Tuesday, May 14, 2024
HomeBERITAKartel D7 : Bekas Inspektor dicekup sebar fitnah

Kartel D7 : Bekas Inspektor dicekup sebar fitnah

PETALING JAYA : Seorang bekas pegawai berpangkat Inspektor dicekup polis semalam bagi membantu siasatan berhubung penyebaran maklumat palsu atau fitnah membabitkan kumpulan kartel Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dalam media sosial.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, lelaki berusia  33 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.24 malam di Alor Setar, Kedah.

Turut dirampas sebuah laptop, telefon bimbit, pendrive, simkad serta gajet.

Kesemua barangan tersebut dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis.

Siasatan awal polis mengesahkan suspek dipercayai marah, tidak puas hati dan dendam terhadap pasukan siasatan yang telah mengambil tindakan terhadapnya.

Menurut Datuk Huzir, suspek telah dijatuhkan hukuman pengawasan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) selama dua tahun di Alor Setar, Kedah di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Suspek juga pernah membuat tohmahan terhadap pasukan D7 yang menahannya di bawah Op Mualang yang dilaksanakan D7 bagi mencegah aktiviti kongsi gelap di sekitar Klang , Selangor.

“Tindakan sebegini dipercayai kerana tidak berpuas hati kerana dikenakan LPJ sehingga diberhentikan kerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, setakat hari ini, pihaknya membuka empat kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan dibuka susulan empat laporan dibuat empat pegawai nama dinyatakan dalam tohmahan tersebut.

“Sehubungan itu, pihak polis ingin menasihatkan orang awam untuk menghentikan sebarang spekulasi, andaian tidak berasas serta diingatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan isu ini mana-mana saluran media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau, penyebaran itu merupakan tohmahan yang sangat serius.

Baru-baru ini tular di media sosial dakwaan maklumat kumpulan kartel D7 terlibat dengan salah guna kuasa, melindungi, bersubahat, bersekongkol dan menerima rasuah daripada pelbagai sindiket jenayah terancang.

Dalam artikel itu, satu senarai nama pegawai dan anggota dari Bahagian D7 JSJ Bukit Aman beserta gambar mereka telah dimuat naik.

Pegawai dan anggota ini juga ditohmah dan dikaitkan terlibat dengan beberapa sindiket jenayah terancang seperti Geng Nicky, Geng Addy Kanna, Geng Wan Padang Besar, Geng Pak Su Bukit Kayu Hitam dan Geng 99. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments