Jom cuba resepi rendang udang galah isteri MB Perak, Datin Seri Dr. Nomee Ashikin

0

Setiap orang mempunyai citarasa sendiri dalam memilih makanan untuk berbuka puasa.

Ada yang menggemari masakan moden dan mudah, ada pula masih kekal setia dengan masakan tradisional resepi turun temurun.

Bagi Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, masakan tradisi keluarganya iaitu rendang udang galah tetap menambat selera.

Menurut isterinya, Datin Seri Dr. Nomee Ashikin, beliau mendapat dan mempelajari resepi masakan ini daripada arwah ibu mertuanya.

Menyatakan cadangan dalam mempelbagaikan olahan masakan, beliau berkata jika suka boleh digantikan dengan ayam, kerang atau pun ikan.

Tambah beliau, jika sebelum ini suaminya sibuk dengan tugasan mentadbir negeri dan memenuhi jemputan berbuka puasa di luar, memandangkan Ramadan tahun ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peluang berbuka puasa bersama keluarga dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Dato’ Seri suka menikmati masakan kampung dan udang menjadi sumber protein kegemarannya untuk dimakan bersama nasi putih, sambal belacan serta ikan masin.

“Menggunakan bahan yang segar seperti santan dan kunyit hidup merupakan petua menjadikan masakan kita lebih enak,” ujar beliau.

Beliau turut berkongsi suaminya tidak kekok ‘beraksi’ bersama sudip dan kuali dan membantu memasak di dapur.

Boleh dikatakan Dato’ Seri Ahmad Faizal pandai memasak. Wah! Boleh tahan ya Dato’ Seri! 👨‍🍳

Pasangan suami isteri ini juga tidak lokek berkongsi resepi keluarga untuk tatapan umum.

Mana tahu, boleh dijadikan ilham untuk berbuka nanti.

Bahan kisar :

10 tangkai cili kering
3 batang serai
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
1 inci lengkuas
3 ulas bawang putih
2 labu bawang besar

Bahan B :

2kg udang galah
Sehelai daun kunyit (dihiris halus)
2 cawan santan
3 sudu kerisik
Minyak masak untuk menumis
Garam
Gula

Cara memasak :

– Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau.

– Masukkan udang, santan, kerisik, daun kunyit dan kacau sehingga udang berubah warna kemerah-merahan.

– Tambahkan santan jika perlu dan masukkan garam serta gula secukup rasa sebelum dihidangkan.

Tips masakan :

Untuk memastikan minyak cukup panas, letakkan senduk kayu dan nampak buih di keliling senduk.

Bagi memilih udang galah segar, lihat warnanya yang kebiru-biruan, isi tidak lembik serta tidak berbau hanyir.

Jom cuba!

Menurut Dr Nomee Ashikin, resipi yang dipelajarinya daripada arwah ibu mentuanya itu boleh digantikan dengan ayam,…

Dikirim oleh Faizal Azumu pada Kamis, 30 April 2020

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply