Kes penyelam hilang: Bapa sahkan anaknya meninggal dunia

0

Mangsa warga Belanda, Nathan Renze Chesters, 14, disahkan meninggal dunia oleh bapanya.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata Adrian Peter Chesters, 46, warga Britain memaklumkan bahawa anaknya yang masih hilang itu meninggal dunia kerana terlalu lemah dan tidak mampu bertahan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari remaja berkenaan.

“Operasi Carilamat telah ditamatkan susulan penemuan tiga daripada empat penyelam terbabit, iaitu Adrian Peter; Kristine Grodem, 35 (warga Norway); dan Alexia Alexandra Molina, 18 (warga Perancis).

“Remaja lelaki, Nathan Renze yang masih belum ditemukan, disahkan meninggal dunia oleh bapanya, akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.

“Mangsa terakhir itu dipercayai hanyut ke perairan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adrian Peter dan Alexia Alexandra ditemukan selamat oleh nelayan Indonesia kira-kira jam 1 pagi tadi, pada kedudukan kira-kira 70 batu nautika atau 100 kilometer dari lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang.

Kedua-duanya kini berada di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Terdahulu kira-kira jam 8.10 pagi Khamis lalu, Kristine yang juga jurulatih penyelam, ditemukan selamat oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand, pada kedudukan 30 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply