Islam itu adalah agama rasmi Persekutuan, namun penganut agama lain bebas untuk mengamalkan anutan agama masing-masing. Prinsip Rukun Negara yang pertama ini mencakupi ketiga-tiga nilai utama Keluarga Malaysia di mana ia bersifat keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dan agama menjadi panduan dalam pengurusan kehidupan rakyatnya. Untuk merealisasikan Keluarga Malaysia dibawah prinsip pertama ini kita boleh mengambil nilai, keimanan dan amanah yang wujud dalam setiap agama yang dianuti oleh warga Malaysia. Kebersamaan nilai dan makna ini mengikat kita semua dalam membentuk kesepaduan dan keharmonian kaum yang bersifat nasional demi kepentingan dan tanggungjawab bersama.

Kesetiaan kepada raja dan negara sebagai prinsip rukun negara yang kedua merupakan tunggak kepada kedaulatan Malaysia. Institusi raja di Malaysia adalah satu institusi tradisional yang menjadi teras sistem pemerintahan Kerajaan Melayu pada zaman kegemilangan bangsa Melayu, satu sistem sistem raja mutlak kepada sistem raja berperlembagaan di era Pasca kemerdekaan. Raja adalah payung kedaulatan negara yang menaungi setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Prinsip kedua ini juga, menuntut warga Malaysia untuk mencintai negara dan mempunyai semangat patriotisme. Prinsip ini juga dijadikan asas pembentukan Keluarga Malaysia yang menjulang nilai-nilai keadilan, melindungi keamanan dan juga kesejahteraan yang sememangnya disemai dalam setiap institusi kekeluargaan di Malaysia.

Prinsip ketiga meletakkan Keluhuran Perlembagaan sebagai sumber undang-undang tertinggi negara. Setiap individu mesti mematuhi keluhurannya yang meliputi aspek-aspek perundangan, pentadbiran, kedudukan mahupun hak sosio-ekonomi rakyat.

Kedaulatan undang-undang sebagai prinsip keempat membawa erti bahawa setiap insan mahupun institusi wajib menghormati setiap undang-undang yang dikuatkuasakan secara sah melalui demokrasi berparlimen. Dalam prinsip ini, Keluarga Malaysia menuntut agar setiap insan menerapkan nilai keadilan dan bermaruah dalam memelihara kesepaduan dan keharmonian keluarga besar Malaysia.

Teras kelima prinsip ini memberi penekanan terhadap nilai dan makna kemanusiaan supaya setiap warga Malaysia boleh menerima perbezaan masing-masing bagi memastikan kesepaduan dan keharmonian kekal terpelihara di dalam penerapan Keluarga Malaysia serta menjamin hak asasi berkeluarga itu di lindungi.

Pengiktirafan Hak Berkeluarga sebagai hak asasi manusia di peringkat global dan serantau.

Selain daripada berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, Konsep Keluarga Malaysia juga didapati seiring dengan hak untuk hidup berkeluarga dalam masyarakat di peringkat global dan serantau dibawah undang-undang antarabangsa. Kepentingan berkeluarga ini di zahirkan di dalam instrumen undang-undang antarabangsa seperti Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dalam peruntukan-peruntukan berkaitan dengan hak berkahwin dan mempunyai keluarga, hak mendapatkan perkhidmatan sosial dan hak mendapatkan pendidikan. Begitu juga dengan hak individu di bawah Konvensyen Antarabangsa berkaitan dengan Hak Sivil dan Politik (ICCPR), dan lain lain konvensyen serantau.

Negara-negara Islam di bawah Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) juga telah memperkenalkan Deklarasi Kaherah berkenaan dengan Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) yang memberi jaminan hak asasi berkeluarga, wanita dan kanak-kanak di bawah Hukum Syariah.

Di rantau Asia Tenggara, Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012 memperuntukan hak berkeluarga sebagai satu unit asas dan asli dalam masyarakat dan menjadi tanggungjawab negara anggota ASEAN melindungi hak tersebut. Selain dari itu Deklarasi ASEAN itu juga memperuntukan hak kanak-kanak , hak mendapatkan taraf hidup yang secukupnya, hak mendapatkan perumahan, pakaian, penjagaan kesihatan, perubatan, perkhidmatan sosial, alam sekitar yang selamat, dan lain lain hak yang berkaitan dengan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat negara anggota ASEAN.

Di bawah Piagam Sosial Eropah (European Social Charter) di bawah Artikel 16, memperuntukan hak berkeluarga dan negara-negara yang menjadi anggota Piagam tersebut adalah komited memastikan syarat-syarat keprluan yang membentuk keluarga sebagai satu unit asas dalam masyarakat di lindungi. Negara-negara anggota Piagam ini bersetuju untuk mempromosikan keselamatan berkeluarga dari aspek ekonomi dan undang-undang serta di berikan kemudahan berkeluarga seperti perumahan, hak bagi mereka yang baharu berkahwin serta lain lain keperluan.

Sementara di bawah Piagam Afrika berkaitan dengan Hak Manusia serta Rakyat (Africa Charter on Human and People’s Right) di bawah Artikel 18, keluarga adalah satu unit asli dan asas masyarakat dan di lindungi oleh negara. Negara anggota bertanggungjawab keatas membantu keluarga dan adalah penjaga moral dan nilai tradisi yang di iktiraf oleh masyarakat.

Begitu juga dengan Konvensyen Hak Manusia Amerika (American Convention on Human Rights) di mana treati tersebut di bawah Artikel 17(1) memperuntukan keluarga sebagai satu kumpulan unit dalam masyarakat dan berhak di lindungi oleh negara dan masyarakat.

Berkait rapat dengan hak berkeluarga ialah hak kanak-kanak. Agenda Pembangunan Lestari 2030 (2030 Agenda for sustainable development), UNICEF telah mengeluarkan satu kertas kerja mengistiharkan bahawa “pembangunan mampan bermula dengan kanak-kanak yang selamat, sehat dan yang terpelajar” bahawa “masyarakat yang selamat dan mampan adalah satu keperluan kepada kanak-kanak dan suara kanak-kanak, pilihan serta penglibatan adalah kritikal untuk tujuan kelestarian masa depan yang kita kehendaki”. Hak kanak-kanak seperti yang terdapat di bawah Konvensyen Hak untuk Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Child) adalah kritikal bagi mencapai matlamat Agenda 2030.

Di bawah Perenggan Operasi 22 berkaitan dengan resolusi terkini berkaitan dengan perlindungan keluarga yang telah di terima semasa sesi ke Tiga-Puluh Dua, Majlis Hak Asasi Manusia (Human Rights Council) mengiktiraf bahawa unit keluarga itu memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sosial, oleh itu ia mesti di perkukuhkan dan perhatian di tumpukan kepada hak-hak, kemampuan serta tangungjawab negara serta semua pemegang taruh dalam sistem PBB dengan mengambil kira peranan keluarga sebagai penyumbang kepada pembangunan mampan serta perlunya pengukuhan pembangunan polisi dalam usaha negara negara mencapai matlamat yang di persetujui di peringkat antarabangsa termasuk Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia juga komited memastikan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di mana 17 matlamat yang dikemukan di Perhimpunan Agung PBB pada September 2015 tercapai. 17 Matlamat ini juga adalah seiring dengan pendekatan Keluarga Malaysia antaranya seperti menamatkan kemiskinan dalam semua bentuk (Matlamat 1), menamatkan kelaparan (Matlamat 2), memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur (Matlamat 3), menjamin Pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua (Matlamat 4), mencapai kesamarataan gender (Matlamat 5), mempromosikan perkembangan ekonomi mampan dan menyeluruh, pekerjaan penuh dan produktif dan pekerjaan layak kepada semua (Matlamat 8).

Hak Asasi Manusia, Impak COVID-19 dan Keluarga Malaysia

Peruntukan berkaitan dengan hak asasi manusia di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang bentuk oleh Suruhanjaya Reid menurut latarbelakang sejarahnya adalah berkait rapat dengan perkembangan Pasca Perang Dunia Kedua. Hak asasi manusia pada ketika itu banyak di pengaruhi oleh proses decolonization di Asia dan Afrika. Semasa perlembagaan di rangka bagi negara-negara yang baru merdeka dari belenggu penjajah pemimpin-peminpin di negara tersebut meletakkan kepentingan hak asasi manusia sebagai satu keperluan dalam kerangka perlembagaan baru. Di tambah dengan termeterinya Deklarasi Hak Asasi Manusia oleh PBB yang di katakan sebagai satu kejayaan kemanusiaan, semua negara-negara yang baharu merdeka pada ketika itu inginkan peruntukan hak asasi manusia di masukkan di dalam perlembagaan negara mereka sebagai satu yang wajib di nobatkan.

Bagi Malaysia pula Perkara 5 sehingga 13, pada ketika itu Suruhanjaya Reid berhadapan dengan satu cabaran besar kerana masyarakat di Tanah Melayu pada ketika itu sudahpun berbilang kaum serta menganut berbilang agama dan yang lebih kritikal pada ketika itu Tanah Melayu sedang menghadapi ancaman komunis. Oleh itu Suruhanjaya Reid berpendapat bahawa hak asasi manusia tidak boleh di berikan secara mutlak dan meletakkan beberapa batasan untuk mengimbangi dua faktor penting yang menjadi cabaran masa depan kelak. Maka unsur perpaduan memainkan peranan yang penting di dalam proses pembuatan Perlembagaan Persekutuan Malaysia pada ketika itu. Selain dari itu, Suruhanjaya Reid juga mengambil pakai peruntukan hak asasi manusia yang termaktub di dalam perlembagaan India dan Pakistan serta beberapa negara Komenwel yang lain.

Di bawah Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan 2018 (NHRAP) hak asasi manusia di tarkrifkan sebagai hak-hak asas seorang manusia dalam kehidupan sehariannya. Hak asasi manusia ini dikaitkan dengan penghormatan, maruah, kebebasan dan harga diri sebagai seorang manusia. Sistem demokratik yang di amalkan kini meletakkan amanah dan tanggungjawab kepada kerajaan yang wajib mnunaikan jaminan hak asasi di lindungi keatas rakyatnya. Pengabaian dan penafian terhadap hak-hak asasi ini boleh menyebabkan kegagalan dalam melahirkan negara yang harmoni, berjiwa merdeka dan makmur.

Di bawah Perkara 4, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara yang menjadi rujukan penting dalam membincangkan hak asasi manusia di Malaysia. Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan definisi “hak asasi manusia,” namun penjelasan boleh diperolehi melalui seksyen 2 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] yang mentakrifkan “hak asasi manusia” sebagai merujuk “kebebasan asasi sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.” Ini bermakna takrifan yang diberikan oleh seksyen 2 Akta 597 tersebut jelas menyatakan bahawa hak-hak yang dinyatakan di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan iaitu “kebebasan asasi” merupakan hak asasi manusia yang asas di Malaysia.

Peruntukan-peruntukan yang berkaitan hak asasi manusia dalam Bahagian II, Perlembagaan Persekutuan merujuk Perkara 5 hingga Perkara 13. Kesemua perkara yang disebutkan di atas adalah amat penting dan ia tidak semata-mata berkaitan dengan hak sivil dan politik, bahkan ia merupakan hak yang berkaitan dengan semua teras di bawah kajian pembangunan NHRAP, seperti hak ekonomi, sosial dan kebudayaan, hak golongan rentan dan hak Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan Natives of Sarawak.

Sejak pengistiharan COVID-19 sebagai satu pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Covid -19 telah menyebabkan ramai di kalangan rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan di sektor swasta, kadar penutupan perniagaan terutama sekali di kalangan usahawan kecilan dan sederhana yang tinggi dan peningkatan kadar kematian. Pandemik ke fasa endamik ini telah mengakibatkan kemerosotan ekonomi yang memberi kesan langsung dan jangka panjang terhadap hak asasi manusia di Malaysia yang memerlukan penyelesaian dengan segera.

Kemiskinan, kesenjangan pendapatan (income disparities) dan produktiviti kerja yang menurun dan kadar kemurungan yang tinggi adalah antara faktor yang memberikan kesan langsung kepada hak asasi manusia.

Faktor berkaitan dengan kedudukan rakyat Malaysia yang berada di dalam putaran kemiskinan ini dapat dilihat dengan;

Pertama, ketaksaksamaan pendapatan (Wealth Inequality) serta kesenjangan di antara kaya dan miskin meningkat dari 0.407 pada tahun 2019 kepada 0.411 pada tahun 2020 berdasarkan statistik dari Jabatan Statistik Malaysia; dan

Kedua, peratusan rakyat Malaysia yang hidup di bawah garis kemiskinan meningkat dari 5.6% pada tahun 2019 kepada 8.4% pada tahun 2020. Dengan kata lain lebih dari 600,000 isi rumah M40 telah berubah kepada B40.

Fenomena krisis ekonomi yang berpanjangan di seluruh dunia setentunya membawa impak yang besar kepada Malaysia dengan pertambahan peratusan rakyat Malaysia yang terus jatuh ke jurang kemiskinan. Selain daripada jurang kemiskinan yang semakin luas ini, pemerhatian hak asasi kanak-kanak untuk mendapat pendidikan dan kesihatan yang baik serta wanita yang tidak bekerja yang terdedah kepada aktiviti-aktiviti sosial yang negatif umpamanya, boleh melambatkan pencapaian objektif Keluarga Malaysia dalam jangka panjang.

Selain daripada itu, isu kebajikan pekerja-pekerja yang dinafikan hak untuk menuntut gaji yang sepatutnya serta kebajikan sosial lain juga boleh menyebabkan imej dan reputasi kerajaan di persoalkan oleh badan-badan antarbangsa. Ini juga boleh menjejaskan prestasi negara untuk mendapatkan pelaburan asing di Malaysia. Untuk mencapai matlamat Keluarga Malaysia adalah kritikal mempertimbangkan faktor kebajikan pekerja sebagai isu asas hak asasi manusia di negara ini.

Faktor kelestarian alam sekitar juga adalah penting di ambil perhatian segera kerana konsep Keluarga Malaysia merangkumi aspek aspek kesejahteraan dan kemakmuran rakyat pada masa jangka panjang yang seiring dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Pencapaian matlamat Keluarga Malaysia juga mesti mengambil kira pengurusan pendatang tanpa izin yang sudah lama bertapak di Malaysia. Selain daripada memastikan kemakmuran rakyat Malaysia di bawah payung Keluarga Malaysia, kerajaan juga harus melihat kebajikan masyarakat pendatang tanpa izin sebagai initiatif proactive kerajaan umpamanya, memastikan sekurang-kurangnya kanak-kanak pendatang tanpa izin ini mendapat didikan awal di sekolah supaya mereka akan menjadi manusia yang bukan sahaja celik ilmu tetapi juga insan yang bertanggungjawab.

Cadangan penambahbaikan SUHAKAM

Di dalam merealisasikan hak asasi manusia pasca COVID-19 berdasarkan konsep Keluarga Malaysia adalah di cadangkan seperti dibawah:

Pertama, kerajaan hendaklah meneruskan initiatif-initiatif bantuan kepada rakyat yang terkesan daripada COVID-19 samada melalui pakej perangsang (stimulus package) atau pakej lain yang dirasakan perlu bagi mengurangkan jurang kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia;

Kedua, menambahbaik sistem perlindungan terhadap wanita dan kanak-kanak melalui perundangan dan polisi seperti penguatkuasaan yang berkesan terhadap Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] dan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]. SUHAKAM memuji tindakan Kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang Anti gangguan Seksual 2021 dan Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022. Kedua-dua rang undang-undang ini bertujuan melindungi wanita sama ada yang bekerjaya mahupun suri rumah sepenuh masa;

Ketiga, SUHAKAM juga menyambut baik pindaan Akta Anti- Pemerdagangan Orang dan Anti- Penyeludupan Migran 2007 [Akta 670] dan Akta Kerja 1955 [Akta 265]. Namun begitu, bagi memastikan keterangkuman semua individu termasuklah pekerja asing, SUHAKAM menyeru agar Kerajaan Malaysia menambahkan anggota penguatkuasaan pekerjaan bagi memantau aktiviti-aktiviti majikan serta mengetatkan lagi sempadan negara;

Keempat, berkaitan dengan isu Migran dan Pelarian (Refugee) – Menambahbaik pusat tahanan Imigresen serta menyediakan alternatif terhadap tahanan imigresen khususnya kepada wanita dan kanak-kanak (sebagaimana yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri di dalam ucapannya pada sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2021);

Kelima, menyelesaikan masalah isu tanpa kewarganegaraan (stateless) khususnya bagi kanak-kanak dengan memberikan taraf warganegaraan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia yang menjadi stateless kerana kurang kesedaran kepentingan pendaftaran terutamanya di kalangan orang asli dan rakyat Sabah;

Keenam, memastikan kebersamaan dalam perundangan dengan memberikan hak kewarganegaraan yang saksama antara lelaki dan perempuan tanpa sebarang diskriminasi, terutamanya melibatkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh pasangan wanita warganegara dan lelaki bukan warganegara. Keputusan Mahkamah Rayuan yang terkini tidak membantu menyelesaikan masalah yang wujud pada hari ini; dan

Ketujuh, memastikan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) tidak dipinggirkan dalam dasar-dasar negara, termasuklah akses untuk mengundi, akses pendidikan, akses perubatan serta perlindungan daripada penderaan dan pembulian. SUHAKAM turut menyeru agar Kerajaan Malaysia memperkasakan Majlis Kebangsaan bagi OKU.

Yang nyata Keluarga Malaysia sebagai dasar menyatupadukan rakyat Malaysia di era Pasca Pandemik Covid-19 telah membuktikan kesungguhan Kerajaan Dato Sri Ismail Sabri dalam memenangi keyakinan rakyat (Public Confidence) secara menyeluruh dengan cabaran krisis ekonomi yang berpanjangan. Selain dari faktor keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Keluarga Malaysia, faktor kedua ialah sistem undang undang yang mantap yang mempunyai kerangka institusi kerajaan yang kukuh serta pembuatan undang-undang serta peraturan yang menjamin pelaksanaan kebajikan dan kemakmuran rakyat.

Walaubagaimanapun, secara mikronya, jika di lihat dari perspektif hak asasi rakyat Malaysia yang belum melepasi belenggu ekonomi yang tidak menentu, kerajaan serta pihak pembangkang memerlukan political will yang konsisten dalam memastikan matlamat Keluarga Malaysia tercapai. Keluarga Malaysia dan hak asasi manusia saling berkait rapat. Oleh itu adalah kritikal bagi kerajaan memastikan matlamat dan dasar Keluarga Malaysia ini mencapai matlamatnya demi kemakmuran negara dan rakyat.

Rahmat Mohamad, Pengerusi, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Malaysia

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments