Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu yang membenarkan perkataan “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Tiga perkataan lain adalah Baitullah, Kaabah dan solat.
Notis rayuan difailkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan untuk dan bagi pihak KDN dan Kerajaan Malaysia.
Merujuk kepada notis rayuan itu, Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin yang telah diberi di Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, dengan ini merayu kepada Mahkamah Rayuan Malaysia terhadap keseluruhan keputusan tersebut.

Notis rayuan ditandatangi Peguam Kanan Persekutuan bertarikh 12 Mac 2021 telah dihantar kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan Malaysia jam 11 pagi tadi.
Terdahulu Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi antara lain membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.
Dalam permohonannya, Jill Ireland telah memohon perisytiharan bahawa adalah hak perlembagaannya untuk mengakses penerbitan Kristian dalam menjalankan haknya untuk mengamalkan agama dan hak untuk pendidikan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Kristian sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah di sisi undang-undang.
Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata, arahan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional. – THE MALAYA POST.

Leave a Reply