Saturday, July 13, 2024
HomePOLITIKKerajaan lulus cadangan kenaikan kadar harga kepada para pengkarya seni kreatif bagi...

Kerajaan lulus cadangan kenaikan kadar harga kepada para pengkarya seni kreatif bagi siaran di RTM

Menteri Komunikasi dan MultiMedia, Gobind Singh Deo mengumumkan kerajaan telah meluluskan cadangan kenaikan kadar harga kepada para pengkarya seni kreatif bagi siaran di RTM.

Beliau berkata, antara lain, kadar kenaikan yang telah diluluskan mengikut kategori rancangan adalah 20% – 60% bagi Telefilem, 30% – 60% bagi Drama Bersiri, 10% – 30% bagi Dokumentari/Majalah, dan 30% bagi Animasi Bersiri.

“Kadar harga semasa yang telah ditetapkan pada tahun 1986 tidak pernah dikaji semula selama 33 tahun dan setelah mendengar keluhan penggiat seni tempatan mengenai isu ini, saya telah mengemukakan cadangan kajian semula kadar harga ini melalui Jabatan Penyiaran Malaysia sebagai salah satu langkah penambahbaikan industri kreatif tempatan.

“Dalam menentukan kadar-kadar ini, RTM telah melaksanakan perbandingan dengan pihak ketiga untuk memastikan bahawa kadar yang ditawarkan RTM adalah kompetetif dengan kadar pasaran semasa.

“Kadar baharu ini akan terpakai mulai bulan April 2020, tertakluk kepada kualiti produk yang dikemukakan kepada pihak RTM. Selain itu, merujuk garis panduan perolehan rancangan, setiap terbitan perlu melalui proses kelulusan dan piawaian yang ditetapkan dengan persetujuan pihak RTM dan juga syarikat”, ujarnya.

Di samping kenaikan kadar harga ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) juga akan menambah kepelbagaian rancangan di bawah kategori-kategori tertentu seperti:

i) Extreme Gameshow (30min) di bawah kategori Variety Show;

ii) Muzikal Hiburan Bersiri (60min);

iii) Kapsul/Trailer/Promo (1-3min)

Beliau turut berkata, KKMM sentiasa prihatin terhadap cadangan dan syor pelbagai pihak berkepentingan demi membantu pemain-pemain industri kreatif tempatan berdaya saing dan meningkatkan kualiti penghasilan karya seni mereka.

Dalam pada itu, inisiatif untuk mengkaji semula kadar harga program RTM ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk menambah baik industri kreatif tempatan dan kerajaan telah menyempurnakan peralihan daripada TV analog kepada digital.

Usaha ini telah menambah bilangan saluran yang dinikmati secara percuma oleh rakyat sambil meningkatkan keperluan kandungan tempatan untuk disiarkan.

Menurutnya, usaha pendigitalan dan kenaikan kadar harga RTM bermakna penggiat seni negara kini mempunyai lebih peluang untuk menerbitkan produksi yang bermutu tinggi sambil meraih pendapatan yang lebih tinggi untuk karya mereka.

“Selain daripada usaha-usaha di atas, Kementerian saya juga sedang berusaha menambah baik susunan rancangan atau ‘belting’ RTM yang sedia ada, mengkaji proses ‘pitching’ dan perolehan kandungan serta proses pemasaran RTM.

“Adalah diharapkan bahawa usaha-usaha ini akan memberi lebih peluang kepada industri kreatif dan pemasaran tempatan serta meningkatkan ketelusan proses yang sedia ada.

“KKMM akan memastikan kebajikan pemain industri kreatif tempatan sentiasa dipelihara dan dilindungi. Langkah menambah baik kadar harga RTM, yang tidak dikaji selama 33 tahun, yang dilaksanakan hanya dalam masa 19 bulan pentadbiran baharu ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat”, tambahnya.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments