Friday, July 19, 2024
HomeBERITAIsu subsidi telur dibincang Kabinet esok - Annuar Musa

Isu subsidi telur dibincang Kabinet esok – Annuar Musa

Kuala Lumpur, 6 Oktober – Syor bagi menaikkan subsidi telur ayam gred kawalan akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, esok.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, syor itu dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa itu, hari ini.

Ia susulan kekurangan bekalan telur terbabit di pasaran, ketika ini.

Ujar Tan Sri Annuar, berdasarkan tinjauan, pengeluar dan pengedar mendakwa subsidi tiga sen bagi telur gred kawalan A, B dan C tidak menarik kerana kos yang ditanggung mereka adalah lebih tinggi.

Ini menyebabkan pengeluar lebih menumpukan kepada pengeluaran telur gred premium yang harganya tidak dikawal, menyebabkan bekalan telur gred kawalan berkurangan.

“Ada beberapa syor kepada jawatankuasa, termasuk mengapungkan harga telur gred kawalan ini, namun kita menolak syor itu kerana berpandangan harga gred kawalan perlu dikekalkan.

“Satu lagi cadangan adalah untuk menyemak semua jumlah subsidi yang diberikan kepada pengeluar telur ini, yang ketika ini hanya pada tahap tiga sen kepada satu tahap baharu yang lebih besar.

“Disebabkan ia di luar skop jawatankuasa untuk memberi kelulusan, maka ia akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok kerana membabitkan implikasi kewangan berikutan nilai yang diluluskan setakat ini adalah RM34 juta,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Annuar memaklumkan, Jualan Murah Keluarga Malaysia kini dilaksanakan di 585 premis di seluruh negara, iaitu mencapai tahap 97 peratus sasaran yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau menegaskan, masalah inflasi adalah satu perkara yang tidak boleh sewenang-wenangnya dipolitikkan dan kerajaan melalui jawatankuasa itu mengambil pelbagai langkah intervensi yang proaktif, yang berjaya mengawal inflasi pada kadar yang boleh diuruskan.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments