Friday, May 24, 2024
HomeBERITA"Jadilah manusia yang manusiawi" - Duta Besar Rusia ke Malaysia

“Jadilah manusia yang manusiawi” – Duta Besar Rusia ke Malaysia

Oleh : Naiyl Latypov, Duta Besar Rusia ke Malaysia

Warga Rusia di serata dunia yang bermastautin di luar negara kini berhadapan serangan mulut dan fizikal semata-mata kerana mereka orang Rusia. Sesetengah orang yang tidak sukakan negara atau kerajaan saya mahu menzahirkan bantahan mereka terhadap dasar Rusia dengan melukakan sesiapa dan apa saja yang terkait secara langsung atau tidak langsung dengan Rusia. Mereka menunjukkan peri laku yang agresif dan penuh kebencian kerana beranggapan mereka punya alasan untuk mengasari, mengganggu, mencedera dan segala pelanggaran undang-undang lain terhadap orang yang tidak berdosa seperti lelaki, wanita, dan kanak-kanak. Ini logik akal pengganas.

Ramai daripada kita meluat membaca berita tentang warga Afrika dan Asia yang dihalau dari bas semasa cuba meninggalkan Ukraine. Kita juga patut ada rasa yang sama sekiranya orang awam yang tidak bersalah dari negara lain juga diperlakukan sedemikian rupa. Cuba kita fahami keadaan orang itu sebelum kita berkata atau berbuat apa-apa yang jelek terhadap mereka. Bolehkah anda terima sekiranya orang memukul anda hanya kerana anda, misalnya, warga Malaysia, Amerika, China, atau Jepun? Setujukah anda jika dihukum, didera atau dibunuh hanya kerana kerakyatan dan bangsa anda?

Bayangkan, anda bangun pagi, bersarapan lalu keluar dari pangsapuri kediaman anda untuk ke pejabat. Pintu lif terbuka. Anda masuk tanpa berfikir apa-apa. Jiran anda seorang rakyat Ukraine ada di dalam lif. Anda tidak pernah berurusan dengannya sebelum ini, dan tidak pernah juga berbuat apa-apa yang kurang baik ke atasnya. Bagaimanapun, dia benci negara anda dan beranggapan tidak salah untuk dia turut membenci anda. Baginya sapaan “Selamat pagi” anda wajar dibalas dengan caci maki yang bertalu-talu semata-mata supaya anda tahu isi hatinya. Anda bernasib baik jika melalui episod ini tanpa cedera. Bagaimana kalau sebaliknya?

Sulit untuk memahami kenapa mereka berkelakuan begini sedangkan mereka juga meyakini bahawa mereka adalah warga negara demokrasi yang ditadbir dengan undang-undang. Sesiapa pun tidak boleh mewajarkan tingkah laku yang biadab dan tidak bertoleransi, tidak kira sama ada didorong oleh emosi atau niat jahat. Terutama apabila tingkah laku itu jadi jenayah yang mempunyai kesannya tersendiri.

Bagi warga Rusia, kami selalu menganggap rakyat Ukraine sebagai saudara sendiri. Berjuta rakyat Rusia adalah etnik Ukraine atau berdarah Ukraine. Ramai dalam kalangan kami yang mempunyai saudara mara dari pelbagai latar belakang etnik yang menetap di Ukraine. Kami sangat dukacita kerana orang awam di Ukraine menderita apabila rejim Kiev menjadikan mereka perisai dan tidak membenarkan mereka menggunakan laluan kemanusiaan yang dibuka berkali-kali oleh pihak tentera Rusia. Kami mendoakan mereka selamat sejahtera.

Saya yakin bahawa komunikasi antara rakyat-rakyat tidak harus ditentukan oleh hubungan antara negara mereka sahaja. Jika seseorang tidak sabar mahu memburukkan negara saya, dia seharusnya berasa ragu-ragu sebelum mencederakan warganya yang tidak berdosa. Jangan jadi macam pengganas. Kekallah manusia yang manusiawi.

Naiyl Latypov, Duta Besar Rusia ke Malaysia

–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments