Tuesday, July 16, 2024
HomeBERITAKes bunuh Zayn Rayyan: Polis sudah ada petunjuk baru, bawa ibu Zayn...

Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis sudah ada petunjuk baru, bawa ibu Zayn lakon semula situasi kejadian hilang anaknya

Kediaman keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman, Damansara Damai sekali lagi menjadi tumpuan selepas kira-kira enam bulan kanak-kanak autisme itu ditemukan mati pada Disember tahun lalu.

Ini berikutan polis dilaporkan membawa ibu kepada Zayn Rayyan bagi melakonkan semula situasi kejadian semasa kehilangan Zayn Rayyan sehingga kepada penemuan mayatnya.

Lapor Bernama mendapati sebuah van dipercayai membawa ibu mangsa ke kediamannya di Blok R pada 10.15 pagi tadi dan keluar kira-kira 12.20 tengah hari.

Difahamkan, wanita terbabit dibawa semula ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemukan iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman yang dihuni keluarga berkenaan.

Anggota polis turut dilihat membawa patung kanak-kanak namun belum dapat dipastikan kegunaan patung berkenaan.

Terdahulu, seawal 10 pagi, sepasukan polis membuat dua sekatan laluan menuju ke Blok R apartment berkenaan selain pihak media diarahkan berada di sebuah pondok manakala pergerakan setiap penduduk diiringi anggota polis.

Kenderaan membawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain turut dilihat memasuki kawasan perumahan terbabit bersama pasukan siasatan terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Kira-kira 2.30 petang, beberapa kenderaan polis dan forensik dilihat beredar dari kawasan kediaman terbabit serta pita kuning diletakkan di laluan masuk lokasi kejadian.

Pada Jumaat lepas, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung hingga 13 Jun ini bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan terhadap kedua-dua mereka.

Hussein dilaporkan berkata keterangan tidak konsisten antara faktor tempoh reman ibu bapa kanak-kanak autisme itu disambung.

Pada 6 Dis tahun lepas, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments