
Memetik laporan PN BCC, Datuk Dr Abd Latiff berkata, Tun Dr Mahathir sebelum ini beberapa kali menegaskan sedia mempertimbangkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah PN sekiranya tiada ‘penyangak’ atau pemimpin UMNO yang terbabit kes mahkamah.
“Setiausaha Agung Bersatu (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) pun pernah menyatakan bahawa PN bersedia menerima mana-mana individu menyertai kerjasama termasuk Dr Mahathir.
“Apabila pemimpin UMNO yang ada kaitan mahkamah sudah keluar (daripada menyokong PN) dan mungkin bersama Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim), amat mudah bagi Dr Mahathir menyokong kerajaan PN,” katanya.
Datuk Dr. Abd Latiff berkata, umum mengetahui ketegasan Tun Dr Mahathir terhadap mereka yang terbabit rasuah dan salah guna kuasa menyebabkan beliau menolak bekerjasama dengan kerajaan PN kerana ada beberapa pemimpin UMNO terbabit kes mahkamah menyokong kerajaan.
“Saya tidak menolak kemungkinan bekas Perdana Menteri itu akan kembali menyokong Muhyiddin memperkukuhkan kerajaan PN, begitu juga dengan ahli-ahli parlimen Warisan,”
“Inilah sebaik-baiknya. Kasih kembali bertaut dengan Kerajaan Melayu Islam akan terus mentadbir negara,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada Bersatu akan mendapatkan sokongan daripada parti Pejuang yang diketuai Dr Mahathir dan parti Warisan yang diterajui Datuk Seri Shafie Apdal bagi menyokong kerajaan PN selepas beberapa ahli parlimen UMNO menarik diri.
Terdahulu, MKT UMNO selain menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin Yassin membuat keputusan mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Susulan keputusan itu, sekurang-kurangnya 10 hingga 12 ahli parlimen UMNO membuat perakuan kepada parti bahawa mereka telah menarik sokongan kepada kerajaan PN.
Antaranya Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Dr Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Turut menarik sokongan adalah Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang kemudiannya mengumumkan melepaskan jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Lapor PN BCC, pemerhati politik berpendapat, ahli-ahli parlimen Pejuang dan Warisan seramai 12 orang boleh kembali mengukuhkan kerajaan PN bagi menggantikan ahli parlimen UMNO yang sudah menarik diri.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa
tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply