Monday, July 15, 2024
HomeBERITAKDN tubuh jawankuasa khas tangani masalah sempadan - Hamzah Zainudin

KDN tubuh jawankuasa khas tangani masalah sempadan – Hamzah Zainudin

RANTAU PANJANG : Kementerian Dalam Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah penyeludupan di sempadan dalam waktu terdekat.

Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata, jawatankuasa khas berkenaan akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Tambahnya kewujudan laluan tikus yang terlalu banyak di sempadan memerlukan strategi tertentu bagi menangani masalah berkenaan.

“Banyak laluan tikus dikenal pasti di sempadan dan sepanjang lawatan di Sungai Golok dari Tumpat ke Rantau Panjang sahaja mempunyai 88 laluan tikus.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menaiki bot Polis Marin sepanjang Sungai Golok dari Pengkalan Kubor bagi melihat sendiri dan memantau sempadan Malaysia-Thailand ketika PKP. Foto: KDN

“Jawatankuasa khas berkenaan juga akan meneliti cadangan untuk pembinaan tembok di sepanjang sempadan yang sudah dikemukakan pelbagai pihak sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS ) Rantau Panjang dan pejabat Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negeri Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Tambah Dato’ Seri Hamzah, jawatankuasa yang bakal ditubuhkan itu akan memberi tumpuan kepada prihal kaedah menangani masalah ketirisan sempadan.

Maklumat lanjut mengenainya akan diberitahu dalam waktu terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin melakukan tinjauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masyarakat setempat di Sekatan Jalan Raya (SJR) PDRM, di Pasir Pekan, Kota Bharu. Foto: KDN

Dalam lawatan rasmi beliau ke Negeri Kelantan siang tadi, beliau turut melakukan tinjauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masyarakat setempat di Sekatan Jalan Raya (SJR) PDRM, di Pasir Pekan, Kota Bharu.

Beliau kemudiannya menaiki bot Polis Marin sepanjang Sungai Golok dari Pengkalan Kubor bagi melihat sendiri dan memantau sempadan Malaysia-Thailand ketika PKP.

Seterusnya, beliau mengadakan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang. Beliau dan delegasi diberikan taklimat mengenai pengoperasian kompleks sepanjang tempoh PKP di sana.

Lawatan YB Menteri KDN diakhiri dengan tinjauan ke Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan AKSEM Rantau Panjang.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menyampaikan sumbangan topeng muka dan sarung tangan getah bagi kengunaan petugas barisan hadapan AKSEM. Foto: KDN

Beliau turut mengambil kesempatan menyantuni anggota AKSEM di sana dengan menyampaikan sumbangan topeng muka dan sarung tangan getah bagi kengunaan petugas barisan hadapan AKSEM.

Hadir sama dalam lawatan ini ialah YBhg Dato’ Jamil bin Rakon, Ketua Setiausaha KDN, YDH. CP Dato’ Sri Acryl Sani bin Hj. Abdullah Sani, Pengarah Jabatan KDNKA, PDRM , YBhg. Dato’ Indera Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia dan YBhg. Datuk Yusran Shah bin Mohd Yusof, TKSU (Dasar dan Kawalan) KDN.

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments