Kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan pelanjutan visa sehingga 31 Mei 2020 bagi mereka yang telah tamat visa sejak 24 Januari 2020 dan tidak dapat meninggalkan negara terbabit berikutan penularan wabak Covid-19.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan media berkata, keputusan sama ada tarikh berkenaan akan dilanjutkan lagi atau tidak selepas 31 Mei 2020 hanya akan dapat diketahui apabila menjelang tarikh terbabit .
“Baru-baru ini, British Airways telah membatalkan semua penerbangan mereka ke Kuala Lumpur sepanjang bulan Jun 2020.
“Terdapat beberapa orang pelajar yang terkesan dengan perkara ini dan telah mengemukakan aduan bertulis kepada Malawakil London dan kami sedang mengusahakan mereka untuk mendapat tiket penerbangan dengan Qatar Airways yang masih menawarkan penerbangan ke Kuala Lumpur dari London dan transit di Doha.
“Malaysian Airlines dijangka hanya akan menyambung operasi mereka di London sekitar awal Julai 2020 dan menurut Malawakil London, dakwaan bahawa terdapat 1,500 orang pelajar di United Kingdom yang telah menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia dalam masa dua bulan akan datang adalah tidak benar,” ujar pihak Wisma Putra.
Difahamkan hanya 200 penuntut telah menyatakan hasrat pulang pada bulan Mei, manakala 631 penuntut ingin pulang pada bulan Jun 2020 dan majoriti mereka merupakan pelajar tahun ketiga dan tahun akhir serta penuntut lepasan ijazah.
Tarikh peperiksaan akhir adalah di antara pertengahan Mei dan pertengahan Jun 2020 (bergantung kepada institusi pengajian masing-masing) dan bagi penuntut-penuntut yang menduduki peperiksaan ini, kebanyakannya masih mempunyai visa yang sah.
Sehubungan itu, tempoh akhir pelanjutan visa sehingga 31 Mei 2020 yang diumumkan oleh kerajaan UK sepatutnya tidak melibatkan para penuntut terbabit.
Malah penuntut yang belajar di UK lebih daripada 12 bulan akan dibenarkan untuk terus tinggal di UK sehingga 4 bulan selepas tarikh akhir kursus pengajian.
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply