Saturday, November 21, 2026
HomeBERITATan Sri Muhyiddin cukup sokongan majoriti, keabsahan PM akan ditentukan September ini...

Tan Sri Muhyiddin cukup sokongan majoriti, keabsahan PM akan ditentukan September ini di Parlimen

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau telah menerima sejumlah surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan beliau bahawa masih mempunyai kepercayaan majoriti pada masa ini.

Sehubungan itu, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri masih utuh dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Perkara itu kata Tan Sri Muhyiddin dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong ketika menghadap Seri Paduka pada hari ini.

Terdahulu, jelas Tan Sri Muhyiddin, beliau telah menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong semalam yang memaklumkan berkenaan perkara itu.

“Di dalam warkah ini, Yang di-Pertuan Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”.

“Kedua, Perkara 43 (4) iaitu, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sehubungan itu, kata Tan Sri Muhyiddin, beliau telah dititah menghadap oleh Yang di-Pertuan Agong pada pukul 11 pagi hari ini.

“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya.

Menyedari kedudukannya sering kali dipersoalan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan dalam usul percaya dalam Sidang Dewan Rakyat pada September ini.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong berkenan terhadap perkara itu sewaktu menghadap Seri Paduka hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Perutusan Khas hari ini. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments